Anda di halaman 1dari 13

CONTOH KARANGAN SPM

Contoh Karangan Usaha-Usaha Pencegahan Masalah


Obesiti Dalam Kalangan Remaja.

Pendahuluan
Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyatakan bahawa lebih
30 peratus dalam kalangan remaja hari ini menghidapi masalah
obesiti atau berat badan berlebihan. Perkara ini seharusnya
memberi kebimbangan kepada masyarakat umum terutamanya
ibu dan bapa kerana golongan ini terdedah kepada risiko
menghidapi masalah kesihatan, penyakit kronik yang lain.
Antaranya adalah penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan
serangan angin ahmar atau jantung. Justeru, setiap di antara
kita perlu mempunyai kesedaran dan sentiasa berwaspada
supaya tidak tergolong dalam golongan yang mempunyai
masalah obesiti. Masyarakat kita masih mempunyai stigma
bahawa kegemukan atau masalah berat badan bersangkut-paut
dengan genetik dan sebagainya. Namun, kita tidak boleh
berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa tindakan yang
mengancam nyawa diri dan juga orang yang kita sayangi.
Sebelum nasi menjadi bubur, wajar untuk kita bincangkan
usaha-usaha pencegahan masalah obesiti dalam kalangan
remaja.
Isi 1
Prakarsa utama dalam mencegah masalah obesiti dalam
kalangan remaja adalah memastikan mereka mengamalkan
pemakanan yang seimbang. Golongan remaja perlu mendapat
bimbingan daripada ibu dan bapa atau guru di sekolah tentang
cara pemakanan yang betul dan tidak mudah terpengaruh
dengan iklan yang dipromosikan di media. Pemakanan yang
seimbang boleh dirujuk kepada piramid makanan di mana
jumlah nutrisi yang terkandung dalam hidangan adalah penting
dalam menentukan ianya pada kadar yang cukup atau
berlebihan. Ringkasnya, pengambilan makanan yang berlemak
dan tidak berkhasiat tinggi seperti makanan segera serta air
berkarbonat hendaklah dielakkan. Tidak dinafikan bahawa
makanan segera seperti mee segera dan sosej merupakan
kegemaran masyarakat kita namun kita hendaklah mengubah
perkara tersebut demi kesihatan yang lebih bermanfaat. Ibarat
peribahasa Melayu, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih
tidak datang melayang. Tegasnya, dengan mengamalkan
pemakanan secara seimbang, remaja dapat mengelak daripda
masalah obesiti dan penyakit jantung.
Isi 2
Meninjau dari aspek lain, golongan remaja seharusnya
melakukan aktiviti bersenam atau bersukan dengan lebih kerap.
Hal ini demikian kerana generasi muda hari ini lebih gemar
meluangkan masa lapang melayari Internet dan menonton
hiburan di media-media elektronik. Situasi ini harus dibendung
kerana kita sebenarnya mempunyai infrastruktur yang lengkap
dalam gelanggang atau taman rekreasi bagi membolehkan
masyarakat awam bersenam atau bersukan. Golongan remaja
seharusnya mengambil kesempatan yang ada ini dengan mengisi
masa lapang untuk malukan aktiviti riadah seperti bermain
badminton atau futsal di gelanggang yang telah disediakan.
Apabila menjelang dewasa, masa untuk bersukan atau beriadah
sudah semakin terhad kerana kesibukan dalam hal-hal kerjaya
masing-masing. Aktiviti-aktiviti fizikal ini akan membantu kita
untuk membakar kalori atau lemak yang berlebihan serta
merembes sisa-sisa toksik yang tidak diperlukan oleh badan
kita. Malahan penyertaan dalam aktiviti bersenam dan bersukan
memberi pelbagai manfaat lain yang bagus untuk kedua-dua
kesihatan fizikal dan mental serta rohani individu yang
mengamalkannya.
Isi 3
Pada masa yang sama, masalah obesiti kanak-kanak dan dalam
kalangan remaja boleh diatasi dengan cara mengehadkan masa
penggunaan gajet seharian mereka. Tindakan ini merupakan
peranan ibu dan bapa di rumah dalam mengawasi perilaku
anak-anak terhadap penggunaan gajet seperti telefon dan
komputer. Sekiranya masa penggunaan gajet mereka terlalu
lama iaitu lebih daripada tiga hingga lima jam sehari, ia bukan
sahaja akan mengancam kesihatan diri mereka tetapi
memberikan kesan kepada kesihatan mata mereka. Terdapat
sebahagian golongan muda yang terlalu obses dengan permainan
video atau penggunaan gajet sehinggakan mereka tidak aktif dan
lemah secara fizikal. Lebih-lebih lagi yang gemar memakan
makanan ringan di mana kandungan gula dan lemaknya
merupakan faktor utama masalah obesiti serta kerosakan gigi.
Jika ibu dan bapa mampu memberi had waktu penggunaan gajet
kepada anak-anak, mereka pasti dapat meluangkan masa yang
ada dengan perkara berfaedah yang lain serta mendatangkan
kesihatan diri mengelakkan obesiti. Mungkin sukar untuk
mereka mengamalkannya pada permulaan tetapi ia adalah cara
untuk memastikan diri mereka bebas daripada ancaman
penyakit.
Isi 4
Sebagai pelajar berminda kelas pertama, kaedah yang boleh
dilaksanakan bagi membendung masalah obesiti dalam kalangan
remaja adalah dengan melakukan pemeriksaan kesihatan.
Budaya berjumpa dengan pengamal perubatan pada waktu kita
sakit sahaja perlu diubah. Hal ini kerana kebanyakan penyakit
boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal sebelum ia
menjadi kritikal. Maka, golongan remaja seharusnya melakukan
pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik kesihatan yang
berdekatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali. Dengan
berjumpa doktor atau pegawai kesihatan, mereka dapat
memeriksa tahap kesihatan diri kita serta mencadangkan gaya
hidup yang sesuai untuk kita amalkan kerana hanya jauhari
mengenal manikam. Tambahan pula, perkhidmatan kesihatan
awam di negara kita adalah sangat berpatutan dan mudah
untuk dikunjungi. Kesempatan ini seharusnya dimanfaatkan
sepenuhnya oleh setiap ahli masyarakat terutamanya golongan
remaja. Izharnya, bimbingan dan panduan daripada orang yang
pakar dalam bidang yang kita tidak tahu adalah mustahak
supaya kita terhindar daripada perkara yang tidak kita inginkan.
Penutup
Kesimpulan daripada perbincangan di atas adalah pelbagai
usaha yang boleh dilakukan bagi mencegah masalah obesiti
dalam kalangan remaja. Masalah ini seharusnya diberi perhatian
kerana golongan remaja merupakan nusa yang bakal menjadi
pemimpin masa hadapan negara. Justeru itu, setiap pihak
terutamanya ibu, bapa dan rakan-rakan sebaya perlu
berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam memastikan
remaja yang menghidapi masalah obesiti diberi rawatan yang
terbaik. Pihak kerajaan perlu mencari punca obesiti dan
mekanisme terbaik dalam memastikan setiap daripada rakyatnya
mempunyai kesedaran berkaitan kesihatan dan seterusnya
melahirkan generasi yang imun terhadap segala penyakit yang
mampu dicegah. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik
daripada merawat. Dengan kegawatan ekonomi masa kini, kita
tidak seharusnya dibebankan dengan beban kewangan dalam
rawatan kesihatan serta ubat-ubatan yang berpunca daripada
diri kita sendiri. Semoga kesedaran yang holistik dalam
masyarakat konvensional akan timbul dan kesihatan umum
menjadi agenda utama di negara kita dan juga seantero dunia.
Contoh Karangan Faedah-Faedah Mempelajari Seni
Mempertahankan Diri

Pendahuluan
Seni mempertahankan diri adalah satu bentuk gerak badan
secara fizikal yang digunakan untuk melindungi diri daripada
musuh tanpa senjata. Ia telah wujud sejak bertahun lama dan
berbeza mengikut rantau dan elemen budaya serta tradisi
masing-masing. Sebagai contoh, di rantau Asia Tenggara
terdapat seni silat dan muay thai manakala di rantau Asia Timur
terdapat seni teakwondo dan judo. Namun, ledakan teknologi
hari ini telah menyebabkan seni ini semakin dilupakan dan
tenggelam dek ditelan zaman. Walau bagaimanapun, kadar
jenayah yang semakin meningkat dari tahun ke tahun telah
membuatkan sebahagian daripada masyarakat kita sedar dan
mula menghantar anak-anak untuk menyertai kelas seni
mempertahankan diri. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan
faedah-faedah yang mampu diperoleh sekiranya kita mempelajari
seni mempertahankan diri.

Isi 1
Faedah utama yang diperoleh apabila kita mempelajari seni
mempertahankan diri adalah dapat melindungi diri daripada
sebarang ancaman fizikal. Sejak kebelakangan ini, kes-kes
jenayah seperti kes penculikan, ragut dan gangguan seksual
semakin berleluasa serta menjadi tajuk utama di siaran berita
dan dada akhbar. Senario ini telah membuatkan rasa kurang
senang masyarakat kerana ancaman jenayah boleh berlaku pada
sesiapa sahaja dan bila-bila masa. Maka, dengan mempelajari
seni mempertahankan diri, kita dapat mengetahui apakah
langkah yang perlu dilakukan sekiranya berlaku ancaman
terhadap kita. Mentaliti kita juga akan lebih bersedia untuk
membuat keputusan yang betul dan bertindak secara efisien
kerana situasi ini hanya dapat dipelajari sekiranya kita
mempunyai pengetahuan tentang seni mempertahankan diri.
Peribahasa Melayu ada berkata, malang tidak berbau. Justeru,
berbekalkan ilmu seni mempertahankan diri, kita mampu
menjamin keselamatan diri dan juga orang disekeliling kita.

Isi 2
Selain itu, seni mempertahankan diri dapat memberikan
kecergasan fizikal kepada kita. Hal ini demikian kerana, segala
latihan dan pembelajaran melibatkan aktiviti fizikal di mana
kekuatan kita akan ditumpukan kepada pergerakan yang
mampu menewaskan musuh atau ancaman. Tambahan pula, ia
dapat membantu membina ketangkasan koordinasi mata dan
tangan terutamanya dalam golongan kanak-kanak menerusi
pelbagai pergerakan yang dipelajari. Kita juga akan melakukan
aktiviti yang melibatkan kardiovaskular seperti berlari dan
berjoging kerana ia merupakan asas dalam seni
mempertahankan diri. Izharnya, bukan sahaja kekuatan otot
dapat dicapai apabila kita menyertai kelas seni bela diri, ia juga
dapat memberikan kesihatan fizikal yang baik serta memberikan
postur serta berat badan yang ideal sekiranya kita
mempraktikkan atau melakukan latihan secara konsisten.
Dengan pelbagai masalah kesihatan yang membelunggu
masyarakat hari ini, wajar untuk kita mempertimbangkan seni
ini sebagai satu wadah untuk mengelakkan daripada terkena
sebarang penyakit kerana mencegah adalah lebih baik daripada
merawat.
Isi 3
Pada masa yang sama, seni mempertahankan diri dapat
membantu kita untuk meningkatkan disiplin diri. Kita boleh
perhatikan di mana setiap seni bela diri mementingkan kawalan
emosi diri sebelum melakukan apa-apa tindakan. Seperti dalam
kehidupan, kita tidak boleh membuat keputusan yang
melibatkan emosi kerana ia tidak stabil. Sebaliknya, kita perlu
sentiasa bersikap rasional dan realistik dalam membuat apa-apa
keputusan atau tindakan. Nilai ini adalah sangat penting dan
mustahak untuk diajar kepada kanak-kanak dimana apabila
mereka dewasa, mereka akan lebih bersikap matang dan mampu
memberikan hasil yang terbaik. Malahan, seni mempertahankan
diri membantu kita untuk menepati masa dengan lebih baik.
Situasi ini secara langsung dapat membentuk jati diri seseorang
dengan nilai-nilai yang positif dan berguna. Walaupun pada
mulanya sukar untuk sesetengah di antara kita berubah tetapi
dengan semangat yang kuat, kita mampu mengubah diri kita
supaya menjadi lebih baik daripada semalam. Persis kata
peribahasa, alah bisa tegal biasa

Isi 4
Di samping itu, seni mempertahankan diri mampu menjadi
profesion di mana sebilangan besar diantaranya telah diiktiraf
sebagai sukan. Malahan, seni mempertahankan diri seperti
teakwondo, judo dan karate dipertandingkan di peringkat sukan
tertinggi dunia iaitu Sukan Olimpik. Peribahasa Melayu berkata,
kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh
itu, ibu dan bapa digalakkan untuk menghantar anak-anak yang
mungkin berpotensi dan mempunyai bakat terpendam dalam
seni mempertahankan diri. Jika diasah dan dilatih dengan betul,
mereka mampu menjadi atlet dan bertanding di peringkat dunia
seterusnya mengharumkan nama keluarga dan negara. Sebagai
contoh, kita telah pun mempunyai seorang atlet yang bertanding
di peringkat dunia dalam seni pencak silat iaitu Jufferi Jamari.
Beliau juga berjaya mendapatkan pingat emas dalam kategori
pencak silat pada Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Kuala
Lumpur. Kita dapat lihat bahawa seni mempertahankan diri
berpotensi menjadi karier seseorang dan membawa nama negara
ke persada antarabangsa.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak faedah yang akan diperoleh
sekiranya kita mempelajari seni mempertahankan diri.
Masyarakat konvensional harus meluaskan horizon pemikiran
dan mula menghargai seni mempertahankan diri terutamanya
yang berasal daripada negara kita. Ia adalah merupakan warisan
dan tradisi yang tidak ada di tempat lain dan kita merupakan
insan yang bertanggungjawab untuk memelihara dan
memperkasa seni mempertahankan diri yang lahir daripada
nenek dan moyang kita. Alhi masyarakat tidak seharusnya
beranggapan bahawa seni tersebut tidak lagi sesuai dengan arus
pembangunan masa kini dan mengabaikannya. Sebaliknya,
setiap pihak khususnya pihak kerajaan dan sekolah wajar
memperkasa seni mempertahankan diri dalam kalangan
masyarakat hari ini demi mendapat maslahat dan menjadikan
negara Malaysia aman, selamat dan sejahtera.
Contoh Karangan Peranan Ibu Bapa Dalam
Memupuk Sikap Hormat Menghormati

Pendahuluan
Mutakhir ini, generasi muda semakin hari semakin galak untuk
mengekpresi diri mereka terutamanya di dalam sosial media.
Kemajuan sains dan teknologi pada hari ini telah membuka
ruang yang perlu diberikan had dan bimbingan khususnya
dalam kalangan remaja atau kanak-kanak. Kita boleh lihat
dimana guru-guru dilayan seperti rakan sebaya oleh pelajar
hanya kerana mereka tidak meminati subjek atau cara
pengajaran guru tersebut. Situasi ini seharusnya menjadi topik
perbincangn dalam kalangan pemimpin negara, masyarakat dan
ibu bapa kerana pembentukan generasi muda yang saling
menghormati tanpa mengira usia atau latar belakang dapat
direalisasikan. Oleh itu, wajar untuk dihuraikan apakah
sebenarnya peranan ibu bapa memupuk sikap hormat
menghormati dalam kalangan anak-anak

Isi 1
Prakarsa utama dalam perbincangan ini adalah ibu dan bapa
seharusnya menjadi suri tauladan terbaik kepada anak-anak.
Setiap insan yang dilahirkan di dunia ini dianugerahkan ahli
keluarga sebagai makhluk yang paling rapat. Justeru, ibu dan
bapa perlu mengelak menjadi seperti ketam mengajar anak
berjalan kerana sejak mereka kecil sehingga mereka membesar,
insan yang paling rapat dan banyak mereka perhati adalah ibu
dan bapa mereka sendiri. Dalam menjalankan tanggungjawab
yang diamanahkan oleh Tuhan untuk menjaga zuriat yang
dikurniakan, ibu dan bapa hendaklah sentiasa menjaga budi
dan pekerti di rumah atau di mana-mana sahaja. Seperti
peribahasa Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke
nasi. Tegasnya, dalam membentuk generasi muda yang
menunjukkan nilai hormat, ia hendaklah dimulakan oleh ibu
dan bapa mereka sendiri.
Isi 2
Peranan lain ibu dan bapa boleh laksanakan dalam memupuk
sifat hormat dalam anak-anak adalah dengan memberikan
didikan agama dan moral. Jika ditelusuri, setiap agama
menggalakkan kita sebagai manusia untuk melakukan kebaikan
antara satu sama lain. Begitu juga dengan nilai hormat-
menghormati kerana dengan menjaga hubungan yang baik
sesama manusia, pasti hubungan dengan Tuhan juga akan
terjaga. Misalnya, agama Islam menggalakkan kita untuk saling
mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja sebagai permulaan
sebuah perbualan atau ucapan. Ia bukan sahaja sekadar ucapan
tetapi juga doa yang kita berikan kepada mereka yang supaya
sejahtera hendaknya. Tambahan pula, sebagai masyarakat yang
hidup dalam berbilang kaum dan agama, nenek dan moyang kita
telah berjaya menunjukkan sifat hormat-menghormati mampu
menghasilkan negara yang aman sentosa.

Isi 3
Selain itu, kaedah alternatif yang dapat memupuk nilai hormat-
mennghormati adalah dengan membawa anak-anak melawat
saudara-mara. Sebagai medan ujian untuk melihat perangai dan
sikap anak-anak, melawat ahli keluarga atau saudara-mara
adalah cara terbaik. Ibu dan bapa boleh melihat dengan mata
kasar sama ada anak-anak anda mempraktikkan nilai hormat-
menghormati khususnya terhadap mereka yang lebih tua.
Malahan warga tua seperti datuk dan nenek pasti akan
menghargai kunjungan tersebut dan cuba untuk berinteraksi
dengan generasi muda dan menyemai nilai-nilai murni. Secara
tidak langsung, kita juga dapat melihat didikan yang diberikan
oleh ahli keluarga kita yang lain kepada anak-anak mereka.
Ibarat sambil menyelam, minum air. Sekiranya sikap hormat-
menghormati tersebut tidak disemat dalam keluarga atau
saudara-mara anda, lawatan ke rakan-rakan sekerja atau rumah
kebajikan pasti dapat membantu.
Isi 4
Akhir sekali, menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-
royong oleh anak-anak pasti dapat membantu ibu dan bapa
untuk memupuk sikap hormat-menghormati dalam diri mereka.
Hal ini kerana, aktiviti ini memerlukan mereka mendengar
arahan yang diberikan oleh ketua untuk menyelesaikan tugasan.
Situasi sama yang akan berlaku dalam setiap peringkat
kehidupan mereka. Dengan nilai hormat kepada ketua dan juga
sebaliknya, mereka pasti dapat menyelesaikan tugasan yang
diberikan dengan efektif dan berkesan. Interaksi sosial yang
berlaku apabila mereka sertai program kemasyarakatan dapat
menambah pelbagai nilai murni dalam diri mereka agar berguna
untuk masa hadapan. Begitu juga dengan aktiviti kesukanan
yang dapat memupuk sifat hormat dalam diri generasi muda.
Misalnya dalam sukan seperti bola sepak dan badminton dimana
melibatkan dua pasukan yang bertanding untuk mendapatkan
kemenangan. Namun, setiap ahli pasukan perlu saling
menghormati pasukan lawan serta meraikan kemenangan atau
menerima kekalahan dengan hati terbuka kerana ia merupakan
adat pertandingan.
Penutup
Konklusi daripada perbincangan diatas, kita dapat lihat bahawa ibu dan
bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai hormat-
menghormati dalam anak-anak mereka. Obligasi yang perlu ditanggung
oleh ibu dan bapa adalah mustahak bagi melahirkan anggota masyarakat
yang kaya dengan pelbagai budi pekerti. Oleh sebab yang demikian,
tindakan yang wajar perlu dipraktikkan sejak peringkat kanak-kanak
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bagi mencapai kemajuan di
peringkat nasional dan antarabangsa, pembentukan generasi muda yang
berketrampilan tinggi adalah penting supaya setiap cabaran dan rintangan
yang bakal dihadapi oleh negara dapat diselesaikan dengan solusi yang
terbaik. Semoga nilai hormat-menghormati menjadi antara nilai murni yang
selalu diamalkan oleh setiap peringkat umur anggota masyarakat di dalam
negara agar masyarakat dunia memandang tinggi keperibadian negara serta
mencapai kemakmuran bersama.

Anda mungkin juga menyukai