Anda di halaman 1dari 2

PIDATO: OBESITI DALAM KALANGAN REMAJA

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum W.B.T, salam sejahtera dan salam Malaysia Madani


buat semua yang sudi melapangkan masa. Hadirin, meneliti arus perubahan semasa, jagatraya
diancam pelbagai penyakit yang sungguh berbahaya. Krisis kesihatan dunia disulam kegagalan
penjagaan kesihatan sehingga mengakibatkan penyakit seperti obesiti terus menjadi kerisauan.
Lantas, saya berasa cukup terpanggil untuk berkongsi dengan anda semua sebuah pidato yang
bertemakan “Obesiti Dalam Kalangan Remaja”.

Warga dewan sekalian, realiti semasa menjadi saksi, Malaysia dilanda masalah obesiti yang kian
meninggi. Lebih mengejutkan apabila, kita disenaraikan sebagai negara yang mempunyai bilangan
penduduk tertinggi yang menghidapi masalah obesiti di Asia Tenggara. Menurut set data keluaran
Kementerian Kesihatan Malaysia pula, peratusan penghidap obesiti dalam kalangan remaja sudah
mencapai 28%. Nyatanya, obesiti tidak terkecuali kepada golongan dewasa semata-mata, malah
turut mengancam kesejahteraan kesihatan remaja. Tuntasnya, menerusi pidato kali ini, kita akan
sama-sama menilai dan mengurai punca krisis penularan kadar obesiti dalam kalangan remaja.

Hadirin sekalian, pragmatik pertama, “Kesihatan Menjadi Taruhan, Budaya Pemakanan Semakin
Merisaukan”. Sesungguhnya, salah satu punca utama berlakunya masalah obesiti dalam kalangan
remaja termasuklah kegagalan mereka untuk mengamalkan amalan pemakanan seimbang. Hal ini
dikatakan demikian kerana, remaja pada masa kini gemar memakan makanan segera. Sebagai
contoh, remaja lebih suka makan makanan segera seperti mee segera berbanding makanan
berkhasiat. Kesannya, makanan ringan yang mengandungi kalori yang tinggi ini menyebabkan berat
badan meningkat secara mendadak. Budaya pemakanan seumpama ini diburukkan lagi dengan
sikap remaja yang tidak mengambil peduli akan kesan pemakanan yang tidak seimbang terhadap
kesihatan tubuh badan mereka. Rekod keluaran Kementerian Kesihatan Malaysia dalam Kajian
Pembudayaan Pemakanan Seimbang 2019 mendapati 7/10 remaja memilih untuk tidak
mengamalkan pemakanan seimbang, manakala, 4/10 remaja menyifatkan usia muda mereka mampu
menangkis segala sebaran penyakit berbahaya. Tanggapan seumpama inilah yang menggagalkan
usaha pembudayaan pemakanan seimbang dalam kalangan remaja. Hakikatnya, apabila nafsu
diangkat menjadi raja, kesihatan remaja terus tersiksa, akhirnya obesiti kian berleluasa.

Warga dewan sekalian, pragmatik kedua, “Kesihataan Sejagat Menjadi Sasaran, Pengaruh
Berbahaya Kian Mengancam”. Seperti yang kita semua sedia maklum, penularan masalah obesiti
dalam kalangan remaja juga disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat. Remaja pada masa kini
senantiasa dihiburkan dan dilalaikan dengan buaian teknologi yang hadir bersama-sama dengan
pelbagai bentuk hiburan yang membuang masa. Ini termasuklah permainan video dan media sosial
seperti Twitter, Youtube, Instagram dan TikTok. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai
masa untuk bersenam dan bersukan seperti berjoging, berbasikal dan beriadah untuk membakar
lemak dalam badan. Lebih teruk lagi apabila tabiat menghabiskan masa dengan gajet ini dikeruhkan
dengan pengambilan makanan yang berkalori tinggi. Keadaan ini sudah pastinya menyebabkan
lemak yang berlebihan dalam badan tidak dapat dibakar. Oleh itu, mereka akan mengalami masalah
kegemukan yang seterusnya membawa kepada penyakit obesiti. Atas sebab inilah, Kerajaan
Malaysia tidak henti-henti melaksanakan program seperti Hari Sukan Negara dan 1 Murid 1 Sukan
untuk meningkatkan pengilabatan anak muda dalam aktiviti bersukan dan bersenam. Kendatipun
begitu, kempen sedemikian rupa sering menemui kegagalan akibat penularan pengaruh gaya hidup
yang tidak sihat. Jelaslah bahawa gaya hidup yang tidak sihat akan membawa kepada masalah
obesiti.
Sidang penonton penuh santun, pragmatik ketiga, “Kesihatan Remaja Digugat Tekanan Berlebihan.
Selain daripada kegagalan pembudayaan pemakanan seimbang dan gaya hidup yang sihat, masalah
obesiti dalam kalangan remaja juga disebabkan oleh stres atau tekanan yang berlebihan. Masalah
stres atau tekanan yang berlebihan ini biasanya akan menyebabkan seseorang itu cenderung untuk
makan secara berlebihan untuk melampiaskan tekanannya. Hal ini biasanya berlaku kepada
golongan wanita. Sebagai contoh, apabila seseorang remaja stres disebabkan peperiksaan yang
hampir tiba, remaja tersebut akan makan secara berterusan untuk mengurangkan tekanan. Hal ini
sudah pastinya akan menyebabkan berlakunya penjanaan lemak berlebihan di dalam badan.
Fenomena seumpama ini dikenali sebagai “Stress Eating” ataupun makan kerana tertekan. Masalah
ini telah disenaraikan sebagai salah satu masalah mental yang mampu menjejaskan kesihatan
seseorang manusia. Atas asbab inilah, kesedaran remaja akan keburukan amalan makan kerana
tertekan perlu digerakkan secara berterusan andai kita ingin memerangi masalah obesiti dengan
berkesan.

Sahabat sekalian, kesimpulannya, usaha mapan daripada semua pihak perlu dimantapkan. Hanya
menerusi kerjasama jitu daripada semua, penularan obesiti dapat kita tangani bersama-sama.
Ayuhlah semua, kita ubah budaya lama, kita perangi obesiti yang berbahaya dan kita bina
kesejahteraan kesihatan remaja. Jangan biarkan remaja terleka dengan hambatan teknologi semata-
mata, kesihatan juga perlu menjadi tumpuan utama.

Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai