Anda di halaman 1dari 1

10.

FAEDAH BERSUKAN

Kesibukan rakyat Malaysia bekerja memenuhi tuntutan dan tanggungjawab di pejabat


menyebabkan mereka kekurangan masa untuk melakukan aktiviti sukan sehingga memberi
kesan terhadap kesihatan diri mereka. Gaya hidup tidak sihat ini mestilah ditinggalkan dengan
melakukan aktiviti bersukan bersama dengan rakan sekerja atau ahli keluarga agar sama-sama
dapat menikmati faaedah bersukan. Persoalannya, apakah faedah yang akan dinikmati oleh
mereka yang bersukan?
Faedah bersukan yang paling utama ialah bersukan dapat menyihatkan tubuh badan.
Melalui aktiviti bersukan, kita dapat mengeluarkan peluh yang akan turut menyahkan toksin di
dalam badan kita. Hal ini menyebabkan kita akan berasa lebih segar selepas bersukan.
Peribahasa Melayu ada mengatakan badan cergas otak cerdas, peribahasa ini menjelaskan
bahawa seseorang yang cergas badannya maka pemikirannya akan cerdas. Maka aktiviti
bersukan ini akan dapat membantu seseorang berfikir dengan lebih rasional dengan idea-idea
yang bernas. Terbukti bahawa, aktiviti bersukan akan dapat menyegarkan badan di samping
meningkatkan kekuatan fizikal.
Selain faedah tersebut, bersukan juga dapat membentuk disiplin diri yang tinggi.
Aktiviti bersukan memerlukan disiplin diri yang tinggi. Bagi seorang ahli sukan, mereka
memiliki jadual latihan yang ketat. Bukan itu sahaja, mereka juga perlu mengikut jadual
pemakanan seimbang yang telah disyorkan oleh doktor pakar pemakanan dan diet. Bagi
masyarakat biasa yang mengamalkan latihan sukan turut akan mengikut jadual dan mematuhi
setiap disiplin bagi mencapai objektif bersukan. Setiap orang berbeza objektif bersukan, maka
mereka perlu mencapai objektif tersebut dengan disiplin yang tinggi. Oleh itu, bersukan akan
melatih diri kita untuk menjadi seorang yang berdisiplin.
Malah, aktiviti bersukan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang
berbilang kaum. Aktiviti bersukan seperti permainan bola sepak merupakan aktiviti yang
merentas sempadan perkauman dan bangsa. Sejarah pernah mencatatkan pemain bola sepak
negara terdiri daripada pelbagai nama dan kaum. Mokhtar Dahari, R. Arumugam, dan Soh Chin
Aun merupakan legenda pemain negara yang menjadi bukti sukan sebagai agen perpaduan.
Mereka telah menjadikan rakyat Malaysia bersatu tanpa mengira fahaman politik, warna kulit
dan anutan agama dengan memberikan sokongan padu ketika perlawanan bola di peringkat
dunia. Jelas menunjukkan bahawa aktivti bersukan mampu membentuk perpaduan kaum dalam
kalangan masyarakat.
Di samping memupuk perpaduan, aktiviti bersukan dapat membina jaringan hubungan
sosial yang lebih luas. Lazimnya, hubungan kejiranan hanya sekadar bertegur sapa dan berbual-
bual sahaja tetapi apabila jiran tetangga terlibat sama dalam satu aktiviti sukan maka hubungan
kejiranan menjadi lebih akrab kerana jiran tetangga berkongsi minat yang sama dalam
bersukan. Hal ini akan menjadikan hubungan kejiranan lebih baik malah mereka akan saling
menolong apabila menghadapi kesusuahan. Keadaan ini menyebabkan mereka saling mengatur
program antara jiran tetangga agar mereka dapat bersua dan berbual-bual tentang kejiranan dan
keluarga masing-masing. Sesungguhnya, benarlah bahawa, bersukan mampu mengeratkan
ukhuwah sesama penduduk setempat.
Secara keseluruhannya, aktiviti bersukan merupakan satu aktiviti yang dapat memberi
pelbagai faedah kepada peminat sukan. Benarlah, hanya jauhari sahaja yang mengenal
manikam, begitu juga dalam isu ini, hanya mereka yang bersukan sahaja dapat mengetahui
faedah bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah memulakan tugas dan tanggungjawab untuk
memastikan anak-anak melakukan aktiviti sukan agar pembentukan remaja sebagai pemimpin
negara pada masa akan datang dapat mencapai matlamat yang sebenarnya .

Anda mungkin juga menyukai