Anda di halaman 1dari 2

Karangan Bahagian B : Isu Kesihatan

cikgu nazeli
7 years ago
Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan agar
berada dalam keadaan yang baik. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk
menjaga kesihatan diri.
Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang
sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke
sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah
orang, nikmat kesihatan hanya disedari apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup
menghabiskan wang membeli ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang
dihadapi. Tambahan pula, pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran
sekarang seperti Cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini
dalam kehidupan, beberapa langkah perlu diambil agar kesihatan kita terjamin. (90 pk)
Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan
menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah
hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan
dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan
lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran
Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen Jumpa Sampah Kutip dan kempen Memerangi
LILATI (lipas,lalat dan tikus). Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang di tempat
khas. Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung dan menjadi
tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit bawaan vektor seperti taun,
malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga kebersihan persekitaran merupakan
langkah asas untuk kita semua ke arah mencapai tahap kesihatan yang optimum. (131pk)
Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita
berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan
pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali.
Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain
lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam
keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah
tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, Mencegah lebih
baik daripada mengubatinya. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini, keadaannya akan
boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,Cegah sebelum parah. Pendek kata,
kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita secara berdisiplin menjalani
pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara berjadual. (123 pk)
Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga
kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Hal ini
bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu What you are, is what

you eat. Boleh dikatakan seseorang yang mengamalkan pemakanan yang seimbang akan
memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna seseorang
mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan
seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan
dan keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih kalsium
berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas, seseorang perlu
merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang.
Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman bergas perlu dielakkan kerana boleh
memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai tahap kesihatan
adalah dengan mengamalkan diet makanan seimbang. (135pk)
Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan
riadah seperti berenang, jogging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik
untuk kesihatan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr.
Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit
dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah ini akan
menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan istiqamah
sesuai dengan peribahasa, Alah bisa tegal biasa. Dengan melakukan kegiatan riadah, otototot tubuh akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di samping itu,
seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman di taman-taman
permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat bekerja di
pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara untuk
memperoleh kesihatan yang baik. (134 pk)
Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan
kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan hidup yang negatif
telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif ialah amalan seks
rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak
serta lain-lainnya. Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup
muda-mudi dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen Katakan Tak Nak Pada
Rokok giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang penyakit seperti
Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-lain. Amalan-amalan sebegini perlu
dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat berdasarkan norma-norma agama dan
budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan
yang baik sebagaimana kempen Gaya Hidup Sihat yang diuar-uarkan oleh kerajaan. (132pk)
Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam
hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik.
Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan
melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan
diri agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi
sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogan, Rakyat
Sihat Negara Sejahtera. (70pk)

Anda mungkin juga menyukai