Anda di halaman 1dari 1

2.

KEPENTINGAN AMALAN BERJIMAT CERMAT

Tahun 2020 dilakari peristiwa hitam akibat pandemik Novel Coronavirus atau lebih
dikenali COVID-19. Situasi yang berlaku ini telah memberi pengajaran kepada negara dan
rakyatnya tentang kepentingan amalan berjimat cermat dalam kehidupan. Walau
bagaimanapun, kita masih belum terlambat untuk terus mengamalkan amalan mulia ini di
tengah-tengah kemelut pandemik yang masih belum ketemu titik pengakhiran episod sedih.
Dari satu perspektif, wang bukanlah segala-galanya namun wang masih menjadi faktor
utama penyelesaian masalah. Keadaan ini boleh dilihat apabila seseorang menghadapi dugaan
seperti bencana alam, kemalangan, dan kebakaran yang sering dikaitkan dengan pepatah
‘malang tidak berbau’. Kesemua dugaan tersebut memerlukan wang untuk membaik pulih dan
membeli barangan keperluan untuk meneruskan kehidupan. Tidak lain dan tidak bukan hanya
dengan amalan berjimat cermat sahaja dapat menyelamatkan keadaan. Benarlah kata
peribahasa Melayu, “sediakan payung sebelum hujan’.Tegasnya, amalan berjimat cermat ini
merupakan persediaan awal sebelum sesuatu kecemasan berlaku.
Dari perspektif yang berbeza pula, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) pernah memberitahu bahawa kebanyakan individu yang meminjam daripada lintah
darat ini terperangkap akibat kegagalan pengurusan kewangan mereka. Jika mereka bersikap
ukur baju di badan sendiri, pasti masalah pengurusan kewangan ini tidak berlaku. Sebagai
contoh, seseorang yang hendak membeli barangan peribadi seperti jam pintar akan mula
melakukan penjimatan wang belanja harian lalu menabung wang simpanan tersebut sehingga
mencapai matlamat kewangan untuk membeli barangan yang diminatinya. Keadaan ini seolah-
olah sebagai ganjaran setelah berjimat cermat. Secara tidak langsung, amalan ini dapat
memberi kepuasan kepada seseorang yang berjimat cermat untuk mendapatkan sesuatu yang
diharapkan.
Di samping perspektif di atas, amalan berjimat cermat dikatakan mampu menjamin
masa depan yang lebih cerah. Amalan berbelanja secara berhemat dan menyimpan wang
merupakan amalan yang mampu menjamin masa hadapan. Amalan ini akan mengelakkan nafsu
kita daripada berbelanja sesuka hati bak kata peribahasa, íkut hati mati, ikut rasa binasa, malah
tabiat ini akan menggalakkan kita berhutang setiap bulan untuk memenuhi kehendak kita.
Hanya dengan berjimat cermat, kita dapat merancang masa depan pendidikan, kerjaya,
perkahwinan, dan keperluan hidup dengan lebih mudah dan terancang. Bukti jelas lagi konkrit
ini menunjukkan kepentingan amalan berjimat cermat diamalkan sejak usia remaja lagi mampu
menjamin masa depan yang gilang-gemilang.
Tidak dapat dinafikan bahawa, amalan berjimat cermat merupakan amalan yang
memberi kesan positif dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar. Hal ini dikatakan
demikian kerana manusia sedang mengeksploitasi sumber alam semaksimumnya tanpa
memikirkan akibat yang bakal dihadapi oleh mereka. Jika manusia dapat mengubah kehidupan
mereka dengan berjimat cermat dari segi makanan, penggunaan bekalan air dan elektrik serta
kertas dan lain-lain lagi, kita sebenarnya sedang menuju ke arah menyelamatkan bumi
daripada mengalami kemusnahan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna,
maka, kita perlu berjimat cermat dalam penggunaan setiap benda sebagai langkah menjimatkan
sumber alam agar kita dapat hidup sejahtera dan harmoni di muka bumi ini.
Secara keseluruhannya, amalan berjimat cermat ini merupakan amalan yang
mendisiplinkan seseorang agar dapat berfikir sebelum bertindak dengan menjadikan fikiran
waras dan rasional untuk melakukan pertimbangan yang wajar sebelum pembelian sesuatu
barangan sama ada barang tersebut barang keperluan atau barang kehendak semata-mata. Oleh
itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memupuk amalan berjimat
cermat ini dapat agar disemai dalam jiwa remaja masa kini demi kelangsungan hidup yang
lebih terjamin.

Anda mungkin juga menyukai