Anda di halaman 1dari 3

Karangan Jenis Syarahan

Anda mengambil bahagian dalam suatu pertandingan syarahan. Tajuk


syarahan ialah Ke Arah Melahirkan Masyarakat Yang Berilmu Dan
Berdisiplin. Sediakan teks syarahan anda itu selengkapnya.
Langit biru, segara hitam ciptaan Tuhan. Sayangnya manusia sekarang,
akal ada, akhlak hilang, sibuk mencari impian, lupa diri, lupa Tuhan. Akhirnya datang
suatu cahaya dari kunang-kunang yang berterbangan.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih tuan pengerusi majlis,
para hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang tidak lari dari landasan
waktunya, dif-dif kehormat, tidak dilupakan saudara dan saudari yang dihormati.
Tampilnya saya selaku anak nusa mengepal segenggam harapan, menjunjung
seribu impian menerusi sentuhan rasa topik syarahan saya yang berbunyi, Ke arah
melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin.
Sidang hadirin,
Secara keseluruhannya, topik syarahan pada malam yang permai ini
menyentuh tentang suatu usaha ataupun ikhtiar untuk mewujudkan golongan yang
berpengetahuan tinggi dan seterusnya mempunyai sifat patuh kepada segala
peraturan yang diberi. Pengertian ini dalam konteks syarahan pada malam ini
merangkumi suatu aspek yang luas, meliputi kepandaian dan pengetahuan yang
melibatkan keduniaan dan keakhiratan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Ilmu umpama bintang-bintang yang bergemerlapan, memberi sinar paduan
kepada manusia; disiplin pula diibaratkan umpama tabir hitam yang menampakkan
seri kerlipan bintang-bintang yang menerangi kegelapan malam. Ikatan mesra
antara dua perkataan itu adalah bagaikan aur dengan tebing; tak mungkin berpisah
kerana kedua-duanya saling berperanan dalam memajukan manusia. Berkat ilmu
dan disiplin, pembesar suara ini tercipta, Dewan Seri Cahaya ini indah bercahaya,
penonton pula tersenyum ria semoga pertandingan syarahan pada malam ini dapat
dijalankan dengan lancar dan jayanya.
Hadirin dan hadirat,
Apa yang dipertekankan dalam konteks syarahan pada malam ini ialah
mewujudkan golongan berilmu dan berdisiplin di samping memperlihatkan dan
mendedahkan kesan-kesan langsung atau tidak langsung yang akan timbul
daripadanya. Sesungguhnya kesedaran
merupakan benih utama yang
mencambahkan keutuhan ilmu dan disiplin di kalangan masyarakat, di mana kita
harus bersama-sama memelihara dan menanam dalam sanubari kita. Golongan
pertama yang memainkan peranan ialah institusi keluarga. Setiap anak yang
dilahirkan umpama tabula rasa - kosong tiada isi. Justeru, ibu bapalah selaku rabbi
yang akan mencorakkan rasa kesedaran ini di kalangan anak-anak mereka.
Pendidikan secara tidak
langsung yang diterima di rumah melalui pembentukan
rohani, emosi dan jasmani ternyata jelas membentuk satu asas ilmu dan disiplin di
kalangan anak-anak yang menjadi harapan mereka.
Setelah generasi kecil ini menjadi dewasa dan mula mengenali alam
persekolahan, institusi pendidikan akan meneruskan peranannya . Dalam usaha ini,
Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kebijaksanaannya telah melengkapkan
KBSR dan KBSM, malah kini Sekolah Bestari sudah mula diperkenalkan di seluruh
negara. Selain itu, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) yang merupakan nadi
dalam merangka, menyusun, menyemak semula dan melaksanakan kurikulum,

akan memperkenalkan kurikulum baharu. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia


2013 2025 pula bercirikan futuristik dengan harapan melahirkan modal insan yang
dapat bersaing dengan generasi luar negara. Hal ini penting berdasarkan cabaran
yang akan dihadapi dalam era globalisasi.
Di samping itu, kerajaan juga memainkan peranannya. Selepas merdeka,
didapati bahawa sistem penddikan negara hanya menekankan kecemerlangan
dari segi ilmu sedangkan keunggulan disiplin dan amalan dianaktirikan. Apabila
menyedari akan hakikat ini, kerajaan Malaysia dengan tradisi membela rakyatnya
cuba mewujudkan msyarakat yang berpengetahuan dan berdisiplin dengan
melaksanakan berbagai-bagai dasar seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam,
Cintailah Bahasa Kita, dan Dasar Pandang Ke Timur yang meliputi etika kerja dan
kawalan mutunya ternyata berupaya melahirkan masyarakat yang berilmu dan
berdisiplin. Selain itu, kerajaan kita juga merangka dan menjalankan programprogram pembangunan diri seperti Rumahku Syurgaku, Rakan Muda, Wawasan
2020, Koridor Raya Multimedia, dan internet. Sesungguhnya usaha murni ini harus
dipertingkatkan; janganlah dinanti-nanti, janganlah ditangguh-tangguh sehingga
masyarakat kita kembali teraba-raba dalam kegelapan, kembali ketandusan moral
dan pendirian sehingga rambut mereka terpacak, baju terangkat, seluar terencat,
wujud kumpulan Black Metal, Hip-Hop hingga mata naik terbeliak.
Ya, tuan-tuan dan puan-puan,
Seterusnya golongan yang memainkan peranan paling besar ialah
masyarakat - ya termasuklah saya, panel hakim dan anda semua. Oleh yang
demikian, apakah yang harus kita lakukan? Ya, dengan mencelikkan mata jiran
tetangga, menyedarkan saudara-mara dengan semangat cintakan negara agar kita
dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin. Seterusnya dapat
mewujudkan rasa cinta mereka kepada ilmu dan disiplin - bagaimana cintanya Dewi
Sita kepada Dewa Rama dalam Hikayat Seri Rama.
Dengan adanya ilmu dan disiplin, rakyat Malaysia dapat menghindarkan
dakyah-dakyah beracun yang boleh menimbulkan konfrontasi. Suasana konflik dan
suasana kritikal ini akan mencemarkan status negara kita yang berdaulat dan
meredeka. Demikianlah sidang hadirin dan hadirat, betapa pentingnya peranan dan
peraturan dalam mewujudakan manusia yang berpengetahuan dan berdisiplin.
Sidang hadirin,
Setelah mengetahui peripentingnya peranan dan peraturan ini, marilah
bersama-sama mengkaji apakah kesan-kesan yang diperlihatkan hasil daripada
perancangan ini. Ilmu dan disiplin tidak mudah terpisah dalam perkembangan politik
tanahair. Berkat kecekapan dan kepandaian pemimpin kita dengan sifat Besih,
Cekap, dan Amanah yang ditunjukkan, YAB Dato Seri Mohd Najib Bin Tun Razak
dengan Barisan Nasionalnya telah membentuk suatu pakatan yang utuh, dengan
benteng yang kukuh bersama-sama MCA dan MIC. Pembentukan ini akhirnya
membawa kepada penyatuan rakyat yang menjurus kepada kemajuan negara.
Keutuhan ilmu dan disiplin dalam kalangan perwira merupakan tonggak
kekuatan pertahanan negara. Berbekalkan ilmu pertahanan di dada, diperteguhkan
lagi dengan disiplin yang sedia ada, diperkuatkan lagi dengan tiupan semangat
Kanang Anak Langkau Agi Hidup Agi Ngelaban dapat menjinakkan seteru-seteru
negara. Bayangkanlah sidang hadirin bayangkanlah perwira negara kita yang cetek
pemikiran dan goyah pendirian, terpengaruh dan terjebak dalam kancah dadah,
terhoyong-hayang, tidak mampu memegang senapang di perbatasan, mampukah,
terdayakah mereka mempertahankan negara sidang hadirin sekalian?
Saudara dan saudari,

Begitu jugalah dalam bidang sukan dan rekreasi. Dengan berbekalkan ilmu
dalam mendaki gunung dan disiplin semasa menjalani latihan, pasukan pendaki
Gunung Everest telah berjaya menawan puncak Gunung Everest yang merupakan
gunung tertinggi di dunia dan wira negara kita telah mengharumkan nama negara.
Mereka juga membuktikan kepada dunia bahawa MALAYSIA BOLEH.
Sidang hadirin yang dihormati,
Dahulu nenda berpelita, kini cahaya dari kaca; dahulu bonda terpaksa
mengambil air di perigi, kini hampir semua ini tiada lagi, air di pili menjadi pengganti.
Di samping itu, berkat ilmu dan disiplin dalam pembuatan kereta, negara kita telah
berjaya mengeluarkan kereta nasional kita, iaitu kereta Proton. Kini kita boleh
berbangga dengan pencapaian kereta nasional kerana telah berjaya menembusi
pasaran antarabangsa.
Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa ilmu dan disiplin merupakan
khazanah yang tidak ternilai harganya. Marilah kita bersama-sama melahirkan
masyarakat yang berilmu dan berdisiplin.
Kalau ada sawah bendang,
Dapat kita menuai padi;
Kalau ada umur panjang,
Dapat kita berjumpa lagi.
Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai