Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PEGAWAI PERHUBUNGAN SEKOLAH (PPS) SMK ELOPURA 2

SEMPENA PROGRAM JOM KEMBALI KE SEKOLAH

Terima kasih diucapkan kepada pengacara majlis,


Yang Berusaha,
En. Anwar Madsalani selaku Pengetua SMK Elopura 2,
Yang Dihormati,
Encik Raedzan Dandan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Elopura 2,
Puan Noormah Pannuh, Penolong Kanan Pentadbiran,
Encik Sim Chee Vui, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Puan Azhariah binti Taman, Penolong kanan Kokurikulum,
Barisan ketua bidang, guru cemerlang, guru-guru dan
Yang Dikasihi,
Semua murid SMK Elopura 2.
Salam sejahtera dan salam perpaduan saya ucapkan.

Terlebih dahulu, sebelum saya meneruskan ucapan pada hari ini, dengan berbesar hati saya
mengucapkan selamat datang kepada murid-murid tingkatan 1 dan selamat kembali ke sekolah bagi
murid-murid tingkatan yang lain. Semoga kejayaan yang diimpikan akan tercapai dan menjadikan
kecemerlangan akademik serta sahsiah menjadi azam baharu dalam diri semua murid SMK Elopura 2.

Anak murid sekalian,

Kita sedia maklum bahawa disiplin merupakan asas kecemerlangan individu. Ini kerana disiplin
merupakan satu latihan pemikiran dan kelakuan supaya seseorang individu dapat mengawal diri dan
patuh pada peraturan atau tatatertib yang telah ditetapkan. Tambahan pula, disiplin boleh dipupuk oleh
diri murid itu sendiri. Murid yang bijak akan melihat disiplin sebagai satu peraturan yang dibuat supaya
kehidupan menjadi lebih mudah dan tersusun. Lama-kelamaan, murid akan menyedari bahawa kejayaan
dalam hidup banyak bergantung kepada kemampuan diri mereka untuk mematuhi peraturan yang ada di
dunia ini. Sesungguhnya, kejayaan akan mudah dikecapi jika kita berpegang pada disiplin dalam
kehidupan.

Hadirin sekalian,

Kita lihat punca berlakunya salah laku disiplin dalam kalangan murid masa ini. Seiiring dengan
peredaran zaman, teknologi membawa impak yang besar dalam kehidupan. Remaja mudah terpengaruh
dengan teknologi akan terleka dan terjebak dengan masalah disiplin yang sering terpampang di media
sosial melalui tayangan video dan gambar . Selain daripada itu, kawasan persekitaran tempat tinggal
murid yang tidak kondusif untuk pembesaran dan perkembangan diri memainkan peranan yang penting
dalam pertumbuhan peribadi seseorang murid tersebut. Persekitaran yang sihat melahirkan individu
masyarakat yang baik manakala persekitaran yang rosak melahirkan individu masyarakat dengan
pelbagai masalah. Perkara ini menjadi penyebab peningkatan kes salah laku disiplin dalam kalangan
murid di sekolah.

Para murid sekalian,

Berdasarkan statistik oleh Jabatan Pendidikan Negeri  Selangor, ponteng dikenal pasti sebagai
antara lima masalah  disiplin utama yang paling banyak dilakukan murid sekolah, diikuti tingkah laku
jenayah, buli, kesalahan vandalisme dan tingkah laku lucah. Kita sedia maklum bahawa salah laku
ponteng menyebabkan pembaziran masa dan tenaga. Kesan yang dihadapi jika murid ponteng sekolah
terutamanya adalah masa dan tenaga akan dirugikan kerana masa yang dibazirkan tidak akan dapat
dipulangkan ataupun dikembalikan.

Seterusnya, tabiat ponteng sekolah dalam kalangan pelajar dapat menyumbang kepada
peningkatan statistik jenayah di Malaysia. Sememangnya kita sudah sedia maklum, darah muda remaja
yang membuak-buak dan ingin mencuba sesuatu baru. Ketiadaan pemikiran kritis dalam kalangan murid
itelah menjerumuskan mereka ke lurah kesesatan yang juga memberikan impak amat teruk terhadap
pelbagai pihak. Pelajar yang sering mengamalkan tabiat ponteng sekolah sering melakukan tabiat yang
negatif. Contohnya, melepak, menagih dadah, menjadi pelesit kota dan lumba haram.

Hadirin sekalian,

Ingatlah sesungguhnya, pilihan yang dibuat hari ini akan menentukan hala tuju kita pada hari
esok. Jika kita membuat pilihan yang baik maka hasilnya akan menjamin masa depan yang cemerlang.
Tetapi, apabila kita salah membuat pilihan berkemungkinan kita akan berhadapan dengan impak yang
negatif, sehingga boleh merosakkan diri sendiri dan masa depan kita.Kita perlu memilih untuk cemerlang
dalam semua bidang yang diceburi seperti bidang sukan, bidang kerjaya mahupun bidang
kemasyarakatan. Kita hendaklah memilih perkara-perkara yang mampu membawa kebaikan kepada diri,
keluarga, agama dan negara. Dengan kata lain, murid perlu memilih gaya hidup yang bebas daripada
terjebak dengan kes disiplin sekolah.

Ingatlah disiplin membentuk jati diri,bisa mengubah impian menjadi realiti. Sekian, terima kasih
daripada saya..

Anda mungkin juga menyukai