Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN PENGETUA

TEKS UCAPAN PENGETUA SEMPENA MAJLIS


ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM 2017

29 SEPTEMBER 2017

Terima kasih saudara/saudari pengerusi majlis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Yang dihormati Datin Hjh. Nor Haliza binti Hussain, Pengasas dan Penasihat Haliza
Industries Sdn. Bhd

Penolong-penolong kanan,

Guru-guru Kanan Bidang,

Guru-guru,

Yang diraikan para penerima hadiah serta murid-murid yang dikasihi,

Senja gemilang bayu berpuput,

Gugur kenanga di celah jerami,

Besarlah hati kami menyambut,

Tuan Bertamu ke sekolah kami.

Tanah serendah taman larangan,

Nampak gemilang dari Lingga,

Syabas dan tahniah kami ucapkan,

Anda cemerlang kami berbangga.

36
1. Alhamdulillah, setinggi ucapan kesyukuran saya rafakkan kehadrat Allah SWT
kerana pada hari ini kita dapat berkumpul bersama-sama bagi memberi
pengiktirafan kepada murid-murid yang memperoleh tahap pencapaian yang
cemerlang khususnya dalam bidang kokurikulum sepanjang tahun 2017. Ucapan
ribuan terima kasih saya rakamkan khusus kepada tetamu kehormat Datin Hjh.
Nor Haliza binti Hussain, atas kesudian datin hadir dan seterusnya merasmikan
Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum 2017 pada hari ini.

Hadirin sekalian,

2. Dalam konteks pendidikan, kokurikulum di sekolah telah menjadi sebahagian


daripada sistem pendidikan di Malaysia ketika ini. Ianya telah menjadi satu
kegiatan yang diwajibkan kepada setiap murid di semua sekolah menengah dan
rendah. Aktiviti kokurikulum dianggap penting sebagai alat untuk memenuhi
hasrat unggul Falsafah Pendidikan Negara dalam usaha melahirkan pelajar yang
seimbang dalam aspek rohani, jasmani, emosi dan intelek. Oleh itu, bidang
kokurikulum dapat menyumbang untuk melahirkan pelajar yang seimbang dalam
semua segi tersebut.

3. Sehubungan dengan itu, kegiatan kokurikulum dianggap sangat berkesan untuk


memupuk keseimbangan dalam perkembangan mental, rohani, jasmani dan
sosial murid. Aktiviti-aktiviti kokurikulum memberi hala tuju kepada murid supaya
menceburkan diri dalam kegiatan yang berfaedah. Kegiatan kokurikulum juga
dapat mengukuhkan interaksi antara murid dan sekali gus memupuk integrasi
antara kaum di samping memupuk kesopanan, berdikari, kerajinan, berdisiplin
dan patuh kepada undang-undang yang boleh membentuk murid supaya
menjadi warganegara yang berguna. Berikutan penceburan dalam kegiatan ini
diharapkan dengan kemahiran-kemahiran yang dipelajari melalui aktiviti-aktiviti
tersebut boleh memupuk gaya hidup sihat.

Yang Berbahagia tetamu kehormat dan hadirin sekalian,

4. Izinkan saya membuat laporan ringkas berkaitan prestasi kokurikulum SMT TAR
Putra bagi tahun 2017. Bagi pasukan inovasi sekolah, mereka telah berjaya
meraih dua pingat perak di peringkat antarabangsa dalam pertandingan
International Eureka Innovation Exhibition (EIE).

5. Pasukan Inovasi juga telah meraih kemenangan di peringkat kebangsaan iaitu


meraih 1 Feasible Award dalam Pertandingan Projek Beyond Engineering
Innovation Challenge (Begin) , Universiti Malaya.

6. Pingat perak dalam National Innovation and Invention Competition Through


Exhibition(ICompEx17)

37
7. Pingat Emas dalam Sirim Invention, Innovation and Technology Expo
(SI2TE2017), AMREC Complex, SIRIM Berhad, Kulim , Kedah

8. Dalam bidang sukan pula, pasukan Bola Tampar Perempuan, pasukan Bola
Jaring dan ragbi telah meraih tempat pertama dalam kejohanan VOKTEK Zon
Pulau Pinang dan telah mewakili Zon Pulau Pinang ke Kejohanan VOKTEK
peringkat Kebangsaan yang telah berlangsung di UITM Seri Iskandar, Ipoh,
Perak.

9. Selain itu, pasukan bola tampar lelaki, telah meraih tempat ketiga dalam
kejohanan VOKTEK Zon Pulau Pinang.

10. Pasukan Softbal juga telah meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Sofbal (L)
MSSPP 2017.

11. Pasukan olahraga sekolah juga telah mengharumkan nama sekolah dalam
Kejohanan Olahraga MSSPP Peringkat Negeri yang berjaya merangkul tempat
keempat dalam acara 10 000m jalan kaki.

12. Di samping itu, pasukan hoki juga telah meraih tempat ketiga dalam Kejohanan
Hoki (L) MSSPP Peringkat Negeri.

13. Pelbagai kejayaan juga diperoleh dalam bidang sukan dan permainan di
peringkat zon, antaranya Johan Perlawanan Bola Jaring MSSPP Zon Air Itam,
naib johan Pertandingan Bola Baling (Perempuan) MSSPP Zon Air Itam, tempat
ketiga dalam Pertandingan Bola Baling (lelaki) MSSPP Zon Air Itam.

14. Selain itu, pasukan olahraga juga telah memperoleh pelbagai kemenangan
dalam Kejohanan Olahraga MSSPP Peringkat Zon 2017 antaranya memperoleh
pingat emas dalam acara merejam lembing, pingat perak dalam empat acara
iaitu acara lompat tinggi, lompat jauh, melempar cakera dan 200m serta empat
pingat gangsa dalam acara melontar peluru, melempar cakera, lompat kijang dan
lompat tinggi.

15. Selain itu, pencapaian SMT TAR Putra dalam pasukan unit uniform juga tidak
kurang hebatnya. Pasukan Kadet Pertahanan Awam telah mendapat tempat
pertama dalam Persembahan Teater Musikal sempena Perkhemahan Bersepadu
Badan Beruniform KV/SMT Peringkat Zon Pulau Pinang. Pelbagai penglibatan
juga telah disertai oleh pasukan unit uniform lain sama ada diperingkat daerah,
negeri dan kebangsaan.

16. Seterusnya, pelbagai kejayaan juga telah diraih oleh kelab dan persatuan seperti
kejayaan Kelab Setia yang telah mendapat Johan dalam Pertandingan Sketsa
Rukun Negara 1 Malaysia peringkat daerah Timur Laut dan tempat ketiga dalam
Pertandingan Sketsa Rukun Negara 1 Malaysia Peringkat Negeri.

38
17. Kelab Fotografi pula telah mendapat tempat pertama dalam kategori Penulisan
Berita bersempena dengan Kursus Kadet Wartawan Bersama Sidang Redaksi
Sekolah.

Hadirin sekalian,

18. Begitulah serba ringkas laporan pencapaian kokurikulum SMT TAR Putra bagi
tahun 2017. Terdapat banyak lagi kemenangan di peringkat daerah, zon dan
sekolah yang tidak dapat diperincikan pada hari ini. Sebentar nanti kita akan
bersama-sama saksikan murid-murid dan guru penasihat yang akan menerima
anugerah masing-masing sebagai tanda penghargaan pihak sekolah terhadap
sumbangan yang telah diberikan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua
penerima, semoga dengan pengiktirafan ini akan memberikan suntikan
semangat kepada seluruh warga SMT TAR Putra di persada antarabangsa.

19. Di kesempatan ini juga, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada Datin Hjh. Nor Haliza binti Hussain kerana sudi meluangkan masa untuk
bersama-sama kita pada hari ini. Terima kasih juga diucapkan kepada
jawatankuasa majlis yang diketuai oleh Penolong Kanan Kokurikulum Puan Lai
Yit Peng yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pada hari ini.

Madah diungkap santun batara,


Pantun dilantun mengusik hati,
Salah dan silap tutur bicara,
Pohon diampun seikhlas hati.

Buai laju-laju,
Sampai pokok sena,
SMT TAR Putra boleh maju,
Hingga teraju dunia.

Sekian, terima kasih.

39

Anda mungkin juga menyukai