Anda di halaman 1dari 5

Tugasan 1 : Penulisan Esei

Amalan diet yang baik elak masalah obesiti

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan adalah keadaan yang


sempurna, sihat dari segi fizikal, mental, rohani dan sosial. Hoyman (1962) menakrifkan
kesihatan sebagai keadaan sihat yang optimum bagi kehidupan yang sempurna, produktif
dan kreatif. Ini ditunjukkan dalam satu hierarki yang bermula dengan kesihatan optimum dan
berakhir dengan kematian (kesihatan sifar). Salah satu aspek penting dalam memperoleh
kesihatan ialah menjaga tabiat pemakanan. Amalan pemakanan yang sihat boleh
menjadikan pembesaran manusia itu lebih sempurna pada pelbagai aspek terutamanya
fizikal. Dengan makan makanan yang sihat, tubuh badan dapat menerima semua keperluan
zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat. Menurut Shariff et al., (2008),
kita akan jadi tidak sihat jika kita mempunyai tabiat makan yang tidak sihat. Jelaslah bahawa
pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain
yang kurang menjaga aspek pemakanannya.

Rajah 1 : Piramid makanan

Piramid makanan merupakan panduan bagi memilih makanan secara sihat dan
seimbang. Berdasarkan piramid makanan pada rajah , setiap makanan telah disusun pada
aras yang berbeza mengikut nilai nutrien utama yang diperlukan oleh tubuh badan manusia
seperti karbohidrat, serat, vitamin, protein dan lemak (Kementerian Kesihatan Malaysia,
2011). Makanan yang mempunyai nilai nutrien yang tertinggi iaitu karbohidrat disusun pada
dasar piramid, manakala makanan dengan nilai nutrien terendah disusun pada puncak
piramid iaitu lemak. Oleh itu, setiap individu perlu merancang diet yang seimbang dengan
mengambil kuantiti makanan berdasarkan piramid makanan kerana setiap individu
memerlukan jumlah kalori yang berbeza berdasarkan jantina, umur, saiz tubuh badan, jenis
aktiviti seharian, keturunan dan tahap kesihatan. Kalori adalah unit untuk mengukur tenaga
dalam makanan. Setiap makanan mempunyai nilai kalori yang berbeza berdasarkan
kandungan karbohidrat, protein dan lemak. Badan kita memerlukan kalori untuk menjana
tenaga, tetapi jika ia diambil (dimakan) terlalu banyak dan tidak dibakar, ia akan ditukar
menjadi lemak dan disimpan dalam badan. Hal ini akan menyebabkan pertambahan berat
badan yang membawa kepada masalah obesiti. Kesannya, individu akan mudah menghidap
pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi, strok atau angin ahmar,
diabetes, paras kolesterol tinggi, gout, sakit belakang, sukar bernafas, sakit lutut dan
pinggang, gangguan pembuangan air kecil, penyakit hati, barah usus dan pelbagai penyakit
lagi yang membahayakan kesihatan.

Menurut Blair (2000), obesiti adalah keadaan di mana tenaga-tenaga di dalam badan
yang telah disimpan, dibiarkan berkumpul di dalam tisu-tisu lemak di dalam badan sehingga
melebihi tahap kesihatan. Sekiranya individu tidak mengamalkan diet yang baik berdasarkan
piramid makanan, kemungkinan seseorang itu akan mengalami obesiti atau kekurangan
nutrien penting (malnutrisi). Selain obesiti, malnutrisi juga boleh menyebabkan individu
mengalami pelbagai penyakit seperti anemia, kwashiorkor, skurvi, dan riket. Berdasarkan
Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan, didapati bahawa separuh rakyat negara ini
mengalami berat yang berlebihan iaitu obesiti dan angka tersebut meningkat secara
mendadak daripada 4.4 peratus pada 1996 kepada 14 peratus pada 2006, kemudian
meningkat kepada 15.1 peratus pada 2011 dan terus meningkat 17.7 peratus pada 2015.
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah obesiti ini terus berleluasa iaitu
kurang bersenam, pengambilan makanan segera dan ringan yang kerap dan tidak
mengamalkan diet makan yang seimbang. Oleh itu, setiap individu perlu mengambil
makanan pada kuantiti yang betul mengikut keperluan kalori masing-masing serta merujuk
kepada piramid makanan agar tubuh badan kita memperoleh nutrien yang diperlukan untuk
menjalani kehidupan seharian.

Sehubungan itu, masalah obesiti lebih baik dicegah berbanding diubati. Salah satu
cara untuk mencegah obesiti ialah dengan mengelakkan makan makanan ringan dan
segera. Hal ini kerana makanan tersebut mengandungi pewarna, perisa tiruan serta kadar
gula dan lemak tepu yang tinggi. Misalnya, makanan seperti sosej, kentang goreng, ayam
goreng, burger dan sebagainya boleh menyebabkan seseorang itu mengalami berat badan
yang berlebihan kerana makanan tersebut mempunyai kandungan lemak tepu dan garam
yang tinggi manakala minuman bikarbonat pula mempunyai kandungan gula yang tinggi.
Usaha untuk mengamalkan diet yang baik dan seimbang berdasarkan piramid makanan
perlulah diterapkan dalam diri individu sejak dari akar umbi lagi. Kanak-kanak seharusnya
diasuh oleh ibu bapa dalam mengamalkan makanan yang sihat seperti sayur-sayuran dan
buah-buahan. Menurut Mary Easaw John (2008), individu yang paling hampir dengan
remaja adalah ibu bapa. Oleh itu, mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam
mencorakkan tabiat pemakanan anak-anak mereka. Jika dibandingkan dengan corak
kehidupan kini, terdapat segelintir ibu bapa terlampau sibuk dengan urusan kerja masing-
masing sehingga mengabaikan makan minum anak-anak mereka. Ada juga ibu bapa yang
terlampau memanjakan anak-anak dengan menuruti kehendak mereka untuk menikmati
pelbagai makanan secara berlebihan terutamanya makanan segera. Sikap ini seharusnya
diubah kerana seseorang individu itu dibentuk sejak bayi lagi. Oleh itu, ibu bapa sendiri
terutamanya perlu mempunyai kesedaran tentang pentingnya memakan makanan yang
sihat dan berkhasiat.

Selain itu, obesiti dapat dielakkan jika kita menetapkan waktu makan yang seragam.
Waktu makan yang paling penting ialah tengah hari. Pada waktu ini, tubuh badan kita
memerlukan tenaga yang banyak bagi menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu, kalori yang
diperlukan juga adalah lebih banyak berbanding waktu makan yang lain. Makanan yang
kaya dengan karbohidrat dan protein seperti nasi, telur, ayam dan ikan boleh membekalkan
tenaga yang diperlukan oleh badan kita. Namun begitu, sarapan juga amat penting sebagai
permulaan rutin seharian kita. Menurut Profesor Madya di Pusat Pengajian Sains Kesihatan,
Program Nutrisi dan Dietetik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hamid Jan Jan Mohamed,
beliau menyatakan bahawa tanpa pengambilan sarapan akan menyebabkan perut kita yang
kosong menjadi punca kepada penurunan kadar glukosa dalam darah sehingga kita akan
mempunyai keinginan untuk makan tengah hari dalam jumlah yang banyak. Kesannya, kita
mungkin akan mengambil jumlah kalori yang melebihi keperluan seharian. Sementara itu,
kita perlu mengunyah makanan dengan perlahan agar makanan dapat bertindakbalas
dengan enzim air liur secara sempurna. Menurut, penyelidikan yang dijalankan di simposium
American Heart Association Scientific Sessions 2017, makan dengan lebih perlahan
berupaya menjadi kunci penjagaan kesihatan dan tubuh badan. Selain itu, mengunyah
makanan secara perlahan juga membolehkan otak menerima isyarat kenyang yang
membolehkan kita lebih cenderung berhenti makan sebelum kenyang. Oleh itu, kita perlu
merancang waktu makan dan menu makanan yang sesuai serta makan dengan mengunyah
secara perlahan untuk mengelakkan masalah obesiti.
Kesimpulannya, pengamalan diet yang baik dan seimbang berdasarkan piramid
makanan boleh mencegah kita daripada menghidap penyakit seperti obesiti, tekanan darah
tinggi dan diabetis. Setiap individu perlu mempunyai kesedaran tentang pentingnya
penjagaan gaya pemakanan bagi kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat. Sebarang
penyakit perlulah dicegah kerana hal tersebut lebih baik daripada dirawati. Gaya hidup yang
sihat dapat meningkatkan produktiviti individu dalam membangunkan potensi diri,
masyarakat, agama dan negara. Oleh itu, kita perlu sama-sama mengubah tabiat yang
buruk dan meneruskan amalan yang baik bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan
di akhirat.
Rujukan :

Easaw-John, M. M. When is the right time to introduce complementary foods to a child?.

Institute for Public Health. The Fifth National Health and Morbidity Survey (NHMS V) (2015):
Nutritional status. Kuala Lumpur, Malaysia: Malaysia Institute for Public Health, Ministry
of Health

Jensen, J.L. & Rogers, J. (1998). Obesity in older persons. Journal of the American Dietetic
Association. 98(11): 1308-1311.

Mustaffa E. (1990). Diabetes in Malaysia. Problems and Challenges. Med. J. Malaysia. 45 :


1-7.

Kementerian Kesihatan Malaysia. (2011). Healthy Weight: A New Way of Looking At


Your Weight and Health. Kuala Lumpur: KKM.

Shariff et al. (2008). Nutrition Education Intervention Improves Nutrition Knowledge,


Attitude and Practices of Primary School Children: A Pilot Study.
International Electronic Journal of Health Education, (11), 119-132.

Welk, G. J., & Blair, S. N. (2000). Physical Activity Protects against the Health Risks of
Obesity. President's Council on Physical Fitness and Sports Research Digest.

Anda mungkin juga menyukai