Anda di halaman 1dari 1

Berjimat cermat membawa maksud berhemat atau berhati-hati dalam penggunaan wang,

elektrik, air ataupun lain-lain keperluan seharian kita. Amalan berjimat cermat merupakan
satu amalan yang terpuji dan membawa pelbagai faedah kepada kita.

Antara faedah amalan ini ialah kita dapat mengurangkan perbelanjaan harian kita.
Sekiranya kita berjimat cermat sudah tentu perbelanjaan harian kita sekeluarga dapat
dikurangkan dan kita mempunyai lebihan wang. Lebihan wang ini boleh kita simpan untuk
keperluan pada masa kecemasan.

Seterusnya, amalan berjimat cermat dapat memupuk sikap berdikari dalam diri setiap
orang. Hal ini demikian kerana orang yang mengamalkan sikap berjimat cermat sudah pasti
akan berusaha melakukan sendiri atau menyelesaikan sendiri sesuatu perkara atau masalah
tanpa mengupah orang lain. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga
menambahkan pengalaman.

Selain itu, amalan berjimat juga boleh membantu negara menjimatkan sumber. Sebagai
contoh, sekiranya kita berjimat cermat dalam penggunaan elektrik, air, dan petrol sudah
pasti sumber terpenting kehidupan kita ini akan dapat dijimatkan. Secara tidak langsung
kita membantu mengurangkan perbelanjaan negara.

Di samping itu, melalui amalan yang mulia ini juga kita dapat menambahkan wang
simpanan kita. Wang simpanan sangat penting dalam kehidupan kita. Orang yang
mempunyai simpanan akan terjamin masa depannya. Wang simpanan juga amat diperlukan
sekiranya berlaku sesuatu musibah kepada kita atau orang-orang terdekat dengan kita.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat perlu menjadi amalan setiap orang. Amalan
yang mulia ini jika diamalkan membawa seribu kebaikan.

Anda mungkin juga menyukai