Anda di halaman 1dari 2

Teks Ucapan Perasmian Majlis Permana Citra – YDP PIBG

Assalamualaikum. Yang Berusaha Tuan Haji Kamarudin bin Kudong, Pengetua SMK
Tuanku Abdul Rahman, yang dihormati Pn. Fatimah binti Resat, Penolong Kanan Pentadbiran,
Pn. Suria binti Musa, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Pn. Mimi Linda binti Isa, Penolong
Kanan Kokurikulum, barisan Guru Kanan Mata Pelajaran, guru-guru serta murid-murid yang
dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan kurnia-Nya maka
dapatlah kita semua berhimpun pada pagi ini untuk menjayakan Majlis Permana Citra SMK
Tuanku Abdul Rahman Tahun 2022. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga
sekolah terutamanya kepada barisan pentadbir sekolah yang berjaya menganjurkan program
ini. Terima kasih juga atas kesudian mengundang saya bagi sama-sama memeriahkan program
pada pagi ini.

Tuan-tuan dan puan-puan warga sekolah sekalian,

Dalam proses membentuk generasi yang bakal memegang tampuk pemerintahan


negara pada masa depan, aspek keseimbangan amat dititikberatkan. Di samping
kecemerlangan dalam bidang akademik, kecemerlangan dari sudut kokurikulum dan sahsiah
juga amat penting. Dalam hal ini, peranan golongan pendidik amatlah penting bagi memastikan
semua aspek ini dapat diterapkan di sekolah. Daripada perspektif kokurikulum, penglibatan
murid-murid secara aktif dalam setiap aktiviti kokurikulum akan memberi kesan yang cukup
dominan terhadap mereka.

Salah satu kepentingan utama bidang kokurikulum ialah dapat memupuk ukhwah atau
persahabatan dalam kalangan murid yang seterusnya dapat diterjemahkan kepada semangat
muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Melalui aktiviti yang dianjurkankan sama
ada di dalam atau di luar sekolah, sudah pastinya sesuatu program itu tidak hanya disertai oleh
sesuatu kaum sahaja. Maka, dalam kesempatan itulah murid-murid berpeluang berkomunikasi
dengan murid lain yang berbilang bangsa. Mereka boleh saling membantu dan bertukar-tukar
pandangan. Kesannya, murid-murid dapat mempelajari erti persahabatan sebenar yang
berupaya memperkukuh perpaduan nasional.

Dalam kesempatan ini, saya menyeru kepada semua murid agar tidak memandang
ringan akan kepentingan aktiviti yang dianjurkan. Rebutlah peluang yang ada walaupun anda
mungkin terpaksa mengorbankan sedikit masa dan keselesaan kerana kejayaan sedang menanti
anda pada masa hadapan. Kepada guru-guru, teruskanlah usaha murni untuk mendidik anak-
anak bangsayang menjadi aset penting kita semua pada masa hadapan. Semoga segala daya
dan usaha yang telah kita semua curahkan ini akan mendatangkan kebaikan kepada kita semua.
Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya merasmikan Hari Augerah Permana Citra
SMK Tuanku Abdul Rahman Tahun 2022.

Anda mungkin juga menyukai