Anda di halaman 1dari 4

Andai patah sayap Rajawali,

Bertongkat jua saya ke mari,


Bukan hendak mencari calon suami,
Tetapi ingin membawa hadirin semua untuk kita sama-sama mengeksplorasi dan
memahami pidato saya pada hari ini.
Hadirin,
Dicuba-cuba banyak mulut yang mengata, dirangka-rangka banyak pula alasannya, lantas
apabila mereka ditanya tentang masa depan negara? Pandai pula menunduk diam tidak
bersuara. Agenda ini bukan semudah mencipta lagu Havana atau semudah
mendedangkan lagu Surat Cinta untuk Starla tetapi memerlukan pengorbanan tenaga dan
masa. Lantas saya bawakan mauduk pidato saya pada hari ini “TN50 TONGGAK
KETAMADUNAN NEGARA”

Sekalung penghargaan dan seuntai apresiasi buat saudari pengerusi, kombinasi


kehakiman yang berintelektual dan penuh bervisi, dif-dif kehormat yang saya sanjungi,
seterusnya, hadirin hadirat penyejuk di mata penawar di hati.

Assalamualaikum w.r.b dan salam sejahtera.


Apa khabar hadirin semua?
Sidang hadirin,
Pernah suatu ketika dahulu kita acap kali mendengar frasa “Wawasan 2020” yang menjadi
kayu ukur dan mercu kejayaan negara kita. Namun bagaimana pula keadaan negara kita
selepas tahun 2020? Ya, TN50 ialah jawapannya. Persoalannya, berapa ramai rakyat
pada hari ini cakna dan memahami signifikan gelombang perubahan yang akan dilakukan.
Tepuk dada, fikir fikirkanlah.

Hadirin,
Menurut YAB Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib bin Abd Razak, dalam Dialog
Perdana TN50 di Universiti Malaya, Transformasi Nasional 2050 merupakan satu inisiatif
pembangunan negara yang merangkumi tahun 2020 hingga 2050. Inisiatif ini akan dipacu
dengan matlamat dan sasaran yang jelas selama 30 tahun yang mana akan menjangkau
tiga dekad proses dan gerak kerjanya, bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-
benar berwibawa serta berminda par excellence. Manakala perkataan tonggak pula dapat
ditakrifkan sebagai tunjang ataupun dasar. Frasa ketamadunan negara pula ialah sebuah
negara yang telah menggabungkan aspek keluhuran budi bahasa dan ketinggian akal fikir
manusia bagi mengimbangi kemajuan material dan harta yang dimiliki oleh sesebuah
bangsa dan negara. Kerana apalah gunanya kekayaan material semata-mata, tetapi
sayang masyarakatnya kontang dari pengisian jiwa dan pembangunan minda. Tuntasnya,
agenda tansformasi negara berkehendakkan kita untuk memahami malah menghayati
tentang apakah tema-tema yang bersifat simbiotik untuk diketengahkan dalam TN50 bagi
memastikan negara kita Malaysia terus membangun di mata dunia. Ayuh saya bawakan
tuan-tuan dan puan-puan untuk menelusuri 3 fasa yang berbeza. Pertama, memakmur
ekonomi yang inklusif. Kedua, mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi demi
membentuk peribadi yang positif dan yang ketiga, menuju Aspirasi TN50 yang
bersifat progresif.
Hadirin,
Memakmur ekonomi yang inklusif merupakan salah satu wadah di bawah lembayung
dasar TN50. Tema ini adalah untuk memastikan kemakmuran dan kekayaan negara dapat
dinikmati secara saksama dan inklusif melalui pertumbuhan ekonomi domestik yang
kukuh serta berdaya saing. Stigma masyarakat yang bekerja sendiri dan bukan makan gaji
yang mendakwa bahawa kerajaan bersikap pilih kasih justeru dapat dipatahkan apabila
kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar buat pertama kalinya untuk kelompok
pesawah, petani, pekebun kecil, nelayan dan penoreh getah sebanyak RM6.5 billion.
Hadirin, sebagai pelajar IPTA dan bakal pendidik pada masa hadapan pula, kita dapat
melihat dengan jelas ekonomi secara inklusif ini apabila kerajaan telah membahagikan
bajet dan peruntukan sebanyak 250 juta dalam bidang penddidikan termasuklah
peruntukan 190 juta untuk menaiktaraf 2,000 kelas menjadi bilik darjah pintar
pembelajaran abad ke 21 dan 1.2 ribu pelajar IPT dan tingkatan enam menerima Bantuan
Baucer Buku bernilai 250. Saya fikir, tak perlu untuk saya bicarakan contoh yang jauh
tetapi kabur sedangkan permata yang ada di hadapan ini merupakan contoh yang paling
dekat dan jelas. Memegang taklifan sebagai bakal pendidik dalam bidang pendidikan awal
kanak-kanak, saya cukup berasa teruja dengan ekonomi secara inklusif ini apabila
kerajaan telah memperutukkan RM654 juta bagi sektor pembangunan pendidikan di mana
salah satunya ialah pembinaan empat buat prasekolah, tujuh pusat PERMATA dan dua
pusat kanak-kanak autisme.
Sidang hadirin yang saya kasihi, dekat di hati,
Indikator TN50 yang kedua iaitu mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi demi
membentuk peribadi yang positif dalam seluruh lapisan masyarakat. Mengambil iktibar
daripada perjuangan para Anbiya’, golongon solihin dan seluruh kehebatan sejarah
bangsa kita sendiri, malah turut dipesan oleh Imam al-Ghazali dan Bapak Hamka bahawa
apalah guna kita hanya kaya harta, tetapi miskin jiwa. Dunia pada hari ini sememangnya
diakui hebat dari segi pembangunan material. Ya Benar. Persaingan untuk mendapatkan
kekayaan memang berlaku di mana sahaja namun tuan-tuan dan puan-puan adakah kita
layak untuk dikatakan sebagai manusia dan bangsa yang bertamadun sekiranya
pengamalan moral tidak turut sama diadun. Betamadunkah kita sekiranya pembangunan
ekonomi yang dijana telah menghalalkan alam sekitar diseksa dan diperkosa hanya
kerana kerakusan tangan-tangan manusia. Bertamadunkah kita sekiranya senjata canggih
yang dicipta telah menghalalkan kekejaman penindasan dan pembunuhan ke atas mereka
yang tidak berdosa. Dari isu penindasan rakyat Rohingya sehinggalah peperangan antara
Palestin dan Israel adakah itu yang kita katakan sebagai tamadun yang kita bangga-
banggakan. Anda jawab? Tuntasnya, TN50 yang telah dirangka ini bukanlah omongan
kosong semata-mata tetapi inilah hasrat kerajaan yang ingin melihat sebuah bangsa
yang bukan sahaja hebat fizikalnya, bahkan kaya jiwa dan kaya pekertinya, yakni Par
Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.
Ketiga,
Menuju Aspirasi TN50 yang bersifat progresif. TN50 bukanlah satu lonjakan serta merta
tetapi usaha yang melibatkan sasaran jangka masa panjang dengan pencapaian yang
interim. Oleh sebab itulah kerajaan telah memutuskan transformasi pada kali ini
menggunakn proses bottom-up iaitu dari akar umbi dan bukannya atas ke bawah. Ini
bermakna, transformasi negara 2050 adalah berteraskan usahasama antara kerajaan dan
penglibatan rakyat bagi mendapatkan input dari semua lapisan masyarakat yang dilakukan
secara kolektif. Golongan belia tamsilnya, seramai 680 ribu belia telah menyuarakan 30
ribu aspirasi melalui proses dialog bengkel dan kaji selidik atas talian.
Walaubagaimanapun, harus diingat untuk mengutarakan sesuatu aspirasi itu perlulah
difikirkan kerelevenannya untuk diaplikasikan semasa tahun 2050. Oleh itu, saya menyeru
kepada semua bakal pendidik generasi revolusi penuh bervisi untuk berfikir sedalam-
dalamnya mencipta misi, menyulam aspirasi dan bukanlah bersikap seperti sesetengah
pihak yang lantang teriak mulut berkata, berupa dusta membusuk fakta, tidak kenal latas
menyebar cela malah tiada lagi usul periksa.
Kesimpulannya,
Sudah tiba masanya kita meletakkan satu matlamat, kita hidup bermuafakat dalam
kepelbagaian budaya masyarakat, Yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjjing hati
gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah gunung sama didaki lurah sam dituruni
semoga kesedaran kita hari ini dapat memberikan ruang dan peluang kepada anak-anak
kita untuk menyanyi menari dan hidup dalam keadaan yang harmoni. Hadirin suatu hari
nanti idea kita membawa perubahan, suatu hari nanti suara kita mendefinisikan Malaysia,
suatu hari nanti visi kita membentuk masa depan. Kita bina masa depan bersama. Ayuh.
“TN50 Tonggak Ketamadunan Negara”.

Anda mungkin juga menyukai