Anda di halaman 1dari 4

Kebaikan Bersukan dalam kalangan pelajar

Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Aktiviti
sukan merupakan aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau
sebagai riadah kecil untuk mengeluarkan peluh. Pihak kerajaan mewajibkan setiap
pelajar menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Penglibatan
masyarakat dalam bidang sukan banyak membawa manfaat. Aktiviti bersukan dapat
menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja.
Persoalannya, apakah kebaikan bersukan dalam kalangan pelajar?

Menyihatkan badan

Antara kebaikan bersukan ialah menyihatkan tubuh badan. Seseorang yang selalu
bersukan, badannya akan menjadi cergas dan kuat. Aktiviti sukan seperti bermain
badminton, sepak takraw, joging dan sebagainya boleh membantu badan kita
untukmengeluarkan peluh dan saluran darah akan menjadi lancar. Dengan bersukan,
kita dapat menjauhkan diri daripada penyakit seperti penyakit kencing manis,
penyakit jantung dan sebagainya. Di samping itu, aktiviti sukan ini juga dapat
menambahkan stamina seseorang. Oleh itu, pelajar harus sentiasa melibatkan diri
dalam aktiviti sukan.

Meningkatkan disiplin diri

Selain itu, meningkatkan disiplin diri juga dikenal pasti sebagai salah satu
kepentingan melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Seseorang yang melibatkan diri
dalam aktiviti sukan perlulah mematuhi peraturan sukan yang telah ditetapkan.
Mereka juga perlu mematuhi arahan daripada jurulatih ataupengadil pertandingan
sukan. Sekiranya pelajarmelibatkan diri dalam pasukan sukan, mereka juga boleh
melatih diri supaya sentiasa menepati masa. Dengan bantuan aktiviti sukan, negara
kita dapatmelahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian
mulia.

Berfikiran positif

Kepentingan melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang berikutnya ialah berfikiran
positif dan lebih motivasi. Dalam konteks ini, seseorang yang melibatkan diri dalam
aktiviti sukan berupaya untuk mengawal daripada mudah menyalahkan orang lain.
Pelajar yang aktif dalam kegiatan sukan biasanya mempunyai kesihatan mental yang
stabil dan tekanan kehidupan dapatdikawal. Sebagai contohnya, Datuk Lee Chong
Wei yang tidak berputus asa semasa menghadapi kegagalan dalam pingat emas
sukan Olimpik telah memberi impak yang positif dan menjadi teladan yang baik
kepada remaja. Tambahan pula, aktiviti sukan ini juga berupaya untuk melahirkan
perasaan saling menghormati antara satu sama lain dan sikap bertoleransi. Atlet
sukan perlumenerima kekalahan dalam pertandingan sukan.

Mengisi masa lapang

Seterusnya, aktiviti sukan boleh membantu pelajar mengisi masa lapang dengan
berfaedah. Sekiranya semua pelajar melibatkan diri dalam aktiviti sukan, mereka tidak
akan membuang masa dengan sia-sia. Ini juga membantu mereka untuk
mengelakkan diri daripada kes jenayah dangejala sosial yang tidak sihat seperti
merokok, menghisap dadah, aktiviti mat rempit dan sebagainya. Dengan aktiviti yang
berfaedah ini, mestilah dapat membentuk satu masyarakat yang aman sentosa.

Mewujudkan perpaduan kaum

Selain itu, salah satu kebaikan bersukan ialah mewujudkan perpaduan kaum di
sekolah. Di Malaysia, aktiviti sukan disertai oleh pemain daripada pelbagai kaum
yang berlainan. Aktiviti sukan yang memerlukan kerjasama bagai aur dengan tebing
sentiasa mewujudkan perpaduan yang harmoni. Perpaduan bukan sahaja wujud
dalam kalangan permain, bahkan juga terbentuk dalam kalangan penonton. Sebagai
contoh, Sukan Olimpik telah berjaya menyatapadukan semua rakyat untuk memberi
sokongan dan sorakan kepada atlet-atlet. Jelaslah bahawa sukan mempunyai banyak
faedah kepada kita.

Penutup KaranganKebaikan Bersukan

Sebagai kesimpulannya, aktiviti bersukan memberi banyak faedah kepada pelajar.


Pihak sekolah dan kerajaan haruslah memastikan pelajar melibatkan diri dalam
aktiviti ini. Sekiranya masyarakat remaja kita mempunyai tabiat bersukan, mestilah
dapat menjaminkan kesihatan mereka dan negara kita akan semakin maju.
( 502 patah perkataan )

Pendahuluan
Dewasa ini, aktiviti bersukan dalam kalangan masyarakat semakin mendapat
perhatian. Perkembangan infrastruktur sukan seperti gelanggang futsal, badminton
dan kawasan lapang dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat kita dimana
bersukan bukan sahaja menjadi aktiviti di waktu siang malah telah dipraktikkan pada
waktu malam. Hal ini kerana ramai diantara kita sibuk mencari rezeki untuk suapan
diri dan tangungan masing-masing di pagi hari maka aktiviti seperti bersukan dan
bersenam dilakukan pada waktu malam. Pelbagai faedah yang diperoleh daripada
bersukan terutamanya kepada diri dan masyarakat secara tidak langsung.
Isi 1
Bersukan dapat menjamin kesihatan diri seseorang individu kerana ia merupakan
aktiviti yang melibatkan penggunaan fizikal dan juga mental individu tersebut. Peluh
dan toksik dalam badan dapat dirembes keluar dengan melakukan aktiviti bersukan
dalam tempoh masa yang tertentu. Tahap kardio seseorang juga akan bertambah
baik serta berat badan yang ideal dapat  dicapai sekiranya individu tersebut
konsisten dalam bersukan. Tambahan pula, bersukan adalah langkah yang jelas
dalam mengelak daripada penyakit-penyakit yang kronik seperti obesiti. Sediakan
payung sebelum hujan adalah peribahasa Melayu yang sesuai dalam
menggambarkan faedah bersukan kepada masyarakat dari segi menjamin kesihatan
diri.

Isi 2
Selain itu, aktiviti sukan dapat membantu mengurangkan stress kerana mental
seseorang individu itu memerlukan aktiviti yang berbeza dengan kerjaya mereka.
Majoriti daripada pengamal sukan melakukan aktiviti ini di waktu santai dan sebagai
hiburan. Psikologi seseorang juga mendapat input yang positif dengan bersukan
dimana gelak tawa dan peluh terhasil daripada keseronokan melakukan aktiviti
bersukan. Dengan kemudahan teknologi hari ini, ada dalam kalangan kita suka
berjoging sambil mendengar radio atau rakaman suara yang berkongsi maklumat
dan membincangkan isu-isu semasa yang dapat kita manfaatkan dalam kehidupan
kita. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air dimana satu pekerjaan
mendapat hasil yang lebih.

Isi 3
Dalam pada itu, sukan juga mampu menjadi kerjaya seseorang. Sukan
berkemampuan menjadi sebuah industri yang mampu menarik pelaburan serta
menjadi hiburan kepada masyarakat. Sebagai contoh, sukan bola sepak di benua
Eropah dan sukan bola keranjang di Amerika Syarikat yang menjana keuntungan
daripada hak-hak penyiaran di televisyen dan media massa. Maka, dengan latihan
yang jitu dan bimbingan yang tepat, kita mampu untuk melahirkan atlet-atlet yang
bersaing di peringkat dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan Azizulhasni Awang.
Atlet yang bersaing di peringkat dunia mampu mendapat habuan yang banyak
sekiranya konsisten bertanding dan menjuarai kejohanan yang disertai. Namun
begitu, ramai yang mempersoalkan kerjaya atlet ini hanya bertahan kurang daripada
10 tahun. Mereka sebenarnya berpeluang besar dalam mencari kerjaya yang sesuai
seperti menjadi jurulatih, komentator sukan dan juga menyambung pelajaran dalam
sains sukan sekaligus dapat membantu dalam perkembangan industri sukan negara.
Isi 4
Aktiviti sukan juga mampu memupuk semangat setiakawan dalam diri masing-
masing. Di sini kita dapat lihat bahawa sistem pendidikan kita telah menerapkan
perkara ini sejak dibangku sekolah lagi. Penglibatan seseorang dalam aktiviti sukan
secara berpasukan seperti permainan hoki dan bola jaring dapat membentuk dan
menambah nilai berpasukan dalam mencari kemenangan ke atas pihak lawan.
Sukan secara berpasukan memerlukan strategi dan disiplin yang baik supaya apa
yang ingin dicapai dapat dipraktikkan dengan baik. Secara tidak langsung semangat
setia kawan, kerjasama dan kekitaan akan timbul dan menjadi senjata penting dalam
mencapai kemenangan dalam aktiviti sukan yang disertai. Tambahan pula, sukan
dapat merapatkan hubungan antara satu sama lain di mana perpaduan rakyat dapat
dikekalkan dan diraikan dengan lebih baik demi tanah air yang tercinta.

Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada masyarakat dalam
menyertai aktiviti-aktiviti bersukan. Tiada halangan untuk kita bersukan pada hari ini
kerana banyak infrastruktur sukan yang lengkap dan boleh digunakan samada di
waktu siang atau malam. Sekiranya hujan ataupun udara di luar tidak sihat, kita
mempunyai pilihan untuk melakukan aktiviti sukan di gelanggang yang bertutup dan
teduh daripada cuaca yang tidak menentu. Hendak seribu daya tak hendak seribu
dalih yang bermaksud tiada halangan jika kita berusaha mencari jalan dalam
mencapai apa yang dikehendaki. Marilah kita bersama-sama ringan tulang dalam
menyertai aktiviti bersukan serta menyumbang sesuatu dalam perkembangan sukan
supaya lahir rakyat  sihat, otak cerdas. Kesihatan fizikal dan mental membentuk
rakyat yang efektif sekaligus mampu memacu negara menjadi lebih maju dan
berdaya saing. Majulah sukan untuk negara.

Anda mungkin juga menyukai