Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN GURU UNTUK MAJLIS RESTU ILMU

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Yang dihormati Tuan/Puan Pengerusi Majlis,
Yang berusaha Tuan Pengetua ......................................,
Puan/Tuan Penolong Kanan Pentadbiran ....................................,
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid ....................................,
Penolong Kanan Kokurikulum ................................,
Guru-guru Kanan,
Guru-guru rakan seperjuangan yang saya hormati,
Seterusnya, anak-anak murid yang dikasihi sekalian.........

Terlebih dahulu izinkan saya memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin-
Nya dapat kita bersama-sama pada hari ini sempena Majlis Restu Ilmu PT3 2019. Saya sebagai
penyelaras kecemerlangan PT3 ingin menitipkan sepatah dua kata buat azimat anak-anak didik saya
sebagai pengubat debaran dan restu ilmu buat kalian murid Tingkatan 3 SMK Dato Onn 2019
sebelum menghadapi peperiksaan bermula 30 September sehingga 8 Oktober.

Anak-anak yang saya sayangi,


Saban tahun Majlis Restu Ilmu ini diadakan sebagai satu majlis yang penting sebelum pelajar-pelajar
Tingkatan 3 masuk berjuang di dalam dewan peperiksaan. Di dalam majlis seperti inilah para pelajar
dapat memohon keberkatan daripada guru dan memohon dihalalkan ilmu yang telah disampaikan
supaya ilmu tersebut dapat diaplikasikan dalam peperiksaan dengan mudah dan berkesan.

Sesungguhnya, sedari kecil kalian diberi kasih sayang dan dijaga oleh kedua-dua ibu bapa sehinggalah
kini kalian sudah berusia 15 tahun dan bakal menduduki peperiksaan PT3 tidak lama lagi. Saya dan
para guru SMK Dato Onn telah mendidik kalian semenjak daripada Tingkatan 1 sehinggalah sekarang
sudah berada di Tingkatan 3. Sebagai guru, kami insan-insan terpilih dan diamanahkan oleh Allah
untuk membimbing, mendidik dan mencurahkan segala ilmu yang dianugerahkan oleh-Nya ini
dengan cuba memberikan yang terbaik dan melakukan seikhlas-ikhlasnya seperti mendidik anak kami
sendiri.

Dalam proses saya dan para guru lain mencurahkan ilmu kepada kalian, ada kalanya kami juga tidak
lari daripada terkhilaf atas kelemahan-kelemahan sendiri sama ada daripada segi emosi dan
ketegangan. Namun, semua ini sebenarnya tidak menjejaskan rasa tanggungjawab kami untuk
menjadikan kalian insan yang berilmu, cemerlang dan terbaik di dunia dan di akhirat.

Anak-anak yang saya kasihi,


Besar harapan sekolah untuk melihat anak-anak berjaya mencipta kejayaan yang gemilang dalam PT3
nanti. Kami berharap agar semua calon PT3 seramai ............ bersedia bukan sahaja dari segi ilmu,
malah persediaan mental, emosi dan fizikal juga sangat penting. Ibu bapa perlu memainkan peranan
memberi sokongan kepada mereka agar terus bermotivasi dan membuat persediaan yang
secukupnya untuk menghadapi peperiksaan ini. Kami sedar, tekanan dan sasaran bukanlah jalan
terbaik untuk memberi kata-kata semangat. Sesungguhnya kami warga SMK Dato Onn sentiasa
mendoakan agar calon-calon PT3 tahun ini dapat menjawab soalan dengan tenang dan akhirnya
memperoleh kejayaan yang cemerlang kelak.

Anak-anak murid sekalian,


Di sini saya ingin menyeru semua calon PT3 2019 memecut ke garisan penamat dengan
melipatgandakan usaha, jangan sampai terkulai keletihan sebelum kaki mencecah garisan kejayaan.
Di waktu inilah kalian memerlukan ketenangan dan kembali fokus untuk terus berusaha. Bak kata
pepatah:

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan


Belakang parang diasah lagikan tajam
Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipis tidak akan datang melayang
Setitis jadikan lautan, sekepal jadikan daratan
Benih yang baik dicampak ke laut menjadi mutiara dicampak ke langit menjadi kejora

Saya berharap agar kalian semua mampu menjadikan pepatah Melayu tersebut sebagai suatu
pegangan dalam memburu kejayaan yang boleh membanggakan semua pihak khususnya para ibu
bapa, para guru dan pihak sekolah. Kejayan kalian adalah kebanggaan kami seluruh warga SMK Dato
Onn. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun;

Kita insan punya keinginan,


tak semudah untuk mendapatkan,
hidup harus punya keyakinan,
terus berusaha memburu kejayaan.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai