Anda di halaman 1dari 2

Dewasa ini, aktiviti bersukan dalam kalangan masyarakat semakin

mendapat perhatian. Perkembangan infrastruktur sukan seperti


gelanggang futsal, badminton dan kawasan lapang dimanfaatkan
sebaiknya oleh masyarakat kita dimana bersukan bukan sahaja menjadi
aktiviti di waktu siang malah telah dipraktikkan pada waktu malam. Hal
ini kerana ramai diantara kita sibuk mencari rezeki untuk suapan diri
dan tangungan masing-masing di pagi hari maka aktiviti seperti
bersukan dan bersenam dilakukan pada waktu malam. Pelbagai faedah
yang diperoleh daripada bersukan terutamanya kepada diri dan
masyarakat secara tidak langsung.

Bersukan dapat menjamin kesihatan diri seseorang individu kerana ia


merupakan aktiviti yang melibatkan penggunaan fizikal dan juga mental
individu tersebut. Peluh dan toksik dalam badan dapat dirembes keluar
dengan melakukan aktiviti bersukan dalam tempoh masa yang tertentu.
Tahap kardio seseorang juga akan bertambah baik serta berat badan
yang ideal dapat dicapai sekiranya individu tersebut konsisten dalam
bersukan. Tambahan pula, bersukan adalah langkah yang jelas dalam
mengelak daripada penyakit-penyakit yang kronik seperti obesiti.
Sediakan payung sebelum hujan adalah peribahasa Melayu yang
sesuai dalam menggambarkan faedah bersukan kepada masyarakat
dari segi menjamin kesihatan diri.

Selain itu, aktiviti sukan dapat membantu mengurangkan stress kerana


mental seseorang individu itu memerlukan aktiviti yang berbeza dengan
kerjaya mereka. Majoriti daripada pengamal sukan melakukan aktiviti ini
di waktu santai dan sebagai hiburan. Psikologi seseorang juga
mendapat input yang positif dengan bersukan dimana gelak tawa dan
peluh terhasil daripada keseronokan melakukan aktiviti bersukan.
Dengan kemudahan teknologi hari ini, ada dalam kalangan kita suka
berjoging sambil mendengar radio atau rakaman suara yang berkongsi
maklumat dan membincangkan isu-isu semasa yang dapat kita
manfaatkan dalam kehidupan kita. Bak kata pepatah, sambil menyelam
minum air dimana satu pekerjaan mendapat hasil yang lebih.

Dalam pada itu, sukan juga mampu menjadi kerjaya seseorang. Sukan
berkemampuan menjadi sebuah industri yang mampu menarik
pelaburan serta menjadi hiburan kepada masyarakat. Sebagai contoh,
sukan bola sepak di benua Eropah dan sukan bola keranjang di
Amerika Syarikat yang menjana keuntungan daripada hak-hak
penyiaran di televisyen dan media massa. Maka, dengan latihan yang
jitu dan bimbingan yang tepat, kita mampu untuk melahirkan atlet-atlet
yang bersaing di peringkat dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan
Azizulhasni Awang. Atlet yang bersaing di peringkat dunia mampu
mendapat habuan yang banyak sekiranya konsisten bertanding dan
menjuarai kejohanan yang disertai. Namun begitu, ramai yang
mempersoalkan kerjaya atlet ini hanya bertahan kurang daripada 10
tahun. Mereka sebenarnya berpeluang besar dalam mencari kerjaya
yang sesuai seperti menjadi jurulatih, komentator sukan dan juga
menyambung pelajaran dalam sains sukan sekaligus dapat membantu
dalam perkembangan industri sukan negara.

Aktiviti sukan juga mampu memupuk semangat setiakawan dalam diri


masing-masing. Di sini kita dapat lihat bahawa sistem pendidikan kita
telah menerapkan perkara ini sejak dibangku sekolah lagi. Penglibatan
seseorang dalam aktiviti sukan secara berpasukan seperti permainan
hoki dan bola jaring dapat membentuk dan menambah nilai berpasukan
dalam mencari kemenangan ke atas pihak lawan. Sukan secara
berpasukan memerlukan strategi dan disiplin yang baik supaya apa
yang ingin dicapai dapat dipraktikkan dengan baik. Secara tidak
langsung semangat setia kawan, kerjasama dan kekitaan akan timbul
dan menjadi senjata penting dalam mencapai kemenangan dalam
aktiviti sukan yang disertai. Tambahan pula, sukan dapat merapatkan
hubungan antara satu sama lain di mana perpaduan rakyat dapat
dikekalkan dan diraikan dengan lebih baik demi tanah air yang tercinta.

Kesimpulannya, terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada


masyarakat dalam menyertai aktiviti-aktiviti bersukan. Tiada halangan
untuk kita bersukan pada hari ini kerana banyak infrastruktur sukan
yang lengkap dan boleh digunakan samada di waktu siang atau malam.
Sekiranya hujan ataupun udara di luar tidak sihat, kita mempunyai
pilihan untuk melakukan aktiviti sukan di gelanggang yang bertutup dan
teduh daripada cuaca yang tidak menentu. Hendak seribu daya tak
hendak seribu dalih yang bermaksud tiada halangan jika kita berusaha
mencari jalan dalam mencapai apa yang dikehendaki. Marilah kita
bersama-sama ringan tulang dalam menyertai aktiviti bersukan serta
menyumbang sesuatu dalam perkembangan sukan supaya lahir rakyat
sihat, otak cerdas. Kesihatan fizikal dan mental membentuk rakyat yang
efektif sekaligus mampu memacu negara menjadi lebih maju dan
berdaya saing. Majulah sukan untuk negara.

Anda mungkin juga menyukai