Anda di halaman 1dari 1

 Amalan gaya hidup sihat ialah aktiviti yang selalu dibuat untuk mengekalkan kesihatan tubuh

badan. Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak pernah
berkata bahawa rakyat Malaysia harus mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk memperoleh
kebaikan daripadanya. Sejarah membuktikan masyarakat zaman dahulu hidup dalam tempoh masa
yang lebih lama berbanding masyarakat zaman sekarang kerana mengamalkan gaya hidup yang
sihat. Masyarakat sekarang banyak mengalami masalah kesihatan kerana tidak mengamalkan gaya
hidup yang sihat. Persoalannya, apakah kepentingan amalan gaya hidup sihat?

           Antara kepentingan amalan gaya hidup sihat ialah kehidupan seseorang akan sentiasa ceria
dan bahagia. Hal ini amat signifikan kerana hidup yang berkualiti berpunca daripada tubuh badan
yang sihat serta otak yang cerdas. Bersukan dan beriadah dapat menjamin tubuh badan seseorang.
Sebagai contohnya, aktiviti berjoging, bemain badminton dan berbasikal dapat mengekalkan
kekuatan tubuh badan. Kesannya, seseorang itu dapat hidup dengan aman dan harmoni kerana
terhindar daripada pelbagai penyakit yang berkaitan dengan tubuh badan yang tidak dijaga. Hal ini
persis peribahasa Melayu, bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian kerana berusaha
untuk mendapatkan tubuh badan yang sempurna melalui amalan gaya hidup sihat. Sudah terang lagi
bersuluh, amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah dan sukan dapat memberikan kehidupan
seseorang itu lebih ceria dan bahagia serta mempunyai ramai kawan.

            Seterusnya, kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna kerana semua anggota
badan berfungsi dengan baik jika seseorang mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini demikian kerana,
tubuh dalaman tidak dapat dilihat melalui mata kasar manusia. Pemeriksaan kesihatan secara
berkala di hospital atau klinik kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali dapat memastikan
tahap kesihatan organ seseorang seperti fungsi jantung, paru-paru, dan buah pinggang.
Sesungguhnya, mencegah lebih baik daripada merawat kerana seseorang dapat mengetahui
tahap kesihatannya. Apabila anggota badan dan organ dalaman dapat berfungsi dengan lebih baik,
kehidupan seseorang akan lebih sihat dan produktif.Malah, dapat belajar dengan fokus serta
menjalankan pekerjaan harian dengan sangat sempurna. Tegasnya, membuat pemeriksaan
kesihatan secara berkala dapat memastikan anggota tubuh badan dan organ dalaman berfungsi
dengan baik supaya kita dapat menjalani kehidupan dengan sempurna serta menambahkan kualiti
kehidupan keluarga.

           Di samping itu, kepentingan amalan gaya hidup sihat yang terakhir yang tidak kurang
signifikannya berbanding kepentingan yang dihuraikan sebelum ini ialah dapat menjimatkan kos
perubatan seseorang, khususnya golongan yang kurang berkemampuan. Jikalau kita mengamalkan
amalan gaya hidup sihat, kita mampu menjimatkan perbelanjaan perubatan sebanyak beribu-ribu
ringgit dan wang tersebut dapat disimpan untuk masa kecemasan yang lain. Sesetengah pihak akan
mengemukakan hujah bahawa pemakanan seimbang tidak begitu penting, kerana sains dan teknologi
moden dalam bidang perubatan menjelang era pascaglobalisasi ini mampu mengubati hampir setiap
penyakit. Memang benar, bidang perubatan kini semakin canggih hasil daripada daya intelek
golongan saintis dan pakar perubatan. Namun demikian, persis kata peribahasa Melayu ada
berbunyi, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dalam konteks ini, peribahasa ini menegaskan
bahawa lebih baik kita menghindari diri daripada menghidapi sesuatu penyakit. Tegaslah bahawa
amalan gaya hidup sihat dapat menjimatkan kos perubatan serta memudahkan segala urusan pada
masa kelak.

         Kesimpulannya, setiap individu bertanggungjawab untuk mengekalkan amalan gaya hidup sihat.
Masyarakat harus mengamalkan amalan ini dengan hati dan minda yung terbuka. Hal ini agar rakyat
Malaysia dapat mengamalkan amalan gaya hidup sihat dan mengelakkan masalah yang akan
dihadapi jika tidak mengamalkan amalan ini seperti masalah yang kerap kali disebut iaitu obesiti.
Perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita capai kerana peribahasa Melayu ada
menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.Oleh itu, berusahalah hari demi
hari supaya dapat mengamalkan gaya hidup sihat ini dan menjalani kehidupan harian dengan
sempurna.

Anda mungkin juga menyukai