Anda di halaman 1dari 6

Faedah – Faedah Bersukan Kepada Masyarakat

Pendahuluan

Sukan merupakan salah satu aktiviti masa lapang yang menjadi aktiviti
kegemaran sebahagian masyarakat di Malaysia. Hampir setiap tahun,
kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan memperuntukkan wang yang
banyak untuk menyediakan infrastruktur terbaik bagi pembangunan sukan di
dalam negara. Dari stadium, kompleks sukan, dewan tertutup dan padang
awam diselenggara bagi kemudahan orang awam bersukan dengan selesa.
Pengenalan Sekolah Sukan Malaysia juga merupakan satu petunjuk bahawa
aktiviti sukan ini berpotensi besar menjadi sebuah industri yang
menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan masyarakat di Malaysia.
Kita juga dapat lihat di media sosial selepas dunia dilanda pandemik
COVID-19, kebanyakan di antara kita keluar bersukan setelah perintah
untuk kuarantin diangkat. Mari kita rungkaikan faedah-faedah disebalik
bersukan kepada masyarakat.

Isi 1

Manfaat utama dalam menyertai aktiviti sukan adalah ia dapat


meningkatkan tahap kesihatan diri secara fizikal dan juga mental. Umum
mengetahui bahawa bersukan melibatkan aktiviti fizikal yang menggerakkan
otot serta mencabar kecerdasan minda. Sebagai contoh, aktiviti berbasikal
memerlukan kita mengayuh dan melihat persekitaran sekeliling supaya
selamat dan tidak membahayakan. Dari sudut biologi, bersukan dapat
meningkatkan kesihatan kardiovaskular, kekuatan otot dan kebolehan
aerobik. Individu yang bersukan juga dapat mengawal berat badan jika
bersukan dengan kerap dan mengurangkan risiko menghidap penyakit
berbahaya seperti serangan jantung, strok dan juga diabetis. Segelintir
masyarakat pada hari ini sibuk bekerja sehingga tertekan dan tidak menjaga
kesihatan diri. Jika turutkan rasa binasa, turutkan hati mati. Justeru, kita
digalakkan untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari
bersukan agar kesihatan diri terjamin.

Isi 2

Di samping itu, bersukan dapat membantu membina keyakinan dan


ketrampilan diri seseorang individu. Hal ini kerana, disebalik setiap aktiviti
sukan, kita akan didedahkan dengan pelbagai nilai-nilai kehidupan. Bak kata
pepatah, adat pertandingan, ada kalah ada menang. Dengan menyertai
aktiviti sukan dan bertanding, kita akan merasai perasaan apabila menang
atau kalah. Sepertimana dalam kehidupan, ada waktu kita akan mengalami
kekalahan atau kekecewaan dan pengajarannya adalah bagaimana untuk kita
bangkit dan mengecapi kejayaan. Nilai ini amat penting bagi generasi muda
supaya mereka tabah dan kuat menghadapi cabaran hidup. Tambahan pula,
dalam aktiviti sukan yang melibatkan rakan sepasukan, kita akan belajar
untuk bekerjasama dan bertoleransi dalam mencapai suatu misi. Sekiranya
nilai-nilai murni ini dapat disemat dalam diri generasi muda, kelak mereka
akan menjadi individu yang berkeyakinan tinggi serta mempunyai
ketrampilan diri yang terbaik. Intihannya, bersukan dapat melahirkan
masyarakat yang kaya dangan nilai murni dan berketrampilan tinggi.

Isi 3

Pada masa yang sama, faedah dinikmati oleh masyarakat yang aktif
dalam bersukan adalah dapat membanteras perlakuan gejala-gejala negatif.
Mutakhir ini, pelbagai gejala sosial yang negatif berlaku dalam kalangan
remaja khususnya. Mereka yang mempunyai banyak masa lapang akan
terjebak melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti menyalah guna
dadah dan menyertai gangsterisme. Situasi ini dapat dibendung jika ibu bapa
atau pihak berkuasa memastikan golongan terbabit bergiat aktif dalam sukan
sebagai aktiviti di masa lapang. Mereka akan belajar untuk menghargai masa
dan tidak mempunyai kesempatan untuk melibatkan diri dalam perkara yang
boleh meruntuhkan masa hadapan mereka. Selain itu, jika aktiviti sukan
dilakukan bersama-sasam ahli keluarga, pastinya ia dapat merapatkan lagi
dan eratkan silaturrahim antara satu sama lain. Anak-anak akan berasa
disayangi kerana ibu dan bapa meluangkan masa bersama melakukan
aktiviti yang seronok dan menarik. Izharnya, bersukan memebrikan faedah
dimana gejala negatif dapat dibendung dalam kalangan masyarakat.

Isi 4

Dari sudut pandang lain, manfaat bersukan adalah membuka peluang


kerjaya kepada masyarakat. Sehingga hari ini, kita telah berjaya melahirkan
ramai atlet bertaraf antarabangsa tamsilnya, Datuk Lee Chong Wei dan
Datuk Nicol Ann David yang berjaya merangkul pelbagai kejuaraan di
peringkat dunia. Kerjasama antara Kementerian Pendidikan serta
Kementerian Belia dan Sukan adalah penting dalam memujudkan rancangan
pembangunan atlet sukan di dalam negara. Sekolah Sukan yang diwujudkan
wajar diperkasa dan setiap negeri hendaklah menganjurkan lebih banyak
pertandingan sukan untuk mencungkil bakat-bakat yang ada dalam kalangan
rakyat di Malaysia. Penubuhan Institusi Sukan Negara (ISN) menunjukkan
kesungguhan pentadbiran negara untuk membangunkan sukan negara
berteraskan sains sukan. Dengan infrastruktur yang lengkap ini, tiada alasan
lain untuk para atlet negara menjadikan sukan sebagai profesion utama
mereka dan bersaing di peringkat antarabangsa. Persis kata peribahasa,
dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Jelas bahawa antara faedah
bersukan adalah ia memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Penutup

Tuntasnya, banyak faedah yang diperoleh masyarakat jika menyertai


aktiviti sukan dengan aktif. Sebagai manusia, kita perlu mengimbangkan
masa bekerja, berehat, beribadat dan bersukan atau beriadah supaya
kesihatan fizikal dan mental tejamin. Kemudahan infrastruktur sukan yang
dibangunkan wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat tanpa
sebarang diskriminasi atau halangan oleh pihak tertentu yang ingin mengaut
keuntungan sendiri. Marilah kita bersama-sama menjalankan obligasi
menjadi manusia terbaik dengan menggalakkan diri serta orang sekeliling
kita untuk bersukan supaya faedah yang banyak dapat diperoleh
bersama.Bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Semoga segala usaha merancakkan aktiviti kesukanan di setiap peringkat
umur diberi sokongan dan disertai oleh masyarakat demi kemaslahatan
bersama.

Faedah-Faedah Bersukan Kepada


Masyarakat
Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa
lapang atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan
bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat.
Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik
dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak
membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat
menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja.
Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?

Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu
mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak
menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan separa
profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan
fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan
masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan
golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan
dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan langkah
awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti,
penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan
juga dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk kembali pulih.
Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan
fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat
melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur
darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak
diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha
efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.

Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang
sebenarnya amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang
melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa lapang
dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu
sangat berharga .Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan
bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan remaja pula,
penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan
perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa sia-sia seperti
melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik
masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan
yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah
gagah dengan yakin ke peringkat antatabangsa walaupun melalui ranjau pidana dunia
persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat
memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.

Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk


mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana,
kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih
kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam
kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para
penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping
berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti
bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi
kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru
, kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta
mengeratkan hubungan.

Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan
secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional
boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha
peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak
dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global mampu menjana
keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran
muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan
hala tuju anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi
menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara
professional, pemain badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli
masing-masing menjadikan badminton dan bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan
juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah


kepada masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai
semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat,
bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat
martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah
dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang lain. Sesungguhnya , sukan
berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya, kegiatan sukan wajar
digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai