Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan Kebaikan Dan Faedah-Faedah Bersukan Kepada Masyarakat Pendahuluan

Dewasa ini, aktiviti bersukan dalam kalangan masyarakat semakin mendapat perhatian.
Perkembangan infrastruktur sukan seperti gelanggang futsal, badminton dan kawasan lapang
dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat kita dimana bersukan bukan sahaja menjadi aktiviti di
waktu siang malah telah dipraktikkan pada waktu malam. Hal ini kerana ramai diantara kita sibuk
mencari rezeki untuk suapan diri dan tangungan masing-masing di pagi hari maka aktiviti seperti
bersukan dan bersenam dilakukan pada waktu malam. Pelbagai faedah yang diperoleh daripada
bersukan terutamanya kepada diri dan masyarakat secara tidak langsung. Isi 1 Bersukan dapat
menjamin kesihatan diri seseorang individu kerana ia merupakan aktiviti yang melibatkan
penggunaan fizikal dan juga mental individu tersebut. Peluh dan toksik dalam badan dapat dirembes
keluar dengan melakukan aktiviti bersukan dalam tempoh masa yang tertentu. Tahap kardio
seseorang juga akan bertambah baik serta berat badan yang ideal dapat dicapai sekiranya individu
tersebut konsisten dalam bersukan. Tambahan pula, bersukan adalah langkah yang jelas dalam
mengelak daripada penyakit-penyakit yang kronik seperti obesiti. Sediakan payung sebelum hujan
adalah peribahasa Melayu yang sesuai dalam menggambarkan faedah bersukan kepada masyarakat
dari segi menjamin kesihatan diri. Isi 2 Selain itu, aktiviti sukan dapat membantu mengurangkan
stress kerana mental seseorang individu itu memerlukan aktiviti yang berbeza dengan kerjaya
mereka. Majoriti daripada pengamal sukan melakukan aktiviti ini di waktu santai dan sebagai hiburan.
Psikologi seseorang juga mendapat input yang positif dengan bersukan dimana gelak tawa dan peluh
terhasil daripada keseronokan melakukan aktiviti bersukan. Dengan kemudahan teknologi hari ini,
ada dalam kalangan kita suka berjoging sambil mendengar radio atau rakaman suara yang berkongsi
maklumat dan membincangkan isu-isu semasa yang dapat kita manfaatkan dalam kehidupan kita.
Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air dimana satu pekerjaan mendapat hasil yang lebih. Isi
3 Dalam pada itu, sukan juga mampu menjadi kerjaya seseorang. Sukan berkemampuan menjadi
sebuah industri yang mampu menarik pelaburan serta menjadi hiburan kepada masyarakat. Sebagai
contoh, sukan bola sepak di benua Eropah dan sukan bola keranjang di Amerika Syarikat yang
menjana keuntungan daripada hak-hak penyiaran di televisyen dan media massa. Maka, dengan
latihan yang jitu dan bimbingan yang tepat, kita mampu untuk melahirkan atlet-atlet yang bersaing di
peringkat dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan Azizulhasni Awang. Atlet yang bersaing di
peringkat dunia mampu mendapat habuan yang banyak sekiranya konsisten bertanding dan
menjuarai kejohanan yang disertai. Namun begitu, ramai yang mempersoalkan kerjaya atlet ini hanya
bertahan kurang daripada 10 tahun. Mereka sebenarnya berpeluang besar dalam mencari kerjaya
yang sesuai seperti menjadi jurulatih, komentator sukan dan juga menyambung pelajaran dalam sains
sukan sekaligus dapat membantu dalam perkembangan industri sukan negara. Isi 4 Aktiviti sukan
juga mampu memupuk semangat setiakawan dalam diri masing-masing. Di sini kita dapat lihat
bahawa sistem pendidikan kita telah menerapkan perkara ini sejak dibangku sekolah lagi.
Penglibatan seseorang dalam aktiviti sukan secara berpasukan seperti permainan hoki dan bola
jaring dapat membentuk dan menambah nilai berpasukan dalam mencari kemenangan ke atas pihak
lawan. Sukan secara berpasukan memerlukan strategi dan disiplin yang baik supaya apa yang ingin
dicapai dapat dipraktikkan dengan baik. Secara tidak langsung semangat setia kawan, kerjasama dan
kekitaan akan timbul dan menjadi senjata penting dalam mencapai kemenangan dalam aktiviti sukan
yang disertai. Tambahan pula, sukan dapat merapatkan hubungan antara satu sama lain di mana
perpaduan rakyat dapat dikekalkan dan diraikan dengan lebih baik demi tanah air yang tercinta.
Penutup Kesimpulannya, terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada masyarakat dalam
menyertai aktiviti-aktiviti bersukan. Tiada halangan untuk kita bersukan pada hari ini kerana banyak
infrastruktur sukan yang lengkap dan boleh digunakan samada di waktu siang atau malam. Sekiranya
hujan ataupun udara di luar tidak sihat, kita mempunyai pilihan untuk melakukan aktiviti sukan di
gelanggang yang bertutup dan teduh daripada cuaca yang tidak menentu. Hendak seribu daya tak
hendak seribu dalih yang bermaksud tiada halangan jika kita berusaha mencari jalan dalam mencapai
apa yang dikehendaki. Marilah kita bersama-sama ringan tulang dalam menyertai aktiviti bersukan
serta menyumbang sesuatu dalam perkembangan sukan supaya lahir rakyat sihat, otak cerdas.
Kesihatan fizikal dan mental membentuk rakyat yang efektif sekaligus mampu memacu negara
menjadi lebih maju dan berdaya saing. Majulah sukan untuk negara.
Ⓒ Artikel Asal Di : https://www.ipendidikan.my/faedah-bersukan-kepada-masyarakat.html

Anda mungkin juga menyukai