Anda di halaman 1dari 2

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa
impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh
kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami
sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu
pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup
sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai
tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

                 Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan
yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai
lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan
makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini
yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai
kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan
pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang
juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi
amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat
membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai
kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh
menerusi pemakanan yang seimbang.

                 Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang
dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti
seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama
keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan
mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem
imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang
sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya,
semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu
kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.

             Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi
memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti
menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu
dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit,
mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas
kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan
dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang
bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan
mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat
membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.

                Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan,
masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih
perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit.
Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan
kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan
kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan
pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu
bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan
cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai
penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.

                Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang
itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain
didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka
bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa
bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif.
Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan
atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu
bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan
sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.

                 Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh
seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang
positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda
kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran
terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat
kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh
mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka.
Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan
negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan.
Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang
mampu dicapainya kelak.

                Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua
amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat
mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap
masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang
menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami
bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
 

Anda mungkin juga menyukai