Anda di halaman 1dari 2

Tema : Kebersihan dan Kesihatan.

Tajuk : Langkah-langkah Menjaga Kesihatan.

Muhammad Izzat bin Mohd Rosdi (4 GKT).

Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat,
seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke sekolah menimba
ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah orang, nikmat kesihatan
hanya disedari apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli
ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan pula, pelbagai
ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang seperti “cendawan tumbuh selepas
hujan”. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini dalam kehidupan, beberapa langkah perlu diambil
agar kesihatan kita terjamin.

Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan
menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah hendaklah
bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan dapat
menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita
perlulah menyahut seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar
Raya Islam iaitu kempen “Jumpa Sampah Kutip” dan kempen “Memerangi LILATI (lipas,lalat dan
tikus).” Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan
longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan
demikian, penyakit-penyakit bawaan vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan.
Tegasnya, menjaga kebersihan persekitaran merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah
mencapai tahap kesihatan yang optimum.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita
berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan
pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan
ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan
pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam keadaan sihat dan dapat
mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah tinggi, kencing manis dan
sebagainya. Perkara ini bertepatan dengan peribahasa, “Mencegah lebih baik daripada
mengubatinya”. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini, keadaannya akan boleh dikawal
sebelum menjadi serius seperti peribahasa,“Cegah sebelum parah”. Pendek kata, kesihatan
seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita menjalani pemeriksaan kesihatan diri di
hospital-hospital secara berjadual.

Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga


kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Perkara ini bertepatan
dengan peribahasa Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu “What you are, is what you eat”. Boleh
dikatakan seseorang yang mengamalkan pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan
yang baik. Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna seseorang mengambil makanan yang
berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan seseorang. Seseorang individu
memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan dan keperluan-keperluan lain.
Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih kalsium berbanding orang dewasa yang
memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas, seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan
sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan
minuman bergas perlu dielakkan kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah
terbaik untuk mencapai tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan makanan seimbang.

Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita beriadah. Amalan riadah seperti
berenang, berjoging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik untuk kesihatan.
Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zulkifli Abdul Kadir,
menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi
mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap
hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan istiqamah sesuai dengan peribahasa, “Alah bisa
tegal biasa.” Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga dan
kecergasan badan akan bertambah baik. Di samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar
semasa melakukan senaman di taman-taman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau
stress selepas seharian penat bekerja di pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan
kegiatan senaman secara untuk memperoleh kesihatan yang baik.

Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk
mendapatkan kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan hidup
yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif ialah amalan seks
rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta
lain-lainnya. Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup muda-mudi
dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen “Katakan Tak Nak Pada Rokok” giat
dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang
Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-lain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya
mengamalkan cara hidup sihat berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran
itu, beralihlah kepada cara hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen
“Gaya Hidup Sihat” yang diuar-uarkan oleh kerajaan.

Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam
hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik.
Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan
melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan diri
agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi
sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogan, “Rakyat Sihat
Negara Sejahtera”.

Anda mungkin juga menyukai