Anda di halaman 1dari 2

Faedah-faedah Bersukan

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi


masa lapang atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir
ini ,pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa
falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini
digerakkan dengan lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam
bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat. Ironinya, penglibatan
masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar
pertarungan di gelanggang sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan
kepada maasyarakat?

Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu
mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih
banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan
separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan
kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua
lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental.
Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai
kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan
merupakan langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan”
dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit
jantung. Kegiatan sukan juga dapat membantu mereka yang telah menghidap
penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga
mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental.
Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan
lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan
membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan
dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang
sihat.

Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa
lapang sebenarnya amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang
yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa
lapang dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit,
masa itu sangat berharga .Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk
bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan
remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada
melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa
sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan
dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang
lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat
dan melangkah gagah dengan yakin ke peringkat antatabangsa walaupun melalui
ranjau pidana dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan
masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.
Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk
mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian
kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk
meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan
dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana
muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang
kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di
samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan
seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan
melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang
sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan
bersatu padu serta mengeratkan hubungan.

Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan


pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran
profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran
dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan
yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan
global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring
dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi.
Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan
mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan
mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton seperti Datuk
Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan
bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru
kepada masyarakat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai


faedah kepada masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan
menyertai semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang
sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu
mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu
duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang lain.
Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara.
Tegasnya, kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai