Anda di halaman 1dari 2

Pendahuluan

Dewasa ini, aktiviti bersukan dalam kalangan masyarakat semakin mendapat


perhatian. Perkembangan infrastruktur sukan seperti gelanggang futsal, badminton
dan kawasan lapang dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat kita dimana
bersukan bukan sahaja menjadi aktiviti di waktu siang malah telah dipraktikkan
pada waktu malam. Hal ini kerana ramai diantara kita sibuk mencari rezeki untuk
suapan diri dan tangungan masing-masing di pagi hari maka aktiviti seperti
bersukan dan bersenam dilakukan pada waktu malam. Pelbagai faedah yang
diperoleh daripada bersukan terutamanya kepada diri dan masyarakat secara tidak
langsung.

Isi 1

Bersukan dapat menjamin kesihatan diri seseorang individu kerana ia merupakan


aktiviti yang melibatkan penggunaan fizikal dan juga mental individu tersebut.
Peluh dan toksik dalam badan dapat dirembes keluar dengan melakukan aktiviti
bersukan dalam tempoh masa yang tertentu. Tahap kardio seseorang juga akan
bertambah baik serta berat badan yang ideal dapat dicapai sekiranya individu
tersebut konsisten dalam bersukan. Tambahan pula, bersukan adalah langkah yang
jelas dalam mengelak daripada penyakit-penyakit yang kronik seperti obesiti.
Sediakan payung sebelum hujan adalah peribahasa Melayu yang sesuai dalam
menggambarkan faedah bersukan kepada masyarakat dari segi menjamin kesihatan
diri.

Isi 2

Selain itu, aktiviti sukan dapat membantu mengurangkan stress kerana mental
seseorang individu itu memerlukan aktiviti yang berbeza dengan kerjaya mereka.
Majoriti daripada pengamal sukan melakukan aktiviti ini di waktu santai dan
sebagai hiburan. Psikologi seseorang juga mendapat input yang positif dengan
bersukan dimana gelak tawa dan peluh terhasil daripada keseronokan melakukan
aktiviti bersukan. Dengan kemudahan teknologi hari ini, ada dalam kalangan kita
suka berjoging sambil mendengar radio atau rakaman suara yang berkongsi
maklumat dan membincangkan isu-isu semasa yang dapat kita manfaatkan dalam
kehidupan kita. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air dimana satu
pekerjaan mendapat hasil yang lebih.

Isi 3

Dalam pada itu, sukan juga mampu menjadi kerjaya seseorang. Sukan
berkemampuan menjadi sebuah industri yang mampu menarik pelaburan serta
menjadi hiburan kepada masyarakat. Sebagai contoh, sukan bola sepak di benua
Eropah dan sukan bola keranjang di Amerika Syarikat yang menjana keuntungan
daripada hak-hak penyiaran di televisyen dan media massa. Maka, dengan latihan
yang jitu dan bimbingan yang tepat, kita mampu untuk melahirkan atlet-atlet yang
bersaing di peringkat dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan Azizulhasni Awang.
Atlet yang bersaing di peringkat dunia mampu mendapat habuan yang banyak
sekiranya konsisten bertanding dan menjuarai kejohanan yang disertai. Namun
begitu, ramai yang mempersoalkan kerjaya atlet ini hanya bertahan kurang
daripada 10 tahun. Mereka sebenarnya berpeluang besar dalam mencari kerjaya
yang sesuai seperti menjadi jurulatih, komentator sukan dan juga menyambung
pelajaran dalam sains sukan sekaligus dapat membantu dalam perkembangan
industri sukan negara.

Isi 4

Aktiviti sukan juga mampu memupuk semangat setiakawan dalam diri masing-
masing. Di sini kita dapat lihat bahawa sistem pendidikan kita telah menerapkan
perkara ini sejak dibangku sekolah lagi. Penglibatan seseorang dalam aktiviti sukan
secara berpasukan seperti permainan hoki dan bola jaring dapat membentuk dan
menambah nilai berpasukan dalam mencari kemenangan ke atas pihak lawan.
Sukan secara berpasukan memerlukan strategi dan disiplin yang baik supaya apa
yang ingin dicapai dapat dipraktikkan dengan baik. Secara tidak langsung
semangat setia kawan, kerjasama dan kekitaan akan timbul dan menjadi senjata
penting dalam mencapai kemenangan dalam aktiviti sukan yang disertai.
Tambahan pula, sukan dapat merapatkan hubungan antara satu sama lain di mana
perpaduan rakyat dapat dikekalkan dan diraikan dengan lebih baik demi tanah air
yang tercinta.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada masyarakat


dalam menyertai aktiviti-aktiviti bersukan. Tiada halangan untuk kita bersukan
pada hari ini kerana banyak infrastruktur sukan yang lengkap dan boleh digunakan
samada di waktu siang atau malam. Sekiranya hujan ataupun udara di luar tidak
sihat, kita mempunyai pilihan untuk melakukan aktiviti sukan di gelanggang yang
bertutup dan teduh daripada cuaca yang tidak menentu. Hendak seribu daya tak
hendak seribu dalih yang bermaksud tiada halangan jika kita berusaha mencari
jalan dalam mencapai apa yang dikehendaki. Marilah kita bersama-sama ringan
tulang dalam menyertai aktiviti bersukan serta menyumbang sesuatu dalam
perkembangan sukan supaya lahir rakyat sihat, otak cerdas. Kesihatan fizikal dan
mental membentuk rakyat yang efektif sekaligus mampu memacu negara menjadi
lebih maju dan berdaya saing. Majulah sukan untuk negara.

Anda mungkin juga menyukai