Anda di halaman 1dari 2

Amalan gaya hidup sihat

Apakah maksud 'Amalan Gaya Hidup Sihat'? Frasa tersebut boleh ditakrifkan sebagai cara
hidup yang mampu mengurangkan risiko mendapat penyakit-penyakit yang akan membawa maut
pada masa akan datang. Menurut kajian pakar-pakar dietetik Malaysia, jumlah rakyat Malaysia
yang mengalami obesiti semakin meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Kandungan
kolesterol dan tekanan darah individu yang mengalami obesiti dan perokok tegar pula dua kali
lebih tinggi berbanding orang kebanyakan. Oleh itu, pendekatan secara drastik perlu diambil bagi
membendung masalah kesihatan di negara ini daripada semakin berleluasa.

Langkah yang perlu diambil bagi merealisasikan gaya hidup sihat adalah dengan
menghindarkan diri daripada gejala-gejala tidak sihat seperti merokok dan penyalahgunaan
dadah. Kajian dari Universiti Cambridge telah membuktikan bahawa perokok menghadapi risiko
untuk mendapat serangan jantung berbanding mereka yang tidak merokok. Penyalahgunaan
dadah pula perlu dicegah kerana perbuatan terkutuk itu akan membawa kepada penyakit-
penyakit seperti HIV dan AIDS. Oleh itu, kita perlu bijak dalam membuat keputusan agar tidak
terjebak dalam gejala-gejala negatif yang bukan sahaja meragut wang ringgit, bahkan meragut
nyawa seseorang.

Amalan gaya hidup sihat lain yang perlu diikuti adalah dengan mengamalkan pemakanan yang
seimbang. Pemilihan makanan yang menepati nisbah piramid makanan perlu dititiberatkan agar
tubuh badan mendapat nutrisi yang mencukupi selain terhindar daripada penyakit. Kita juga
seharusnya perlu mengurangkan pengambilan makanan segera kerana makanan tersebut biasanya
mempunyai kandungan lemak dan kolesterol yang tinggi. Sebaliknya, pengambilan makanan
berkhasiat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan perlu diperbanyak agar mencapai tahap
kesihatan yang lebih baik.

Di samping itu, aktiviti senaman juga perlu dijadikan keutamaan bagi seseorang individu. Hal
ini demikian kerana apabila kita bersenam,tubuh badan kita akan membakar lemak, membuang
toksin dan melancarkan pengaliran darah. Hal ini penting terutamanya bagi pelajar kerana
apabila pengaliran darah menjadi lancar, otak akan lebih mudah menyerap pembelajaran. Jadi,
seseorang perlulah bersenam sekurang-kurangnya setengah jam sehari bagi meningkatkan
kecergasan tubuh da kecerdasan minda.

Selain itu, kita perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi pusat-pusat hiburan seperti kelab
malam dan sarang pelacuran. Hal ini demikian kerana tempat-tempat sebegini akan menjerumus
seseorang ke kancah pengambilan alkohol dan dadah selain hubungan seks rambang. Perbuatan
sebegini juga akan menyebabkan seseorang individu mendapat penyakit HIV dan AIDS.
Sebaiknya, kita boleh mendapat hiburan dengan berekreasi di taman atau melancong bersama
keluarga bagi mengurangkan stres. Apabila kita mengawal tingkah laku dan perbuatan kita
dalam kehidupan seharian, nescaya kita tidak akan terjebak dengan penyakit-penyakit yang
berbahaya.

Intihanya, banyak inisiatif yang dapat diambil oleh seseorang individu dalam mengamalkan
gaya hidup sihat. Kita juga perlu menjaga kesihatan kita dengan sebaik-baiknya kerana jika nasi
sudah menjadi bubur, tidak banyak yang dapat dilakukan dalam menyelamatkan tubuh badan
yang rapuh dirobek penyakit. Oleh itu, kita perlulah bertindak bijak dalam menentukan kesihatan
kita kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Anda mungkin juga menyukai