Anda di halaman 1dari 2

PIDATO: KESIHATAN FIZIKAL DAN MENTAL

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum W.B.T, salam sejahtera dan salam Malaysia Madani


buat anda semua. Sesungguhnya, norma kehidupan manusia, kesibukan bekerja menghalang kita
untuk memelihara kesihatan dengan sempurnya. Hambatan kemajuan pula menyebabkan
ketaksuban harta benda mengatasi kesejahteraan sarira dan jiwa. Oleh yang demikian, berdirinya
saya pada hari yang indah ini adalah untuk berkongsi sebuah pidato yang bertemakan “Kesihatan
Fizikal Dan Mental”. Secara tuntasnya, menerusi pidato ini, kita akan sama-sama leraikan 3
persoalan utama bersabit kesihatan fizikal dan mental manusia.

Hadirin sekalian, persoalan pertama, “Apakah yang dimaksudkan dengan kesihatan fizikal dan
mental?”. Secara mudahnya, kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai harganya. Kesihatan juga
merupakan aspek yang mempengaruhi kehidupan seharian kita. Setiap individu sudah semestinya
ingin hidup sihat daripada segi fizikal dan mental. Sihat daripada segi fizikal merangkumi kesihatan
anggota badan yang bebas daripada penyakit berbahaya. Manakala, kesihatan mental pula dapat
dikonotasikan sebagai ketenteraman minda yang terhindar daripada gangguan emosi, tekanan
perasaan dan penyakit mental. Dasawarsa ini, matlamat memiliki kesejahteraan kesihatan fizikal
dan mental tidak mudah untuk dicapai sekiranya seseorang itu tidak mengamalkan gaya hidup yang
sihat. Atas asbab inilah, manusia harus sentiasa menitikberatkan pengamalan gaya hidup sihat demi
memastikan mimpi memiliki kesihatan fizikal dan mental dapat dijadikan sebuah realiti.

Hadirin sekalian, persoalan kedua, “Apakah cara untuk memiliki kesihatan fizikal yang mapan?”.
Realitinya, untuk menzahirkan kesihatan fizikal, setiap individu perlu melakukan aktiviti yang
dapat membina kekuatan fizikal seperti menunggang basikal, bermain bola dan aktiviti-aktiviti
sukan yang lainnya. Selain itu, aktiviti senaman juga adalah antara aktiviti keluarga yang amat
penting untuk menjaga kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana, semasa bersenam sebahagian
besar organ dalam badan seseorang akan bergerak secara aktif. Jantung akan berfungsi dengan baik
dan melancarkan perjalanan darah. Ringkasnya, melalui senaman, badan kita akan menjadi lebih
sihat dan cergas bahkan otak kita turut menjadi lebih cerdas. Jika rakyat di negara ini sentiasa
mengamalkan gaya hidup yang sihat, tidak mustahil tahap kesihatan rakyat Malaysia akan
meningkat. Oleh itu, kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan aktiviti senaman hendaklah
dipupuk sejak kecil lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Sidang dewan sekalian, persoalan ketiga “Apakah pula cara memelihara kesihatan mental?”. Pada
era globalisasi masa kini, kita semua diancam variasi unsur negatif yang boleh mendatangkan
bahaya kepada kesihatan mental kita. Hakikatnya, tekanan yang wujud pada diri seseorang manusia
kian meningkat apabila kehidupan kita seringkali dibandingkan di media-media sosial. Lebih
membimbangkan apabila, tekanan seumpama ini mampu menjadi punca kita diganggu masalah
mental yang bisa meragut nyawa, justeru, usaha memelihara mental manusia turut perlu menjadi
perkara yang utama. Dengan memastikan kita sentiasa berehat dengan tempoh istirahat dan tidur
yang secukupnya, hal ini dapat mengurangkan tekanan dan menenangkan minda. Hasilnya, gaya
pemikiran seseorang akan menjadi lebih positif dan mampu menyelesaikan masalah dengan lebih
mudah di samping mengelakkan diri daripada dilanda masalah mental seumpama kemurungan dan
tekanan perasaan yang berlebihan.
Hadirin dan hadirat sekalian, rangkumannya, kini dapatlah disimpulkan bahawa kesedaran kita
tentang kesihatan perlulah diperkukuh. Menerusi pembudayaan amalan gaya hidup sihat ini, impak
positifnya bakal mendatangkan pelbagai manfaat buat kesihatan kita semua. Nyatanya, masyarakat
yang mengamalkan gaya sihat akan mencapai matlamat negara untuk melahirkan modal insan yang
sihat daripada segi fizikal dan mental serta mampu memajukan negara. Meninjau dari skop yang
lebih luas, panduan tentang penjagaan kesihatan perlu disebarluaskan. Semoga kesihatan fizikal dan
mental yang saya perkatakan ini benar-benar mampu dijadikan sebuah amalan yang dipraktikan
seluruh warga Malaysia. Mengakhiri bicara, serangkap pantun saya kirimkan khas buat semua.

Kalau ada sumur di ladang,


Bolehlah saya menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai