Anda di halaman 1dari 2

UCAPAN WAKIL GURU

Terima kasih Tuan/Puan Pengerusi Majlis,


Selamat pagi dan selamat sejahtera.

Yang Diraikan,
Puan Hajah Rusaini binti Ahmad,
Pengetua SMK Tan Sri Mohamed Rahmat,

Yang Berusaha,
Encik Mad Johan bin Jamian,
YDP PIBG SMK Tan Sri Mohamed Rahmat.

Yang Berusaha,
Encik Othman bin Khallil,
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMK Tan Sri Mohamed Rahmat,

Yang Berusaha,
Puan Azizah binti Ahmad Termizi,
Penolong Kanan Kokurikulum, SMK Tan Sri Mohamed Rahmat,

Yang Berusaha,
Puan Norhasibah binti Buang,
Penolong Kanan Petang SMK Tan Sri Mohamed Rahmat,

Barisan guru-guru Kanan bidang, Ahli-ahli JawatanKuasa PIBG SMK Tan Sri Mohamed Rahmat,
Guru-guru SMK Tan Sri Mohamed Rahmat, serta anak-anak pelajar yang dikasihi sekalian.

Di pagi yang berbahagia ini, dapatlah kita bersama-sama meraikan majlis persaraan pengetua yang kita kasihi iaitu
Puan Hajah Rusaini binti Ahmad. Semoga majlis yang bermakna ini akan menjadi memori di hati kita warga SMK Tan
Sri Mohamed Rahmat.

Hadirin yang dimuliakan,


Terlebih dahulu, saya mewakili warga sekolah ini terutama para pendidik, merakamkan rasa terharu dan sudah pasti
untaian kata-kata yang akan saya lontarkan nanti akan meruntun jiwa kita semua kerana perpisahan ini. Suasana
seakan redup seketika dan keindahannya tiba-tiba terasa suram apabila pengetua sekolah kita, Puan Hajah Rusaini
binti Ahmad berlalu meninggalkan sekolah ini.

Walaupun hati masih berat dan seolah-olah tidak mengizinkan, tetapi kami semua reda dengan persaraan Puan
Hajah Rusaini. Persaraan ini merupakan detik paling bahagia untuk beliau setelah berjuang pahit, manis dalam dunia
pendidikan.

Hadirian yang dirahmati,


Kami percaya walaupun amat berat dan menyedihkan dan bukan sedikit air mata yang akan tumpah tetapi
perpisahan sebenarnya mengajar kita erti keikhlasan dan kedewasaan dalam kehidupan. Justeru itu, kita pasti akan
mengenang kembali saat-saat ketika bersama dan tetap akan menjadi satu memoir yang tidak akan dilupakan
sampai bila-bila. Begitu juga halnya dengan keberadaan kita bersama-sama Puan Hajah Rusaini, semuanya akan
terhimpun menjadi sejarah dan terukir jitu dalam sanubari semua warga SMK Tan Sri Mohamed Rahmat.

Hadirin yang dikasihi,


Hari ini, kita semua akan merasa terharu dengan persaraan Puan Hajah Rusaini yang kita sanjungi dan cintai. Beliau
bukan sahaja seorang pegetua, malahan pemimpin dalam keluarga besar SMK Tan Sri Mohamed Rahmat. Beliau juga
menjadi ibu yang menjadi tonggak peneraju kepada kita semua ke arah kecemerlangan. Berat sungguh bagi kami
semua untuk melepaskan Puan Hajah Rusaini.
Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun,
Kasihnya puan kami terima,
Sebagai hutang seribu tahun.

Hadirin yang dikasihi,


Sepanjang tempoh perkhidmatan Puan Hajah Rusaini di sekolah ini, beliau telah banyak menyumbangkan jasa
terhadap kemajuan, perkembangan dan pembangunan sekolah, sama ada dari segi akademik, kokurikulum,
keceriaan dan pembinaan modal insan. Beliau seorang yang mementingkan pendidikan dan sentiasa memikirkan
hala tuju sekolah ini. Dengan berbekalkan ilmu yang ada beliau tidak lokek dengan ilmu pengetahuan, malah segala
pendapat dan pandangan kami sentiasa akan diperhalusi dan diterima dengan hati yang terbuka. Jalan penyelesaian
sentiasa ada terhadap masalah yang kami hadapi di sekolah ini. Beliau juga sentiasa membentuk elemen keceriaan
dan sentiasa memastikan prasarana di sekolah ini lengkap supaya pdpr berjalan lancar.

Hadirin yang dirahmati,


Sekolah ini amat bertuah atas kepimpianan Puan Hajah Rusaini. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.
Selama menerajui sekolah ini, bolehlah saya simpulkan beliau sebagai tokoh yang sangat berwibawa dalam
kepimpinan. Kami sebagai warga SMK Tan Sri Mohamed Rahmat amat berbangga menerima kepimpinan beliau.
Walaupun beliau akan bersara tetapi ketokohan, kecemerlangan dan dedikasi beliau telah memberi suntikan
semangat kepada kami dalam meneruskan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Puan Hajah Rusaini juga sangat
mesra dan mengambil berat akan kebajikan para pelajar. Sikap dedikasi, berpegang teguh kepada prinsip dan tugas
menjadikan Puan Hajah Rusaini seorang idola kepada kami semua.

Burung kedidi di sambar helang,


Bawa naik ke pohon tinggi,
Budi puan mana nak hilang,
Sudah mesra di dalam hati.

Hadirin yang dimuliakan,


Kini warga SMK Tan Sri Mohamed Rahmat kehilangan pengetua yang berwibawa dan berkarisma. Kehilangan ini
pasti akan dirasai. Patah tumbuh hilang berganti, namun yang hilang akan tetap abadi dalam memori dan yang
tumbuh mengantiknanya pula diharapkan dapat meneruskan legasi SMK Tan Sri Mohamed Rahmat.

Hadirin yang berbahagia,


Kita semua pastinya nanti akan merindui gelak tawa dan senyuman manis Puan Hajah Rusaini ini di sekolah. Pada
kesempatan ini, saya bagi pihak semua warga SMK Tan Sri Mohamed Rahmat merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Puan Hajah Rusaini atas sumbangan dan komitmen
sepanjang tempoh perkhidmatan di sekolah ini. Kami berdoa semoga Tuhan akan melimpahkan rahmat kepada
beliau, dipanjangkan usia, diberikan kesihatan tubuh badan dan dipermudahkan segala urusan pada setiap masa.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya memberikan serangkap pantun sebagai penutup ucapan.

Berdayung sampan ke tanah semenanjung,


Hendak membeli tikarlah rotan,
Budi dikenang bakti disanjung,
Kekal subur dalam ingatan.

Selamat bersara Puan Hajah Rusaini binti Ahmad daripada kami semua warga SMK Tan Sri Mohamed Rahmat.
Sekian,terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai