Anda di halaman 1dari 2

KEHENDAK SOALAN : CARA-CARA UNTUK MENGAMALKAN AMALAN BERJIMAT CERMAT

1. Setiap individu perlu merancang perbelanjaan harian.


2. Setiap individu perlu mengamalkan amalan menabung.
3. Setiap individu mestilah mendahulukan keperluan daripada kemahuan.

Belakangan ini, isu berkaitan amalan berjimat cermat sering dipaparkan di media
sosial dan media massa. Isu ini semakin hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak di seluruh
pelosok negara bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Trend membeli barang secara dalam
talian banyak mengubah tabiat berbelanja rakyat di negara ini. Corak perbelanjaan
masyarakat melalui platform e-dagang telah menyebabkan sikap boros berbelanja semakin
meningkat. Persoalannya, apakah cara-cara untuk mengamalkan amalan berjimat cermat
dalam kalangan masyarakat di negara ini?
Salah satu cara untuk mengamalkan amalan berjimat cermat ialah setiap individu
perlu merancang perbelanjaan harian. Hal ini dikatakan demikian kerana perancangan perlu
dibuat supaya perbelanjaan tidak melebihi pendapatan. Kata-kata hikmat ada menyebut,
jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal. Sebagai contoh, setelah ditolak
perbelanjaan wajib bulanan seperti ansuran rumah, ansuran kereta, bil air dan elektrik,
seseorang individu mempunyai wang perbelanjaan bulanan sebanyak RM1500. Maka,
secara purata, perbelanjaan harian individu tersebut tidak boleh melebihi RM50 sehari.
Kesannya, seseorang individu dapat mengawal perbelanjaan dan dapat mengelakkan
hutang. Bak kata peribahasa, beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Jadi, jelaslah
bahawa merancang perbelanjaan harian merupakan cara untuk mengamalkan amalan
berjimat cermat.
Selain itu, seseorang individu juga perlu mengamalkan amalan menabung untuk
berjimat cermat. Dalam hal ini, setiap individu sewajarnya membuat ketetapan untuk
menabung setiap bulan bergantung kepada pendapatan masing-masing. Contohnya, kita
boleh menabung 10 peratus daripada gaji bersih yang diterima setiap bulan. Jika
pendapatan bersih RM3000, maka wang tabungan bulanan adalah RM300. Tabungan boleh
dibuat dengan memindahkan wang tabungan tersebut ke dalam akaun bank khusus untuk
tabungan. Impaknya, kita bukan sahaja dapat menyimpan wang dan menggunakannya di
saat kecemasan malah mendapat hasil melalui pembayaran dividen. Peribahasa Melayu ada
berkata, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Intihanya, seseorang individu dapat mengamalkan
amalan berjimat cermat dengan membuat tabungan setiap bulan.
Tambahan pula, amalan berjimat cermat juga dapat diamalkan jika setiap individu
mendahulukan keperluan daripada kemahuan. Dalam perkara ini, kita perlu tahu
membezakan antara keperluan dan kehendak untuk mengelakkan berlakunya pembaziran.
Contoh keperluan adalah seperti makanan, pakaian harian dan barang-barang dapur. Jadi,
kita perlu mengelakkan diri untuk membeli barang kehendak seperti telefon pintar baharu,
beg baharu dan pakaian mengikut fesyen terkini. Sebagai contoh, jika seseorang individu
sudah memiliki IPhone 12, mereka sewajarnya tidak perlu untuk membeli IPhone 14 kerana
fungsi kedua-dua model tersebut hampir sama sahaja. Implikasinya, pembaziran wang dapat
dielakkan. Sekiranya mereka mempunyai wang yang banyak sekalipun, sebaik-baiknya wang
itu disimpan atau disedekahkan kepada pihak yang memerlukan. Pendek kata, tindakan
mendahulukan keperluan daripada kemahuan merupakan cara mengamalkan amalan
berjimat cermat.
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat banyak cara yang boleh
dipraktikkan oleh seseorang individu untuk mengamalkan amalan berjimat-cermat. Setiap
individu bukan sahaja perlu merancang perbelanjaan harian malah perlu membuat
tabungan setiap bulan dan mendahulukan keperluan daripada kehendak. Oleh itu, ibu bapa
seharusnya memainkan peranan penting dengan memupuk menyemai amalan berjimat
cermat dalam diri anak-anak sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Pihak kerajaan juga perlu melaksanakan Kempen Jimat Cermat Amalan Mulia dalam
kalangan masyarakat secara berterusan melalui media massa dan media sosial.
Sesungguhnya, amalan berjimat cermat dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan
masyarakat yang lebih harmoni dah sejahtera.

Anda mungkin juga menyukai