Anda di halaman 1dari 7

Masa itu Emas..Bidalan seperti ini seringkali diperkatakan sejak dari kita kecil lagi.

Ianya
membawa maksud masa itu anugerah yang teramat berharga kepada sesiapa sahaja.
Serlahkanlah penghargaan kita kepada masa yang dianugerahkan kepada semua makhluk di
muka bumi ini. Jika tiada penghargaan diberikan, maka sia-sialah kehidupan kita dengan
aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah.

Menjadi lumrah dalam diri kita untuk menghargai sesuatu yang amat tidak ternilai harganya.
Ianya disayangi dan dipelihara dengan sebaik-baiknya seperti 'menatang minyak yang penuh'.
Begitulah yang sepatutnya disifatkan kepada masa. Malah ia perlu diberikan perhatian yang
serius dalam perjalanan hidup kita yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti, urusan dan lain-
lain perkara yang berkenaan.

Islam sendiri amat menitikberatkan kepada pengurusan masa yang terbaik dan cemerlang.
Dalam Al-Quran ALLAH berfirman yang membawa maksud;

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman
dan beramal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran & kesabaran

Surah Al-Asr

Pepatah Arab ada berkata, 'Masa itu ibarat mata pedang. Jika kita tidak memotongnya ia akan
memotong kita'. Benarlah seperti apa yang dikatakan. Jika kita tidak berusaha untuk mengejar
masa yang ditetapkan mencapai sesuatu contohnya seperti IMPIAN diri, maka segalanya tiada
akan menjadi. Penangguhan dalam menetapkan atau menjalankan sesuatu pasti merugikan.
Kemungkinan segala peluang yang terhidang tiada akan tercapai atas kelewatan diri sendiri.

Masa perlu ditepati dengan sebaik-baiknya sebagaimana kita mahukan sesuatu dengan
secepatnya. Salah satu perlaksanaan cemerlang semestinya dengan merancang dengan
cemerlang dan teratur 'step by step approach'. Tiada alasan untuk membuat perancangan
sempurna sebelum melaksanakan sesuatu. Namun, harus diyakini yang mana segala-gala
perancangan yang terbaik adalah terletak kepada ALLAH tersendiri. Kejayaan yang direncana
pasti akan tiba. Cepat atau lambat bukan soalan yang khusus. Terimalah masa yang ditetapkan
dengan rasa sabar dan ikhlas sebaik-baiknya.

Elemen malas adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Menangguh-nangguh
merupakan salah satu penyebab kepada 'malas'. Kerana itulah ianya perlu dielakkan dengan
segera. Tidak dinafikan kadangkala kita merasakan masa yang ada masih panjang, tetapi
seperti yang dikata 'masa tidak akan menunggu kita'. Hanya kita yang perlu mengejar masa
demi matlamat yang tercipta.

Di sini disertakan langkah-langkah untuk masa terutama dalam menggapai impian:


1) Memerhatikan pembinaan niat terutama
2) Meneliti, mengamati dan memperbaiki kesilapan lalu
3) Terapkan diri pencarian ilmu berterusan
4) Fokus kepada matlamat IMPIAN
5) Perlaksanaan berterusan

Peringatilah diri kita untuk menghargai masa yang dianugerahkan kepada sekalian ciptaan-
Nya.
Seperti biasa, berusaha, berusaha dan berusahalah dengan berterusan. Nescaya kejayaan
pasti menjadi realiti. Amati masa yang ada dengan menghadapi realiti

NILAI MASA
Setiap insan dikurniakan 24 jam sehari di dalam hidupnya. Bergantung pada dirinya
bagaimana untuk menguruskannya. Ada yang merasakan 24 jam sehari tidak mencukupi
baginya dan ada juga yang merasakan terlalu sukar untuk menghabiskannya.

Orang yang berjaya dalam hidupnya amat menghargai masa. Pepatah ada mengatakan, "Masa
itu emas". Apabila masa terbuang bermaksa kita telah menghabiskan harta kita dengan sia-sia.
Orang yang berjaya telah merancang masa mereka sebaik mungkin supaya kegiatannya
berjalan lancar dan tiada gangguan.

Orison Swett memberikan pendapatnya, "Setiap hari masa mengunjungi kita seperti sahabat
yang sedia membawa hadiah-hadiah yang bergarga. Apabila hadiah itu kita tidak terima,
maka ia akan pergi dan tidak akan kembali lagi. Tiap-tiap pagi dia datang dengan membawa
hadiah-hadiah baru. Tetapi jika kelmarin dan kelmarin dulu hadiah-hadiah itu tidak kita
terima, lama-lama kita tidak dapat menikmati lazatnya hadiah pemberian masa itu, sebab kita
tidak pandai menghargainya. Peribahasa mengatakan bahawa kekayaan yang hilang dapat
dicari semula jika rajin, kesihatan yang terganggu akan sembuh jika berubat, tetapi masa yang
hilang terbuang tidak dapat dicari selama-lamanya.

Micheal Faraday ada berkata, "Satu-satunya yang saya hargai dalam hidup ini adalah masa.
Jika masa itu boleh dibeli, setiap hari saya akan membelinya".

Cuba kita perhatikan masyarakat Jepun. Mereka amat mematuhi dan menepati masa kerja.
Hasilnya, Jepun telah berjaya menjadi sebuah negara industri yang menguasai dunia. Kita
juga boleh berjaya dalam hidup kita sekiranya kita juga ada disiplin diri dan amat menghargai
masa kita.

Orang yang berjaya tidak akan membiarkan masa berlalu. Setiap detik digunakan untuk
memanfaatkan sesuatu. Oleh itu, gunakanlah masa sebaik mungkin. Renungkanlah satu
pengalaman menarik dari Benjamin Franklin, seorang yang berjaya dalam semua bidang.

Franklin mempunyai sebuah kedai buku yang dijaga oleh seorang pekerja. Seorang pelanggan
ingin membeli buku yang berharga seringgit. Dia minta dikurangkan. Apabila tidak berjaya,
dia ingiin menemui tuan punya kedai. Apabila Franklin mendengar kata pemuda itu ia terus
berkata "Mengapa saudara ingin menemui saya?"

Pemuda itu lau bertanya tentang harga buku tersebut. Franklin memberitahu harganya $1.50
iaitu lebih 50 sen. Pemuda itu terkejut lalu bertanya.

"Apakah encik tidak keliru?" tanya pemuda itu.


"Tidak, kau telah memanggil aku dan masa terbuang untuk melayan kamu. Jadi kamu harus
membayar kerugian masa saya," kata Franklin. Dari cerita di atas, kesimpulannya masa itu
sangat penting dan berharga.

Ingatlah, kalau kita pandai menggunakan masa, ia akan memberi hadiah kepada kita, iaitu
kajayaan. Jika kita mensia-siakan masa, kita akan kecewa.

MASA ITU NYAWA!

30 Mac 2009 oleh gentarasa

Antara bekalan yang diberikan oleh Allah


kepada manusia ialah nyawa. Dengan nyawa kita hidup dan dengan hidup itu kita diberi
peluang untuk melaksanakan misi hidup kita. Justeru, kita perlu bersyukur jika masih diberi
kesempatan untuk terus hidup. Nyawa (hidup) ini sangat berharga. Nyawa ini adalah “modal”
untuk meraih keuntungan di dunia dan di akhirat. 
Oleh sebab itu nyawa termasuk dalam 4 perkara yang diletakkan dalam kategori dharuriyat
bersama-sama dengan agama, keturunan dan harta. Selepas kita bangun daripada tidur, kita
disunatkan berdoa dengan doa ini:
“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-
Nyalah kami akan dikembalikan.”

Doa ini secara langsung mengingatkan kita tentang nikmat hidup. Tanpa nikmat hidup, kita
tidak berpeluang untuk membuat kebaikan, meraih pahala dan seterusnya mendapat syurga.
Prof Dr. Yusuf Al Qardhawi pernah menulis:
“Setiap inci tanah di muka bumi ini adalah tempat yang paling subur untuk menanam benih
syurga.”

Ingatlah, hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya hari Akhirat. Kebaikan di akhirat
tidak akan dapat diraih tanpa kehidupan di dunia. Justeru, di dalam Islam kita dilarang
“meminta’ mati apatah lagi membunuh diri. Rasulullah SAW bersabda:
“janganlah seseorang kamu mengharapkan kematian. Kalau dia seorang berbuat kebaikan,
mudah-mudahan bertambah kebaikannya, dan kalau dia orang berbuat salah, mudah-mudahan
dia bertaubat.” (Riwayat Bukhari).

MENGHARGAI MASA
Apakah tanda kita menghargai nyawa? Jawabnya mudah, kita mesti menghargai masa! Masa
hakikatnya adalah nyawa kita. Membazirkan masa atau menggunakan masa tidak selaras
mengikut tujuan ia dikurniakan hakikatnya “membuang” nyawa sendiri. Lihat betapa Allah
sangat mengutamakan masa walaupun Allah sendiri tidak terikat dengan masa. Masa itu
ciptaan Allah dan sekali-kali ia tidak memberi kesan ke atas-Nya.

Walau bagaimanapun dalam mendidik manusia, Allah sangat mengutamakan masa. Buktinya,
Allah telah berkali-kali bersumpah dengan masa (Surah Al Asr) dan juga kejadian-kejadian
yang ada kaitannya dengan masa seperti bulan, matahari, siang, malam, waktu subuh dan
sebagainya. Ini menunjukkan betapa Allah sangat pentingkan masa.

Begitu juga diterangkan Allah suka para hamba-Nya mendirikan solat pada waktu 2/3 malam
(dinihari). Ini menunjukkan bahawa di sisi Allah ada waktu-waktu yang tertentu yang lebih
disukai-Nya. Ada juga diberitakan dari hadis-hadis bahawa ada masa-masa tertentu yang
mana doa lebih dimakbulkan oleh Allah berbanding masa-masa yang lain. Semua ini
menunjukkan betapa Allah sangat “prihatin” dengan masa.

ISLAM DAN MASA


Al hasil, dalam ajaran Islam, ibadat-ibadat kerap dikaitkan dengan masa. Umpamanya,
sembahyang ada lima waktu, puasa wajib hanya setelah muncul anak bulan Ramadhan.
Begitu juga dengan Hari Raya, ibadat haji dan sebagainya – semuanya ada waktu-waktu yang
telah ditentukan. Untuk menentukan waktu-waktu ini, secara tidak langsung Allah
memerintahkan kita sentiasa perjalanan bulan dan matahari sekali gus agar umat Islam akan
sentiasa peka dan mementingkan masa.

Selain itu dengan selalu melihat perjalanan masa (bulan, matahari, siang, malam) akan
tersingkaplah rahsia kebesaran Allah sebagai Pengkarya yang paling agung dan sempurna.
Bertitik-tolak sikap inilah berkembangnya pelbagai disiplin ilmu berasaskan pengamatan
terhadap masa. Antaranya, ilmu sains dan matematik. Jadi tidak hairanlah jika umat Islam
menjadi “imam” dalam ilmu sains dan teknologi satu ketika dulu. Ironinya, kini kita
ketinggalan. Ya, mungkin akibat tidak “mementingkan” perjalanan masa seperti umat
terdahulu!

BAGAIMANA MENGHARGAI MASA = NYAWA?


Ramai orang mengalami masalah bagaimana mendisiplinkan masa. Tetapi hakikatnya jika
kita mengamalkan ajaran Islam secara total, maka masa seseorang akan terurus secara
automatik. Misalnya, waktu sembahyang. Jika dijaga dengan baik, hidup akan terdisiplin
dengan sendirinya. Begitu juga dengan pengurusan masa. Bayangkan, jika seseorang
bersembahyang lima kali dalam sehari, maka dengan sendirinya dia akan sentiasa mengawasi
masa. Mana mungkin orang yang benar-benar menjaga solat 5 waktu, terlalai dalam
hidupnya?

Kehidupan terlalu singkat untuk dosa dan perkara sia-sia. Seperti yang ditegaskan sebelumnya
bahawa Allah ciptakan manusia untuk beribadah. Hidup yang sementara dan singkat ini
hanyalah satu persediaan untuk satu kehidupan yang abadi. Jika dinisbahkan tempoh hidup di
dunia (katalah 63 tahun) berbanding hidup di akhirat (yang infiniti)… nisbah 1: 1,000 000 pun
belum memadai. Kalau diibaratkan berniaga, modalnya cuma seringgit tetapi potensi
mendapat untungnya berlipat ganda hingga sejuta ringgit apakah kita akan abaikan atau sia-
siakan yang seringgit itu? Pasti tidak, kita akan gunakan sebaik-baiknya.

BAGAIMANA MENILAI MASA?


Menyedari hidup terlalu singkat tetapi sangat berharga inilah maka Islam bukan sahaja
melarang kita melakukan perkara-perkara dosa, malah perkara yang sia-sia. Bahkan, jika
seluruh masa dalam hidup ini dihabiskan dalam ketaatan pun, manusia masih tidak mampu
membalas seluruh kebaikan Tuhan. Apatah lagi, kalau banyak masa yang buang sia-sia.
Mereka yang mensia-siakan masa adalah orang yang “bankrap “dalam “perniagaannya”
dengan Tuhan. Benarlah kata Sayidina Ali:
“Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, ia yang akan memancung
kamu.”

Anehnya, masa tidak diukur melalui kuantitinya tetapi kualitinya. Bukan lama atau singkat,
panjang atau pendeknya tetapi bergantung pada bagaimana ia diurus dan untuk apa ia
digunakan. Imam Nawawi RH misalnya, ulama yang tidak panjang usianya tetapi begitu besar
jasanya. Malah, hingga kini kitab-kitab yang ditulisnya dinilai “sangat luar biasa” bukan
sahaja dari segi kerelevanan dan ke signifikannya tetapi juga tempoh masa untuk
menghasilkannya berbanding usianya yang relatif singkat!

Lihat juga masa pemerintahan Umar Ibn aziz RA yang begitu pendek (hanya sekitar dua
tahun) berbanding masa pemerintahan khalifah Bani Umayyah yang lain tetapi terus dikenang
sebagai pemerintahan yang sangat mirip dengan Khulafaur Rasyidin. Bukan kerana kuantiti
masa pemerintahannya tetapi kerana kualiti kepimpinannya – Umar Ibn Aziz mengatasi
kredibiliti khalifah-khalifah yang lain.

Lihat pula bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat yang begitu “mencemburui”
tempoh masa berjihad dan beribadat oleh seorang mujahid silam Bani Israel bernama Samun
Al Ghazi menerusi turunnya surah Al Qadar yang menunjukkan betapa kualiti ibadah malam
itu (oleh umat nabi Muhammad SAW) melebih 1000 malam.

Kuantiti masa tidak boleh “dipanjangkan” tetapi kualitinya boleh dipertingkatkan. Justeru
dalam Islam banyak hadis yang menjelaskan tentang fadilat sesuatu amalan yang digandakan
melebihi tempoh masa dan tenaga yang digunakan. Misalnya, Rasulullah SAW pernah
menegaskan bahawa sesiapa yang bersolat jemaah Isyak dan Subuh, maka dia seolah-olah
telah beribadah sepanjang malam. Juga bagi orang yang berfikir sesaat hingga terasa
kebesaran Allah lebih baik daripada beribadah selama setahun!

ANCAMAN MASA
Namun, ganjaran selalu datang beriringan dengan ancaman. Bagi mereka yang bertangguh-
tangguh, ada hadis “mengancam”. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda:
” Barang siapa yang telah mencapai umur 40 tahun tetapi kejahatannya masih mengatasi
kebaikannya maka bersiap-siaplah masuk ke neraka.”
Hadis tersebut bukan bererti “menutup pintu taubat sebelum masanya”, tetapi hanyalah
ancaman buat mereka yang tidak menghargai nyawa (masa).

Seseorang ‘Asi (pendosa) yang telah melangkaui usia 40 tahun, dikira sudah liat dan keras
untuk membuat “pusingan U” dalam hidupnya. Nafsunya telah begitu buas untuk dijinakkan
walaupun mungkin sudah kehilangan tenaga untuk melakukan kejahatan. Jadi, berhati-hati
sebaik mencapai usia akil baligh (sekitar 15 tahun bagi lelaki dan lebih awal daripada itu bagi
seorang wanita), wisel “perlumbaan” menuju Tuhan telah pun ditiup. Larian menuju Allah
telah pun dimulakan.

Pukul rata umat nabi Muhammad SAW ialah sekitar 63 tahun (mengikut satu hadis). Justeru,
bolehlah dikatakan umur 40 tahun ialah tempoh seorang mencapai tahap “kelelahan” dalam
perlumbaan itu. Sedangkan menurut psikologi Barat, ‘hidup bermula pada umur 40 tahun –
Life begin at forty.”

Jadi kita di mana? Apakah kita rasa umur 40 tahun itu telah “di hujung” atau masih baru
bermula? Ramai juga yang terpengaruh dengan fahaman Barat hingga tergamak mengatakan,
masa muda tidak mengapa “terbuat” jahat, nanti tua baru bertaubat? Pada hal menurut Imam
Ghazali, kejahatan itu tumbuh dalam diri manusia umpama akar sepohon kayu,yang semakin
lama dibiarkan semakin kukuh ia mencengkam. Kalau hendak “mencabut” kejahatan daripada
seseorang, cabutlah pada usia mudanya kerana bila sudah tua akar kejahatan itu sudah
mencengkam dan sukar untuk diungkai!

Di padang Mahsyar nanti, antara satu soalan daripada empat soalan yang Allah akan tanya
ialah, “ke mana umur muda mu dihabiskan?”. Tuhan tidak bertanyakan umur tua. Ini
menunjukkan betapa bernilainya masa muda berbanding tua. Sehubungan dengan itu Nabi
Muhammad SAW juga telah mengingatkan dalam sebuah hadisnya:
“Pergunakanlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat, sebelum sakit. Masa
muda sebelum tua. Masa lapang sebelum sibuk. Masa kaya sebelum miskin. Masa hidup
sebelum mati. “
Jika kita benar-benar sedar hakikat ini, seharusnya, tidak timbul soal bertangguh, membuang
masa dan membazir waktu dalam kehidupan.

TUJUAN HIDUP ASAS PENGURUSAN MASA


Menguruskan masa dengan baik, bermula dengan penetapan tujuan hidup. Apa tujuan hidup
kita? Ini adalah persoalan asas yang mesti diselesaikan sebelum menguruskan masa. Ya,
seperti yang ditegaskan pada awal-awal lagi, tujuan hidup kita adalah untuk menjadi hamba
Allah dan khalifah. Untuk mencapai tujuan ini seluruh aktiviti kita hendaklah sentiasa
tertakluk kepada hukum Allah.
Tegasnya, kita akan buat perkara yang wajib, halal, harus dan sunat. Manakala yang haram
dan makruh kita akan tinggalkan. Begitu juga dengan perkara yang sia-sia atau “lagha”, juga
kita tinggalkan. Oleh itu, jika hidup diatur mengikut syariat, maka secara automatik masa kita
akan dihabiskan untuk membuat perkara yang baik, benar dan betul yakni yang halal, harus
dan sunat.

Malah kita juga dituntut untuk memilih antara dua perkara yang boleh dilakukan mana yang
lebih utama? Misalnya, bila bertembung antara mengerjakan umrah dengan membantu orang
yang susah, maka lebih utama kita dahulukan membantu orang yang susah.

MENYUSUN HIDUP
Sebenarnya jika kita melaksanakan hukum-hakam Islam, maka secara automatik masa akan
terurus dengan baik. Ini kerana kebanyakan hukum-hakam Islam sangat mementingkan
ketepatan dan pengamatan terhadap masa. Contohnya, solat lima waktu. Ia punya waktu-
waktunya tersendiri. Jika kita hendak solat Subuh misalnya, maka kita akan bangun awal dari
tidur. Kita tidak akan tidur berlebihan hingga bangun lewat. Untuk bangun tidur awal tentulah
kita tidak akan berjaga hingga larut malam.

Begitu juga dengan zakat, puasa dan haji semuanya mempunyai had masa bagi
pelaksanaannya. Tegasnya, apabila seseorang itu menjaga solat, puasa, zakat dan hajinya
maka seluruh persoalan hidupnya akan terurus dengan baik. Atau dengan kata-kata yang lain,
dia telah menguruskan nyawanya dengan cekap dan berkesan!
PENGURUSAN MASA

Ana tertarik dengan pengisian di dalam bacaan khutbah oleh Khatib di Masjid Sunway pada
tarikh 24hb Disember 2010 minggu lepas semasa menunaikan solat Jumaat. Antara lain isi
yang di sampaikan dengan penuh semangat yang masih ana teringat-ingat adalah:

Bismillahirrahmaanirrahim
Demi masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran
serta berpesan-pesan dengan kesabaran. -Surah Al-Asr.

1. Berapa banyakkah kita mengingati Allah pada setiap minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun
dalam hidup kita?
-berapa banyakkah kita sebutkan subhaanallah, alhamdulillah, allahu akhbar dan lain-lain
zikir dalam kehidupan seharian kita? Kita ini sombong terhadap diri sendiri dan sering
menganggap kita ini islam kita telah pasti masuk syurga tanpa beramal soleh yang dituntut
kepada kita? Kita berseronok gelak ketawa berdekah-dekah di majlis-majlis (kenduri, parti
dan lain-lain) seolah-olah kita hidup tidak akan mati dan amal perbuatan kita tidak akan di
tanya nanti!

2. Berapa banyak kitab atau buku agamakah yang telah kita pelajari, baca dan dalami setiap
hari, bulan atau tahun?
-kita sering mengaku kita anggap tahu banyak perihal ugama. Agaknya kita ini hebat sangat
sehinggakan kita sebagai umat islam sendiri memboikot dan memulaukan (tidak mahu
menghadiri) majlis-majlis ilmu, ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah ugama yang ada
sedangkan banyak tempat menganjurkan majlis-majlis ilmu. Adakah kita ini lebih pandai dari
ustaz-ustaz sampaikan kita tidak perlu hadir kepada majlis ilmu dan berjumpa ustaz dan
ulama untuk mendengarkan persoalan dan belajar ugama? Betapa sombongnya diri kita ini,
Sedangkan menuntut ilmu adalah fardhu ain kepada kita sebagai muslim!

3. Kita selalu banyak membuang masa sibuk dengan perihal dunia sehingga mengabaikan
akhirat kita.
-kita sibuk membuang umur yang di anugerahkan Allah kepada kita kepada perkara-perkara
sia-sia dan lagha dan maksiat, sedangkan tujuan utama kita di jadikan adalah untuk meng-
Esa-kan Nya dan beramal soleh.

4. Pengurusan masa kepada akhiratlah yang sebenarnya di maksudkan di dalam ayat satu pada
surah Al-Asr.
-Berapa banyak masa pun yang kita habiskan untuk dunia akhirnya kita akan menuju negeri
akhirat setelah mati. Maka persiapkanlah bekal yang akan di bawa ke sana selagi kita masih
bernyawa.

BerTaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar Taqwa!


Ya Allah! ampunilah dosa-dosa kami dan jadikanlah kami kuat beribadah kepada-Mu. Amiin

Anda mungkin juga menyukai