Anda di halaman 1dari 25

PIDATO SATU MALAYSIA

14 Jun

PIDATO SATU MALAYSIA nfmj Tahun 6 Cemerlang Terimakasih saudara pengerusi majlis, Assalamualaikum pembuka bicara, Kepada hakim yang arif bijaksana, Tak lupa juga penonton dan pengacara, Di majlis ini kita bersua. Yang di hormati barisan guru-guru, barisan panel hakim yang sentiasa berteraskan panji-panji keadilan, penjaga masa yang akur dengan detik-detik puakanya, barisan rakan pelajar dan sidang hadirin yang dirahmati Allah s.w.t. Assalamualaikum dan salam intelektual, berdirinya saya pada pagi yang indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk GAGASAN SATU MALAYSIA Sidang hadirin yang dimuliakan, Tanggal 3 April 2009 yang lalu, bermulalah detik era pemerintahan Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sebaik-baik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia yang ke 6, beliau sentiasa berusaha menyatupadukan warganegara majmuk. Sehubungan dengan itu, beliau telah memperkenalkan kepada rakyat Malaysia satu gagasan iaitu GAGASAN SATU MALAYSIA. Ungkapan RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN adalah tagline kepada gagasan tersebut. Natijah pembentukannya bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan dikalangan rakyat Malaysia yang semakin pudar. Ini adalah kerana perpaduan memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan dan kemajuan negara tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan. Oleh yang demikian, Gagasan satu Malaysia didukungi oleh teras perpaduan manakala teras perpaduan itu pula didukungi oleh nilai-nilai murni.

Para hadirin yang saya hormati, Seiringan dengan itu, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik serta agama diseru agar bersatu-padu memupuk perpaduan bergerak membentuk satu unity yang mengandungi nilai-nilai aspirasi iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, keberanian, meritokrasi, kesetiaan, ketabahan, integriti dan cintakan ilmu. Namun perpaduan hanya boleh dicapai dengan memastikan seluruh rakyat Malaysia memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni, teras aspirasi dan teras perpaduan, Melalui penyatuan rakyat, negara dapat membina satu negara bangsa yang kukuh, prograsif, makmur dan muafakat, bak kata bidalan muafakat membawa berkat. Para hadirin yang di rahmati Allahs.w.t. Pembentukan Gagasan 1 malaysia adalah bermatlamat supaya kepelbagaian sosio-budaya dan ekonomi rakyat dapat dicanai dan digemblengkan menjadi ciri-ciri kekuatan nasional dan seterusnya dapat diterjemahkan menjadi strategi pembinaan negara bangsa. Justeru itu, bagi mengaplikasikan gagasan ini, ianya memerlukan komitmen, kematangan minda, toleransi dan pengorbanan di kalangan warga Negara Malaysia. Maka semua rakyat Malaysia perlu menganggap Malaysia adalah miliknya dan semua bangsa di Malaysia adalah rakyat Malaysia, Lantaran itu, sama-sama lah kita bersatu untuk membangunkan negara Malaysia nan satu menuju kearah matlamat wawasan 2020. Akhirkata sebelum saya mengundur diri, izinkan saya sudahi pidato saya ini dengan serangkap pantun untuk renugan bersama Toleransi membina perpaduan, perpaduan teras kemajuan, gagasan satu Malaysia jadikan panduan, agar matlamat wawasan jadi kenyataan. Wabillah hi taufiq walhidayah Wassalamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh.

1b 1 MALAYSIA TERAS PERPADUAN NEGARA

Dalam kerancakan penduduk jagatraya berjalan bersama-sama bayang-bayang keharmonian, riang berlagu gembira, pemimpin diumpamakan sebagai jantung sesebuah negara. Pemimpin perlu bijak mengorak langkah proaktif untuk mengekalkan kestabilan keharmonian dan keamanan negara.. Umum mengetahui, keunikan Malaysia adalah bersandarkan kesejahteraan hidup kesatuan tiga kelompok berbeza bangsa dan agama namun masih mampu mengekalkan keamanan sejagat. Perpaduan menjadi elemen penting dan merupakan cerucuk dominan dalam mengekalkan keamanan. Oleh hal yang demikian, idea yang dilontar dan dilemparkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke lima, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib dalam mengetengahkan gagasan 1 Malaysia merupakan satu tindakan yang wajar dicontohi oleh tampuk kepimpinan yang lain. 1 Malaysia mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan YAB Perdana Menteri Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan. 1 Malaysia dikatakan membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan antara kaum bagi memastikan rakyat Malaysia menjalinkan perpaduan yang lebih erat. Sekadar memetik kata-kata Datuk Seri Najib, beliau berbicara saya berharap semua rakyat Malaysia melihat hari muka dengan lebih optimis dan keazaman untuk membina satu Malaysia yang lebih kukuh dan dinamik. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia telah menjadi asas pegangan dalam menjaga keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Umum mengetahui, perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1 Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1 Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset yang patut dibanggakan. Disini jelas menunjukkan bahawa negara mengekalkan keadilan setiap kaum tanpa mengubah pegangan dan cara hidup mereka. Rakyat diberi kebebasan dalam menentukan pegangan hidup masing-masing tanpa sebarang halangan. Memetik kata-kata daripada seorang peguam di Indonesia, beliau berkata keadilan yang hakiki hanya ada disyurga, tetapi kita di dunia cuba hampiri ke tahap itu. Justeru, kelebihan yang diperoleh apabila menjadi warga Malaysia seharusnya diiringi dengan rasa syukur kerana diberi peluang untuk hidup dalam suasana harmoni tanpa sebarang diskriminasi.

Seterusnya, 1 Malaysia ialah satu gagasan bagi memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan

rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Tidak kira sama ada Melayu, Cina, mahupun India, sikap ini perlu disemat kukuh dalam sanubari generasi hari ini untuk mengekalkan perpaduan negara. Kita tidak mahu negara gah dengan kemodenan berkelas pertama tetapi masyarakat masih mengamalkan gaya hidup berkelas ketiga lantaran ketempangan sikap saling menghormati. Masyarakat Melayu misalnya, perlu menghormati pegangan dan kepercayaan bangsa lain dan begitu juga sebaliknya kerana setiap bangsa mempunyai amalan dan kepercayaan yang tersendiri . Kita tidak boleh bersikap serperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dengan mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti bangsa lain. Di sinilah pentingnya sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat kerana apabila hidup di bawah satu bumbung bersama tiga kelompok berbeza adalah suatu perkara yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang enteng kerana setiap perlakuan dan tutur kata perlu dijaga rapi. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Justeru, sinergi daripada setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dengan menjadikan sikap saling menghormati sebagai salah satu inisiatif dalam mengekalkan perpaduan.

Pemimpin perlu bijak dalam memainkan peranan untuk membina rumpunan bangsa Malaysia yang bahu-membahu atau bantu-membantu agar dapat memperkukuh ikatan kaum yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan dan keharmonian negara. Apakah ikatan dan jalinan ini akan berterusan jika ada rakyat yang tidak tahu menilai perpaduan negara?. Oleh yang demikian, konsep 1 Malaysia yang diketengahkan mampu menyemai sikap saling bekerjasama sesama rakyat. Sekadar mengambil contoh daripada persekitaran sekeliling, rakyat Malaysia mampu menjalankan urusan perniagaan secara perkongsian walaupun berbeza bangsa. Selain itu, jika dinilai dari alam persekolahan, sekolah-sekolah Cina tidak lagi hanya didiami oleh bangsa tersebut semata-mata, malahan anak-anak Melayu dan India turut menuntut di sekolah yang sama. Begitu juga dengan bangsa India, mereka tidak hanya tertumpu kepada sekolah jenis kebangsaan tamil atau SJK(T) sahaja. Di sini jelas menunjukkan bahawa sikap kerjasama tidak hanya wujud dalam golongan profesional sahaja, anak-anak di bawah umur mahupun belia-belia harapan bangsa turut mampu mengamalkan sikap saling bekerjasama antara satu sama lain. Oleh hal yang demikian, konsep 1 Malaysia membantu memepertingkatkan lagi sikap tersebut seterusnya perpaduan negara lebih mudah dicapai.

Ketulusan dan keterbukaan sikap rakyat Malaysia hidup dalam kesatuan tiga kelompok berbeza bangsa sering menjadi buah mulut masyarakat seantero dunia yang kagum dengan perpaduan yang dikecapi. Teras perpaduan ini adalah komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Teras perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia. Teras perpaduan yang diterapkan iaitu penerimaan. Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif iaitu dengan menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan dan kadangkala diterima dengan tidak jujur. Malaysia

memerlukan rakyat yang dapat menerima apa sahaja perkara baik dan mendapat persetujuan secara kesepakatan. Penerimaan semua kaum mendapatkan apa yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Justeru, perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

Tuntasnya, konsep satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Melalui konsep 1 Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah bangsa Malaysia dan rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama-sama memajukan negara. Rakyat perlu menumpahkan sepenuh kesetiaan kepada negara sebagaimana setianya Hang Tuah kepada sultan. Kerajaan khususnya perlu menagih komitmen dan pengertian menyeluruh semua pihak terhadap kepentingan perpaduan negara dan peranan gagasan 1 Malaysia dalam membantu merealisasikan impian dalam membentuk sebuah negara bangsa. Keharmonian negara yang dikecapi dan keamanan menyirup udara segar hasil kemerdekaan perlu dikekalkan supaya keaman dan perpaduan ini tetap berterusan hingga generasi akan datang. Mantan Perdana Menteri Indonesia ada menyatakan, jika ingin melihat generasi pada masa akan datang, lihatlah generasi pada hari ini. NURUL ATHIRAH BINTI MOHAMAD YADI 5 IK 1

222222

1 Malaysia: Soalan yang relevan adalah Langkah/Cara/ Strategi/Kaedah


22222

menjayakan Gagasan 1 Malaysia.

Konsep 1 Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, telah diperkenalkan oleh Dato Sri Najib Bin Tun Abdul Razak setelah beliau secara sah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 3 April yang lalu. Pelbagai persepsi timbul daripada pengenalan konsep ini yang dikatakan menyamai konsep Malaysian Malaysia yang diperkenalkan oleh parti politik DAP pada tahun 1960-an. Namun hal ini hanya merujuk kepada ideologi politik yang diperjuangkan oleh individu yang bernaung dibawah pengaruh parti politik tempatan. Sesuatu yang seharusnya menjadi debat dan forum percambahan minda ialah kaedah dan pelaksanaan yang boleh diguna pakai untuk menterjemahkan ideologi kepimpinan beliau dan sejauh manakah pelaksanaannya mempengaruhi penerimaan masyarakat terhadap konsep baru ini. Oleh itu, definisi konsep yang seharusnya merangkumi pelbagai sudut pandangan perlu diperjelaskan untuk membolehkan penerimaan konsep ini dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia. Secara umumnya, Malaysia yang berlatarbelakangkan kepelbagaian kaum dalam satu

naungan kuasa raja berperlembagaan amat menitikberatkan semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi dalam setiap diri masyarakatnya. Hal ini perlu dijaga dan sering diberi perhatian bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara. Oleh itu, konsep 1 Malaysia ini secara sosiologinya bermaksud kewujudan satu bangsa yang besar yang digelar Bangsa Malaysia dan menggantikan dasar perkauman yang hanya menjauhkan hubungan antara kaum di negara ini. Bangsa-bangsa di negara ini harus membentuk satu budaya penerimaan pelbagai aplikasi adat, budaya dan peraturan yang dipraktikkan sesebuah kaum bagi meningkatkan kesefahaman dan menjayakan gagasan ini. Sikap hormat-menghormati dan mesra antara kaum amat penting bagi menzahirkan jati diri Bangsa Malaysia. Oleh itu, pemupukan nilai murni ini bolah dilaksanakan di peringkat awal lagi khususnya dalam membina kehidupan berjiran di kawasan perumahan agar gagasan 1 Malaysia dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat. Dalam aspek politik pula, gagasan ini perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman politik negara. Pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan bukan sahaja perlu bersama dalam

menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan ideologi dan kepentingan politik mereka. Hal ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang harus didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil tempat. Parti-parti politik yang berpengaruh perlu bersifat glokal bagi mancari usaha ke arah pembangunan modal insan yang jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus permodenan dunia. Persaingan politik perlu diketepikan dan pembentukkan sahsiah yang baik merupakan contoh yang berguna kepada masyarakat. Sikap suka menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia yang lebih bersifat menggalakkan dan mendukung usaha ke arah pembentukkan Bangsa Malaysia. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 seharusnya menjadi pedoman dalam setiap kamus kehidupan pemimpin mahupun rakyat di negara ini agar langkah menjaga Bangsa Malaysia dapat diperkukuhkan. Seterusnya, aspek ekonomi pula lebih memperlihatkan penghapusan dasar Pecah dan Perintah yang diperkenalkan oleh penjajah barat sebelum Tanah Melayu (Malaysia) mencapai kemerdekaan. Meskipun sudah 52 tahun, Malaysia mencapai kemerdekaan, namun kesan daripada dasar ini masih jelas kelihatan. Oleh itu, menerusi gagasan 1 Malaysia ini, sektor ekonomi lebih tertumpu kepada kesamarataan penguasaan ekonomi masyarakat. Jika dahulu kaum Melayu lebih tertumpu kepada bidang pertanian dan perikanan, kaum Cina memonopoli bidang perniagaan dan perlombongan serta kaum India hanya tertumpu kepada bidang perladangan dan estet, kini pelbagai kaum mampu menceburkan diri dalam bidang yang mereka mampu bangunkan. Monopoli bangsa tertentu ini mampu dipecahkan menerusi dasar-dasar yang dibentuk oleh ahli-ahli Dewan Parlimen menerusi kaedah perlembagaan negara. Dalam hal ini, bantuan dan sokongan daripada kerajaan mampu memberi peluang dan suntikan semangat kepada individu yang berusaha untuk menceburkan diri dalam bidang yang berpotensi untuk dimajukan. Kesannya, ekonomi negara mampu diperkasakan oleh rakyatnya sendiri yang membentuk gagasan 1 Malaysia. Dalam pada itu, aspek pendidikan turut menjadi fokus utama pengenalan gagasan 1 Malaysia. Institusi-institusi pendidikan di negara ini yang berlandaskan kurikulum yang telah ditetapkan Dasar Pendidikan Negara perlu memperkenalkan dan menerapkan nilai-nilai 1 Malaysia dalam diri dan mentaliti pelajar agar memahami kepentingan dan kewajaran gagasan ini diperkenalkan. Secara definisinya, konsep 1 Malaysia dalam yang hanya pendidikan merangkumi pembentukan sistem golongan pendidikan yang ideal dan sesuai untuk keseluruhan masyarakat amnya. Penghapusan dasar pendidikan berkepentingankan sesebuah bangsa dan menafikan hak tertentu merupakan matlamat 1 Malaysia dalam pendidikan. Persaingan yang sengit antara pelajar hari ini dalam memperoleh peluang pendidikan yang lebih tinggi menuntut kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bertindak bijak dan saksama agar peluang yang diwujudkan tidak menindas mana-mana pihak atau bangsa tertentu. Selain itu, pembentukan satu jenis sekolah sahaja yang menggunakan satu bahasa penghantar yang rasmi iaitu bahasa Melayu mampu melahirkan bangsa Malaysia yang mantap dari segi perhubungan antara kaumnya. Justeru itu, tindakan-tindakan seperti ini amat membantu dalam melahirkan golongan pemimpin yang berfikiran kreatif dan berpandangan jauh untuk masa depan negara mereka yang tercinta.

Selain itu, aspek agama dan kepercayaaan setiap bangsa di Malaysia turut diambil kira dalam usaha menjayakan gagasan 1 Malaysia. Hal ini kerana, agama dan kepercayaan merupakan pengaruh terbesar dalam menghasilkan keputusan yang melibatkan pertimbangan yang dilakukan oleh aspek lain. Oleh sebab itu, 1 Malaysia dalam soal agama dan kepercayaan merujuk kepada sikap keterbukaan masyarakat dalam menerima dan menghormati prinsip dan amalan agama sesebuah bangsa. Agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian merupakan agama yang menjadi anutan sebahagian besar masyarakatnya. Justeru itu, sensitiviti agama dan perkauman perlu dijaga dan tidak boleh dipermainkan bagi menimbulkan kemarahan dan ketegangan yang seterusnya menidakkan kejayaan gagasan ini. Pengenalan konsep rumah terbuka dan kunjungmengunjung yang semakin diguna pakai semasa musim perayaan oleh masyarakat tempatan merupakan salah satu kaedah bagi mempelajari sesuatu adat dan memahami sensitiviti sesuatu kaum seterusnya memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain. Langkah muhibah ini mampu memperjelaskan lagi secara rohaninya konsep 1 Malaysia. Kesimpulannya, gagasan 1 Malaysia bukan sahaja satu harapan untuk generasi akan datang sebaliknya langkah ke arah pembentukannya perlulah bermula daripada sekarang. Seruan pemimpin negara, perlu disahut semua pihak dalam usaha menjayakannya. Perkongsian ideologi dalam menjayakannya perlulah bersifat mantap dan pelaksanaannya perlulah secara bersepadu bagi merealisasikan harapan beliau kepada negara. Kesannya bukan sahaja melibatkan negara secara umumnya, malahan meliputi pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Oleh itu, semangat 1 Malaysia perlu didukung semua pihak untuk memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi dan menyiapkan negara dalam mengharungi arus permodenan, pembangunan, persaingan dan globalisasi dunia. Diharap gagasan ini akan mencapai matlamat dan halatuju seperti yang telah ditetapkan.

333

KONSEP 1 MALAYSIA (Fokus Kertas 1 SPM 2009)

BAHAN MAKLUMAT - KONSEP 1 MALAYSIA ( PENJELASAN MENGENAI LAPAN NILAI)


1 MALAYSIA (Disediakan Oleh: Bahagian Penerbitan Dasar Negara) 1. PENGENALAN

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. 1 Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

1 Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. 1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara. Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. 1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti. 2. DEFINISI Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak: Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. 2.1 Huraian Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut : 2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing. Ayat yang menyebut Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum. Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama. Sementara ayat dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia. 2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing. Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.

3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut: 3.1. Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza. 3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.

4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu. Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usahausaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh PerdanaPerdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

6. MATLAMAT 1 Malaysia bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.

1 Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato Sri Najib Tun Razak iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. 7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep 1 Malaysia. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah: 1. Budaya kecemerlangan 2. Ketabahan 3. Rendah hati 4. Penerimaan 5. Kesetiaan 6. Meritokrasi 7. Pendidikan 8. Integriti 7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. 7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara. 7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan. 7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport. 7.2. KETABAHAN Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. 7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara. 7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat. 7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu. 7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif. 7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya 7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan 7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara. 7.3 RENDAH HATI Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga

dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri. 7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. 7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia. 7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip. 7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada. 7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

7.4. PENERIMAAN Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsurunsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran. 7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. 7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini. 7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.

7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan 1 Malaysia. 7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.

7.5 KESETIAAN Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. 7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan. 7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran. 7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak. 7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin. 7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan. 7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama. 7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik. 7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang. 7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan. 7.6 MERITOKRASI Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. 7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut.. 7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih. 7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang. 7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteriakriteria yang ditetapkan. 7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan. 7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi. 7.7 PENDIDIKAN Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. 7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka. 7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular. 7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama. 7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.

7.8 INTEGRITI Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan. 7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan. 7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima. 7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna. 7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan. 7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan 7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah. 7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

8. KESIMPULAN

Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep 1 Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara. Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini. Dicatat oleh Idris Bin Saleh di 11:27:00 PTG Label: KONSEP 1 MALAYSIA (Fokus Kertas 1 SPM 2009)

4444

Untuk menjayakan wawasan 1 Malaysia, negara memerlukan orang yang berintegriti tinggi, bersifat jujur, berkebolehan, telus, ikhlas dan sikap amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. Oleh itu,kita harus bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Remaja yang cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang,mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan

yang terbaik kepada negara.Sebagai remaja yang berwawasan,kita harus bersikap muhibbah kepada semua kaum, segenap bangsa dan seluruh agama yang berlainan daripada kita. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia terutamanya remaja,tanpa mengira usia keturunan dan anutan agama, perlu bertindak sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia. Jika kita semua boleh berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia. Lihat sahaja negara matahari terbit Jepun, dan juga Korea: Sifat rakyatnya yang mempunyai hanya satu hala tuju berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia mesti kita contohi. 1Malaysia adalah gagasan yang mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa mengubah identiti kaum-kaum tersebut. Di samping menjaga kepentingan semua kaum,konsep 1Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pewujudan sebuah Bangsa Malaysia.Oleh itu kita semua tidak harus bersikap memilih kawan berdasarkan kaum dan perlu saling hormat menghormati sesama kita sebagai rakyat dalam satu negara. Turut serta menghormati perayaan kaum lain juga merupakan salah satu peranan yang boleh dilakukan bagi mewujudkan perpaduan .Selain dapat mengeratkan hubungan sesama kaum,kita juga dapat mengenali dengan lebih dekat tentang perayaan,adat serta budaya kaum lain. Malahan 1Malaysia juga menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu asset atau kelebihan yang patut dibanggakan. Konsep 1Malaysia menekankan kepada pendidikan sebagai prasyarat yang penting. Negara kita Malaysia amat memerlukan masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan untuk membangunkan negara. Oleh itu, anda sebagai remaja harus lebih banyak membaca dan menyelidik di samping sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan kaum lain bagi mengadakan aktiviti bersama. Kesimpulannya, konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagai mana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Sehubungan dengan itu,remaja perlu memahami dan mengamalkan ideologi bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Manakala,semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. You might also like:

5555 Kepentingan Konsep 1 MALAYSIA


Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 37 Oleh: EDITORIAL FOKUS SPM Tarikh: 8 Februari 2013

Saban hari masyarakat dihidangkan dengan berita tentang konsep 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu YAB Datuk Seri Najib Tun Razak. Konsep ini bukanlah suatu perkara baru, sebaliknya merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan untuk memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara yang sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Konsep ini diilhamkan berdasarkan keadaan berbilang kaum hidup dengan aman di Malaysia serta prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Konsep ini bertujuan menjana perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia dan melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu. Konsep 1 Malaysia dikatakan signifi kan kerana konsep ini dapat menghapuskan perselisihan faham antara kaum serta dapat merapatkan hubungan antara kaum.

Misalnya orang Cina dapat lebih memahami tentang budaya dan adat resam orang Melayu jika hubungan rapat diwujudkan di antara mereka. Secara langsung, perselisihan faham di antara kaum juga dapat dihapuskan. Selain itu, konsep 1 Malaysia turut memajukan ekonomi di negara Malaysia. Hal ini disebabkan keadaan perpaduan yang dilahirkan daripada konsep 1 Malaysia akan menarik pelabur atau syarikat luar negara untuk melabur di Malaysia.

Di samping itu, konsep 1 Malaysia juga dapat menjana transformasi di Malaysia. Kebanyakan penduduk di desa mempunyai fi kiran yang kolot serta lama. Jika konsep 1 Malaysia dapat ditanam di kalangan mereka, mereka akan dapat menerima transformasi yang diperkenalkan oleh kerajaan.Selain itu, dalam konsep 1 Malaysia, semua rakyat tidak mengira kaum boleh mendapat bidaan projek pembangunan kerajaan dengan adil dan saksama.

Seterusnya, indoktrinasi konsep 1 Malaysia turut akan menjamin keadaan politik stabil di Malaysia. Pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan bukan sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan ideologi dan kepentingan politik mereka. Hal ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 seharusnya menjadi pedoman dalam setiap kamus kehidupan pemimpin mahupun rakyat.

Rentetan itu, konsep 1 Malaysia ini pun boleh melahirkan pemimpin yang berwibawa serta menitikberatkan perpaduan di Malaysia pada masa kelak. Hal ini disebabkan kanak-kanak hari ini yang disemaikan dengan konsep 1 Malaysia berkemungkinan menjadi seorang pemimpin pada suatu hari nanti. Disebabkan konsep 1 Malaysia yang telah disemaikan sejak kecil, mereka akan menghormati adat resam kaum lagi. Secara langsung, rakyat akan dipengaruhi oleh sikap pemimpin tersebut serta mengambilnya sebagai teladan dalam kehidupan. Dengan ini, perpaduan antara rakyat dapat dikekalkan selamalamanya.

Akhirnya, reputasi negara Malaysia dapat dipertingkatkan melalui konsep 1 Malaysia. Warren Edward Buffett, seorang pelabur yang terkenal di dunia pernah berkata anda memerlukan lebih daripada 20 tahun untuk membina reputasi tetapi untuk memusnahkannya, anda hanya memerlukan masa lima minit. Oleh itu, adalah mustahak bagi kita untuk menjaga reputasi negara. Konsep 1 Malaysia yang menjana perpaduan memang dapat mengharumkan nama Malaysia.

Deduksinya, konsep 1 Malaysia adalah mustahak bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Oleh itu, konsep 1 Malaysia perlu didukung semua pihak untuk memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi. Diharapkan semua rakyat Malaysia berganding bahu untuk berusaha agar konsep 1 Malaysia menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata sahaja.

666

Wednesday, 23 November 2011


Apa itu Gagasan 1Malaysia ?
Gagasan 1Malaysia diperkenalkan pada 3hb April 2009 oleh Perdana Menteri Malaysia ke-enam, Dato Seri Najib Tun Abd.Razak. 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula untuk memastikan aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 dapat dicapai. Gagasan 1Malaysia berpaksikan prinsip Rakyat Didahulukan , Pencapaian Diutamakan bertujuan melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran globalisasi yang melanda dunia ini.

Objektif Utama Gagasan 1Malaysia

1Malaysia adalah satu gagasan bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiapa rakyat Malaysia.

1Malaysia adalah penerusan agenda pembinaan negara menerusi perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Dua Aspek Utama Dalam 1Malaysia

Gagasan 1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama seperti yang berikut ;

ASPEK PERTAMA : PENERAPAN TERAS TERAS PERPADUAN

Teras perpaduan akan menguatkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Teras perpaduan ini didukung oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia.

ASPEK KEDUA : PENERAPAN NILAI-NILAI ASPIRASI

Teras Nilai-nilai Aspirasi akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan seterusnya membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan matang. TIGA PRINSIP TERAS PERPADUAN

1Malaysia disandarkan kepada tiga prinsip TERAS PERPADUAN dalam memperkukuhkan perpaduan nasional seperti yang berikut ;

1.

PENERIMAAN Menerima hakikat bahwa rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kepelbagaian dari segi cara hidup, amalan dan kebudayaan. Rakyat harus menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia.

2.

KENEGARAAN Konsep perpaduan semangat nasionalisme dan cinta akan negara menjadi asas pembentukkan 1Malaysia.

3.

KEADILAN SOSIAL Memberikan kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting secara adil tanpa mengira latar belakang atau agama. Setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan perkhidmatan kepada kaum-kaum lain. LAPAN NILAI ASPIRASI

1.

BUDAYA BERPRESTASI TINGGI Setiap perkara dan tugas dilakukan secara cemerlang.

2.

BUDAYA KETEPATAN Mencapai status negara maju dengan menepati waktu dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua tugas dan kewajipan.

3.

BUDAYA ILMU Rakyat memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi dan terkini serta kesediaan untuk menimba ilmu secara berterusan.

4.

INTEGRITI Rakyat memiliki integrity yang tinggi yang mencakupi nilai-nilai murni seperti amanah, bersih dan cekap dalam melaksanakan tugas dan tanggung-jawab.

5.

KETABAHAN Rakyat memiliki sifat berdedikasi , penuh iltizam, azam dan tekad serta tidak mudah mengaku kalah dalam mengharungi masaalah dan cabaran.

6.

KESETIAAN Rakyat harus memiliki kesetiaan yang sepenuhnya terhadap negara dan sedia berbakti dan berkorban demi negara.

7.

KEBIJAKSANAAN Rakyat harus menghadapi sebarang masaalah secara penuh berhemah dan teliti bagi mengelakkan sebarang konflik antara kaum.

8.

BUDAYA INOVASI Rakyat haruslah berinovasi, iaitu memiliki sifat-sifat seperti berani berubah untuk kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam menangani masaalah dan sentiasa perintis dalam apa jua lapangan. 777

Anda mungkin juga menyukai