Anda di halaman 1dari 3

Amalan gaya hidup sihat merupakan aktiviti yang selalu dibuat untuk mengekalkan

kesihatan tubuh badan. Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, Dato' Seri Najib Tun Abdul
Razak pernah berkata bahawa rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup yang
sihat untuk memperoleh kebaikan daripadanya. Sejarah membuktikan bahawa masyarakat
zaman dahulu hidup dalam tempoh masa yang lebih lama berbanding masyarakat zaman
sekarang kerana mengamalkan gaya hidup yang sihat. Masyarakat sekarang banyak
mengalami masalah kesihatan kerana tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Persoalannya, apakah langkah-langkah mengamalkan gaya hidup sihat?

Antara cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat ialah pemakanan yang seimbang.
Hal ini meliputi pengambilan pelbagai jenis makanan berdasarkan piramid makanan yang
disarankan oleh Kementerian Kesihatan. Makanan seperti nasi dan bijirin yang
mengandungi kaborhidrat harus diambil dalam kuantiti yang banyak dan diutamakan kerana
kaborhidrat dapat membekalkan tenaga untuk membolehkan kita menjalankan pelbagai
urusan kehidupan seharian. Pengambilan sayur dan buah-buahan yang banyak amat
penting bagi membekalkan vitamin dan serat yang cukup kepada tubuh badan. Makanan
yang mengandungi lemak,minyak,garam dan gula yang tinggi harus dielakkan. Hal ini
demikian kerana makanan yang tidak sihat ini akan menyebabkan pelbagai penyakit kronik
seperti diabetes,darah tinggi, obesiti dan serangan jantung. Rajah piramid pemakanan yang
ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan perlulah dijadikan panduan untuk memastikan
bahawa makanan yang dimakan itu mengandungi khasiat yang seimbang dan dapat
menyihatkan badan. Oleh itu, makanan yang seimbang dan sihat harus diutamakan dalam
usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan sihat.

Selain itu, melakukan aktiviti senaman dan beriadah juga merupakan salah satu cara
mengamalkan gaya hidup sihat. Pengambilan makanan seimbang yang disertai dengan
amalan bersenam dan beriadah secara konsisten dapat membakar kalori dalam badan dan
seterusnya mengurangkan masalah peningkatan berat badan. Aktiviti senaman dan
beriadah boleh dilakukan sebanyak tiga kali seminggu bersama-sama keluarga dan rakan.
Memang tidak dinafikan bahawa badan yang cergas dapat membina minda yang cerdas.
Oleh itu, kita haruslah memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk
melakukan aktiviti senaman dan beriadah seperti berjalan, berlari dan bermain yang dapat
mengeluarkan peluh. Amalan senaman dan beriadah mampu melancarkan aliran darah,
menguatkan urat saraf dan otot-otot badan serta peluh yang dapat menjamin kualiti
kesihatan seseorang.
Di samping itu, corak kehidupan yang sihat juga dapat membantu seseorang individu
untuk hidup sihat tanpa sebarang penyakit. Bagi menjamin kesejahteraan hidup, kita
haruslah menghindarkan diri daripada segala perbuatan yang boleh memudaratkan
kesihatan diri seperti amalan merokok dan penyalahgunaan dadah. Meskipun masyarakat
Malaysia diberitahu tentang keburukan merokok, permintaan terhadap rokok masih tinggi.
Masalah penyalahgunaan dadah pula masih berterusan. Kedua-dua tabiat ini perlu dijauhi
sekiranya seseorang ingin menikmati kehidupan yang sihat. Hal ini demikian kerana
perokok lebih terdedah kepada risiko diserang sakit jantung, kanser, dan katarak. Gejala
penyalahgunaan dadah pula mengundang pelbagai masalah dalam kehidupan seseorang.
Oleh itu, kesedaran masyarakat tentang bahaya tabiat merokok dan penyalahgunaan dadah
amat penting. Bukan itu sahaja, amalan negatif seperti pergaulan bebas juga boleh
mendedahkan diri kita kepada penyakit seperti penyakit AIDS. Pada masa yang sama, rehat
dan tidur yang cukup juga penting untuk menjaga kesihatan diri. Seseorang individu yang
tidak mempunyai rehat dan tidur yang cukup akan cepat berasa letih dan mudah jatuh sakit.
Sudah terang lagikan bersuluh, kita harus mengekalkan kualiti kesihatan kita bagi menjamin
kehidupan sihat selaras dengan peribahasa "mencegah adalah lebih baik daripada merawati
".

Seterusnya, pengamalan gaya hidup sihat juga melibatkan pengurusan stres. Stres
atau tekanan perasaan merupakan gejala negatif yang semakin menular dalam kalangan
masyarakat. Sesorang individu yang mengalami stres perlulah bijak mencari formula untuk
menguruskannya supaya fikiran tidak kusut dan terganggu sehinggan menjejaskan
kesihatan dan kehidupan seharian. Antara langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk
menangani stres termasuklah meminta pendapat kaunselor, berkongsi masalah dengan
keluarga atau rakan dan mendekatkan diri dengan Tuhan. Stres yang dapat diuruskan
dengan baik membolehkan kita hidup bahagia dan sihat.

Tambahan pula, penjagaan kebersihan juga merupakan salah satu amalan hidup
sihat. Kita hendaklah memastikan bahawa tubuh badan, pakaian, makanan, dan
persekitaran sentiasa bersih. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu mengawasi anak-
anak mereka daripada bermain di tempat yang kotor. Mereka juga perlu memastikan
bahawa kawasan di dalam dan di luar rumah berada dalam keadaan yang bersih. Sampah
sarap di persekitaran perlu dibuang di tempat pembuangan sampah atau ditanam. Langkah
ini dapat mengelakkan persekitaran daripada menjadi tumpuan bakteria atau serangga-
serangga tertentu, terutamanya lalat, lipas, dan nyamuk.

Bagi menjamin kesihatan diri kita terjamin, kita hendaklah berjumpa dengan doktor di
hospital dan klinik secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya lima kali setahun bagi
membolehkan penyakit yang tidak menunjukkan simptom dapat dikesan lebih awal. Sebagai
contoh, penyakit berbahaya seperti kanser yang kita sedia maklum bahawa sukar diubati
jika lambat diketahui. Bak kata pepatah "jangan sudah terhantuk baru tengadah". Oleh itu,
dengan pertemuan secara berkala dengan doktor, rawatan susulan dapat dilakukan supaya
kesihatan seseorang individu terjamin.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa pengamalan gaya hidup sihat dapat menjamin


kesejahteraan yang diimpikan. Sebenarnya, tiada istilah terlambat bagi setiap orang untuk
memulakan amalan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian harus
diamalkan bagi melahirkan masyarakat yang bebas penyakit. Pihak kerajaan dan pihak
swasta bertanggungjawab untuk menggalakkan masyarakat Malaysia mengamalkan gaya
hidup yang sihat kerana rakyat sihat negara maju. Wahai semua pihak, mari kita berganding
bahu untuk menggalakkan masyarakat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat. Saya
berharap agar rakyat Malaysia silalah mempunyai kesedaran untuk menjaga kesihatan diri
sendiri dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Ibu bapa sebagai ketua keluarga, tolong
bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap kesihatan anak-anak dengan menjadi suri
teladan yang baik kepada anak.

Anda mungkin juga menyukai