Anda di halaman 1dari 5

UNIT 9 : TELEPERUBATAN [AMALAN PEMAKANAN SEIMBANG]

SOALAN : Makanan seimbang amat penting kepada setiap orang. Huraikan


kepentingan makan makanan seimbang.
Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir orang ramai yang rancak memperkata
tentang pemakanan seimbang. Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk

keperluan tubuh badan manusia yang amat memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan
penjagaan kesihatan. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa makanan yang kita nikmati
akan membentuk fizikal, mental waima keperibadian seseorang. Oleh itu, saya ingin memperhalusi topik
pada hari ini yang menyentuh tentang kepentingan makan makanan yang seimbang.
Pada realitinya memang tidak dapat dinafikan bahawa pemakanan seimbang mampu menjadi faktor
dominan yang merangsang tumbesaran seseorang itu menjadi lebih sempurna. Bagi membina tubuh badan
yang kuat dan kudrat tulang empat kerat yang berfungsi dengan sempurna, kita memerlukan zat yang
mencukupi seperti protein, karbohidrat serta kalsium. Tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas
membolehkan seseorang manusia itu mampu melunaskan amanah yang dipikul dengan begitu lancar dan
sempurna. Jelaslah bahawa pemakanan seimbang amat penting bukan sahaja untuk tumbesaran fizikal
manusia malahan turut menjadi agen penggerak yang paling efektif bagi memastikan kesejahteraan
berkekalan.
Selain itu, pemakanan seimbang boleh mengelakkan gangguan perkembangan mental seseorang.
Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu terganggu dan mengalami
pelbagai kemudaratan. Keadaan ini juga menyebabkan kita mudah berasa letih. Sebagai contohnya,
sekiranya seseorang kekurangan sumber vitamin c dan zat yang penting, mereka akan menghadapi masalah
daya ingatan. Hal ini juga menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalah yang
dihadapinya. Sudah terang lagi bersuluh, pemakanan seimbang menjadikan pemikiran manusia lebih stabil
dan berdaya tahan persis cogan kata badan sihat otak cerdas.
Selanjutnya, pemakanan seimbang juga membekalkan vitamin yang cukup kepada badan seseorang.
Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih sihat dan cergas. Sebagai contoh,
vitamin c amat diperlukan untuk kesihatan kulit. Vitamin ini sangat mustahak untuk tulang dan gigi, untuk
pembuluh darah, dan penyembuhan luka. Vitamin C juga membantu dalam proses metabolisme dengan
membantu badan mengeluarkan kumuhan hasil dari proses metabolisme yang digelar sebagai radikal bebas.
Vitamin ini boleh diperoleh daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin yang terkandung dalam piramid
makanan. Oleh itu, keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan manusia lebih sihat.
Pengambilan makanan seimbang juga dapat mengelakkan seseorang daripada dijangkiti penyakit.
Dengan cara ini,seseorang itu tidak mudah dijangkiti penyakit. Penyakit seperti kencing manis dan darah
tinggi berpunca daripada pengambilan gula dan garam secara berlebihan. Sekiranya amalan pemakanan
seimbang diamalkan, tentunya gula dan garam ini akan diambil dalam kuantiti yang sedikit. Hal ini
bersesuaian dengan peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati. Dua penyakit ini merupakan
pembunuh senyap yang mendatangkan risiko penyakit berbahaya seperti penyakit Jantung dan Strok.
Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan sihat sepanjang hayat.
Pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti iaitu kegemukan dalam
kalangan masyarakat . Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah
mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup berkhasiat. Pengawalan pemakanan sebegini
menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai
aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika
seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.
Sudah terang lagi bersuluh, makanan seimbang amat penting kepada setiap orang. Oleh itu, kita perlu
mengambil makanan yang seimbang agar kesihatan kita terjamin. Jika kita masih ingkar dan tidak mahu
berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah. Ketika itu mungkin sudah
terlewat untuk kita semua merancang prakarsa yang pragmatik.

UNIT 10 : SUKAN SEANTERO DUNIA [SUKAN MENGHARUMKAN NAMA NEGARA]


SOALAN : Sukan bukan sahaja sebagai aktiviti yang menyihatkan badan, malah
bernilai komersial serta boleh mengharumkan nama sebuah negara. Bincangkan
kepentingan sukan kepada diri dan negara.
Menurut Charles Swindoll, Orang yang berjaya bukanlah orang yang memendam
semangatnya kerana takut gagal, bukan juga orang yang tidak pernah gagal, tetapi ialah
orang yang masih tetap maju ke depan sungguhpun menempuh kegagalan. Kata-kata di
atas sengaja dipetik untuk membuktikan bahawa atlet Malaysia walaupun sering kecundang
di pentas antarabangsa, tetapi boleh maju jika ada kesungguhan untuk meraih kejayaan.
Sesungguhnya kejayaan dalam bidang sukan amat penting kepada diri sendiri dan juga
negara. Oleh itu, tiada sebab mengapa kita harus bersikap negatif terhadap sukan,
sedangkan banyak faedah yang boleh diperoleh apabila melibatkan diri dalam bidang sukan.
Antara kepentingan sukan ialah sukan dapat melahirkan insan yang cergas dan cerdas.
Aktiviti sukan yang melibatkan pergerakan anggota badan mampu menguatkan sendi-sendi
dan otot-otot tubuh menyebabkan lemak yang termendap dalam badan dapat digunakan
untuk menjana tenaga. Dengan ini, mereka yang aktif dalam sukan akan terhindar daripada
pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung dan diabetes, seperti kata pepatah otak yang
cerdas terletak pada badan yang sihat. Jelaslah bahawa sukan mampu melahirkan insan
yang mempunyai otak yang cerdas dan badan yang sihat.
Bagi seorang pelajar, sukan mampu mendidik pelajar untuk belajar menerima
kegagalan. Sebagai contohnya, sudah menjadi adat pertandingan, ada menang dan ada
kalah. Kita akan berasa gembira apabila berjaya dan akan berduka apabila gagal. Namun
begitu, oleh sebab hal ini sudah kerap dialami, menyebabkan hati kita cekal menghadapi apa
sahaja walaupun gagal dalam peperiksaan, percintaan, dan mahupun pekerjaan. Kita akhirnya
akan menjadi seorang yang tabah, berani, dan sentiasa mahu mencuba. Sesungguhnya diri
sendirilah yang bakal mencorakkan masa depan. Daripada mengikutkan hati mudah dan
melakukan perkara yang tidak berfaedah, lebih baik memanfaatkan masa dengan bersukan.
Seterusnya, sukan membantu mengatasi pelbagai masalah sosial. Sejak akhir-akhir ini,
masyarakat didedahkan dengan masalah remaja yang suka melepak, bohsia, penyalahgunaan
dadah, dan vandalisme. Memang banyak faktor yang memungkinkan masalah ini berlaku
tetapi yang paling jelas, masalah ini berpunca daripada remaja yang tidak tahu
memanfaatkan masa yang terluang. Jika mereka meminati aktiviti sukan, masa yang terluang
selepas habis sekolah atau bekerja akan digunakan untuk ke gelanggang permainan. Selepas
selesai mengikuti sesi permainan, badan sudah letih dan malampun telah tiba. Jadi, tiada
ruang untuk berfikir untuk bertemu rakan-rakan yang suka melepak. Benarlah bahawa sukan
membantu mengatasi masalah sosial.
Selain itu, pergaulan dan interaksi sesama atlet dan pemain daripada pelbagai kaum
mampu mewujudkan perpaduan kaum. Ketika bersukan, kita akan melupakan warna kulit.
Kita tidak akan mengambil peduli sama ada rakan sepermainan itu orang Melayu, Cina,
ataupun India. Sebagai contohnya, sebelum sesuatu pertandingan, kebiasaannya para atlet
atau pemain akan berkumpul di kem latihan dalam tempoh biasanya tidak kurang dari
seminggu. Di situlah mereka tinggal, berlatih, makan, dan berehat bersama-sama demi satu
misi untuk mengharumkan nama sekolah, negeri, ataupun negara tanpa memikirkan warna
kulit. Tegasnya, kegiatan sukan mampu mewujudkan perpaduan kaum.
Selanjutnya, sukan mampu mengangkat martabat negara ke mercu yang lebih tinggi.
Pencapaian dalam bidang sukan menyebabkan nama Malaysia terukir di pentas
antarabangsa. Sebagai contohnya, kejayaan Mohd. Hafiz Hashim yang menjadi juara Seluruh
England dalam permainan badminton pada awal 2003 menyebabkan nama negara disebutsebut. Sebelum ini tidak ramai masyarakat dunia yang mengenali Malaysia tetapi dengan
sukan, mata masyarakat dunia seakan-akan mula terbuka. Dalam jangka panjang keyakinan
mereka bukan sahaja kepada sukan, tetapi dalam bidang-bidang lain seperti pelancongan dan
perindustrian. Jelaslah bahawa sukan mampu mengangkat martabat negara ke pentas
antarabangsa.

Pada keseluruhannya, dapatlah kita simpulkan bahawa terdapat pelbagai kebaikan sukan kepada diri
dan negara. Namun demikian, kesemua usaha tersebut tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya sekiranya tiada
kerjasama daripada pelbagai pihak. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak

kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut menggalakkan anak-anak mereka
bersukan. Begitu juga dengan guru-guru mereka perlu melengkapkan diri dengan pelbagai
kemahiran sukan. Kerjasama yang berterusan antara semua pihak akan melahirkan lebih
ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita
tidak melakukannya hanya hangat-hangat tahi ayam.
UNIT 11 : KOMUNIKASI GLOBAL [INTERNET DAN DUNIA TANPA SEMPADAN]
SOALAN : Penggunaan internet banyak mendatangkan kebaikan dan keburukan
dalam kehidupan seharian. Huraikan kebaikan dan keburukan internet.
Internet merupakan rangkaian maklumat antarabangsa yang terbesar di dunia yang memungkinkan
kita saling bertukar informasi mahupun data maklumat. Dunia Tanpa Sempadan adalah satu istilah yang
sinonim dengan internet yang menggambarkan penggunaan jaringan internet yang semakin meluas.
Pada masa kini, pelbagai kemudahan telah muncul kesan daripada pembangunan sains dan teknologi
semakin berkembang pesat dari hari ke hari. Segala kemudahan ini telah menjadikan kehidupan manusia
maju ke hadapan. Setiap sesuatu benda atau perkara itu pasti ada kebaikan dan keburukannya. Sama
juga seperti internet yang turut mendatangkan kebaikan dan juga keburukan.
Antara kebaikan penggunaan internet kepada pelajar ialah kita akan menerima maklumat dengan
mudah dan pantas melalui internet. Maklumat carian juga bukan sahaja dalam bentuk teks tetapi juga
dalam bentuk bergambar rajah mahupun jadual, carta grafik, audio, animasi dan lain lain dalam bentuk
media elektronik melalui World Wide Web (www). Dengan cara ini, pelajar boleh melayari internet di mana
sahaja untuk mendapatkan maklumat yang mereka mahukan dengan kadar segera. Jadi, penggunaan
internet ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos seperti kos perbelanjaan dan juga kos-kos lain
seperti kos pengangkutan serta masa. Jelaslah bahawa internet memudahkan pencarian maklumat.
Selain itu, pelajar juga dapat menambah kenalan daripada penggunaan internet. Hal ini kerana
laman social seperti Facebook dan Twitter kini telah menjadi virus epidemik dalam kalangan pelajar di
seantero dunia. Oleh itu, pelajar yang bijak boleh bertukar-tukar maklumat mahupun pendapat melalui
kenalan daripada laman sosial berkaitan dengan pelajaran dan isu semasa sama ada di dalam mahupun
luar negara. Sebagai contohnya, pelajar boleh berkongsi pelbagai latihan untuk dijadikan latih tubi untuk
persediaan peperiksaan. Benarlah bahawa internet dapat membantu pelajar menambah kenalan dan ilmu
pengetahuan.
Di sebalik kecanggihan internet yang banyak memberikan kebaikan selaras dengan
perkembangan semasa namun banyak juga keburukan yang boleh didapati di internet yang boleh
meracuni minda pelajar masa kini. Antara keburukan internet terhadap pelajar ialah mereka bebas melayari
bahan-bahan lucah. Hal ini demikian kerana bahan-bahan ini boleh diperoleh tanpa kawalan kerana
internet dikatakan dunia tanpa sempadan. Keseronokan menonton bahan lucah mendorong individu
menjadi gila seks selain perlakuan ini bakal mengundang perlakuan seks bebas dan pelbagai kes jenayah
yang lain. Jelaslah bahawa penggunaan internet mendorong perlakuan seks bebas.
Selain itu, internet juga dapat melekakan seseorang pelajar daripada fokus kepada proses
pembelajarannya. Pelajar banyak menghabiskan masa dengan melayari laman web yang berbentuk
hiburan semata-mata hanya untuk keseronokan yang tidak mendatangkan sebarang input. Masa yang
patut diperuntukkan untuk mengulang kaji pelajaran terbuang begitu sahaja dengan melayari laman sosial
seperti facebook,twitter dan sebagainya. Jelaslah bahawa penggunaan internet boleh melalaikan pelajar
daripada mengulangkaji pelajaran.
Seterusnya, penggunaan internet secara berlebihan dan tanpa kawalan juga menyebabkan remaja
menjadi malas untuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum seperti bersukan dan
berpersatuan dapat menyihatkan badan tidak mendapat sambutan daripada pelajar. Pelajar kini lebih suka
menghabiskan masa di hadapan computer menyebabkan kemerosotan prestasi pelajar dalam pelajaran.
Pelajar yang malas bersenam berpotensi untuk mendapat obesiti yang membawa kepada pelbagai
penyakit berbahaya . Aktiviti persatuan amatlah penting untuk pelajar supaya lebih bertanggungjawab
dalam menguruskan organisasi serta menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Kesimpulannya, pengaruh ICT dalam tahap kemodenan dan kehidupan masa kini tidak dapat
dielakkan dan mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan khususnya generasi muda atau pelajar.
Oleh itu, pihak tertentu perlulah mengambil tindakan untuk mengawal secara rapi penggunaan internet
dalam kalangan pelajar supaya pelajar tidak cenderung kepada masalah social. Malah, dasar-dasar
kerajaan berkaitan dengan pendidikan dan budaya mestilah juga meletakkan isu salah guna dan kesan
negatif internet ini sebagai suatu yang penting bagi pemodenan dan pembangunan Negara bangsa
Malaysia.
UNIT 12 : PELESTARIAN BUDAYA WARISAN [MEMELIHARA BUDAYA BANGSA]
SOALAN : Kebudayaan warisan bangsa negara ini semakin dilupakan oleh remaja
kita dek arus pembangunan yang rancak itu.
Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk melestarikan warisan seni
budaya.
Kebudayaan warisan bangsa bolehlah ditakrifkan sebagai kebudayaan sesuatu bangsa
itu yang amat dihargai oleh rakyat. Kebudayaan warisan bangsa merujuk budaya yang sudah
diamalkan sejak berkurun lamanya oleh sesuatu bangsa itu. Antara kebudayaan itu meliputi
pakaian, makanan dan juga bahasa yang begitu diagungkan oleh setiap kaum itu. Pihak
media massa juga ada menyiarkan pelbagai ulasan mereka tentang kebudayaan warisan kita
yang semakin terhakis terutama dalam jiwa remaja zaman moden ini. Lantaran itu, pelbagai
langkah susulan boleh diambil untuk memastikan kebudayaan warisan ini terus berkekalan.
Langkah awal sudah pasti melibatkan penggunaan kempen kesedaran yang berkesan
oleh pihak berkuasa. Kempen ini disiarkan melalui media massa dengan menggunakan tokoh
budaya sebagai jurucakap kempen itu bersama-sama informasi yang lengkap tentang
kebudayaan kita. Kaedah ini dapat memastikan remaja memahami dan mengetahui mengenai
kebudayaan sendiri dengan mudah dan menarik lalu timbul perasaan ingin menghargainya.
Jelaslah bahawa kempen yang efektif berupaya untuk memastikan kebudayaan ini terus
berkekalan.
Selain itu, pihak berkuasa boleh menubuhkan pelbagai agensi dan institusi latihan yang
berkaitan dengan kebudayaan ini. Peranan agensi ini adalah untuk melancarkan program
berkaitan dengan kebudayaan sepanjang tahun dan institusi ini pula berpeluang melatih
remaja tentang aspek kebudayaan itu dengan baik. Sudah pasti ramai remaja kita akan mahir
dalam tarian, seni tukang, lukisan corak batik dan nyanyian dondang sayang itu. Jelaslah
bahawa kewujudan agensi khas dan institusi latihan menjamin kebudayaan kita ini terus
wujud dalam sanubari remaja kita pula.
Bukan sahaja kempen dilancarkan dan agensi serta insitusi ditubuhkan tetapi
perubahan minda masyarakat terhadap kebudayaan juga harus berlaku dengan drastiknya.
Masyarakat terutama ibu bapa sering memandang rendah aktiviti atau kerjaya dalam bidang
kebudayaan dengan alasan tiada prospek masa depan. Jika ibu bapa melihat kebudayaan
sebagai sesuatu yang baik sudah pasti remaja lebih rela untuk melibatkan dirinya dalam
sebarang aktiviti budaya ini. Sesungguhnya, persepsi masyarakat yang menyebabkan
kebudayaan kita terus hilang ditelan dek zaman.
Seterusnya pemberian pelbagai insentif daripada pihak kerajaan boleh memberikan
galakan agar masyarakat menghargai kebudayaan ini. Pemberian insentif itu meliputi
pemberian geran kewangan, biasiswa, kemudahan pinjaman dan sebagainya yang
memudahkan pihak tertentu untuk mengikuti latihan atau menganjurkan program berunsur
kebudayaan ini. Jika lebih banyak aktiviti kebudayaan boleh dianjurkan sudah pasti tahap
kefahaman masyarakat tentang kepentingan kebudayaan itu akan meningkatkan
menyebabkannya lebih dihargai. Oleh itu, insentif yang betul dan banyak serta mudah dapat
memberikan satu peluang untuk kebudayaan ini terus wujud di Malaysia.
Tambahan pula, kebudayaan warisan negara ini boleh diteruskan melalui pengawalan
budaya asing ke negara ini. Maksud pengawalan budaya asing ini ialah semua program
televisyen yang berunsur budaya kuning hendaklah dipantau oleh pihak berkuasa kerana
penghakisan kebudayaan warisan negara ini berlaku disebabkan oleh mudahnya budaya luar

meresap ke dalam jiwa remaja. Kesukaran untuk melihat budaya luar mengurangkan risiko
buat remaja untuk mengikuti budaya yang tidak sesuai itu. Maka, tindakan tegas untuk
mengawal kehadiran budaya luar menjadi benteng asas memastikan kebudayaan warisan kita
ini terus wujud untuk beberapa dekad akan datang pula.
Kesimpulannya, semua tindakan yang disuarakan tadi memang praktikal untuk
dilaksanakan di Malaysia. Oleh yang demikian, kerjasama semua pihak terutama remaja itu
amat diperlukan agar kebudayaan kita ini terus berkekalan. Kegagalan untuk mengekalkan
kebudayaan sendiri boleh menyebabkan imej negara dan masyarakat itu sendiri akan musnah
dalam sekelip mata sahaja. Bak kata pepatah 'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan'
yang membuktikan betapa pentingnya kebudayaan sesebuah bangsa itu dalam kehidupan.

Anda mungkin juga menyukai