Anda di halaman 1dari 2

Teks Taklimat Program Mesra Pokok Sena

Guru-guru Pelatih IPGKDA

Bismillahirrahmaanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa,
Terima kasih kepada pengacara majlis. Yang Berusaha, Tuan Guru
Besar Sekolah Kebangsaan Pokok Sena, Tuan Haji Mohd Sobri Bin Haji
Khamis, Yang dihormati, Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Mohd Fauzey
Bin Abu Bakar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Harmizi Bin
Mohamed, Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Rujhan Bin Omar, Penolong
Kanan Pendidikan Khas, Encik Azizi Bin Samsudin, para pendidik serta
murid-murid SK Pokok Sena yang dikasihi sekalian.
Para hadirin yang dihormati,
Terlebih dahulu saya mewakili rakan-rakan guru pelatih dari Institut
Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra ingin merakamkan ucapan
terima kasih kepada pihak pentadbiran serta warga Sekolah Kebangsaan
Pokok Sena kerana berbesar hati menerima kehadiran kami di sini bagi
memenuhi keperluan internship selama sebulan iaitu dari 28 September
2015 hingga 23 Oktober 2015. Bagi memenuhi keperluan internship ini
kami telah melakukan perbincangan bersama-sama dengan Panitia
Pendidikan Islam serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Pokok
Sena bagi melaksanakan Program Mesra Pokok Sena yang melibatkan
warga SK Pokok Sena.
Bagi pengetahuan hadirin sekalian, Program Mesra Pokok Sena ini
merangkumi beberapa aktiviti yang menarik seperti Imam Cilik, Bilal
Ohsem, Bowl A Strike, Bina Insan, Sukaneka Riang Ria, Survival Day dan
Projek Go Green.
Imam Cilik merupakan sebuah program latihan dan bengkel
pemantapan imam yang diadakan untuk memberi pendedahan kepada
murid-murid tentang konsep imam dan makmum serta melatih murid
supaya dapat memimpin jemaah di dalam solat. Program ini disasarkan
untuk murid Tahun 4, 5 dan 6 yang akan berlangsung pada 15 Oktober
2015 bertempat di Surau SK Pokok Sena.
Bilal Ohsem pula adalah sebuah program latihan dan bengkel
pemantapan bilal yang diadakan untuk memberi pendedahan kepada

murid-murid tentang konsep bilal serta melatih murid supaya dapat


menjalankan tanggungjawab sebagai bilal untuk melaungkan azan dan
iqamah. Program ini menyasarkan penyertaan oleh murid dari Tahun 4, 5,
dan 6 yang akan berlangsung pada 13 Oktober 2015 di Surau SK Pokok
Sena.
Selain itu, program Survival Day yang berbentuk pertandingan turut
dirancang pada 15 Oktober 2015 untuk murid Tahun 6 berdasarkan
konsep Explore Race. Pertandingan ini adalah berasaskan penyelesaian
misi yang mencabar minda dan kreativiti setiap murid.
SK Pokok Sena turut menyokong usaha sama Majlis Perbandaran
Seberang Perai dalam kempen kitar semula yang bertemakan Sekolah
Hijau (Go Green) dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti berkebun
serta projek seperti lukisan mural bertujuan bagi mendidik murid-murid
tentang kepentingan penjagaan alam sekitar.
Seterusnya ialah beberapa program yang melibatkan murid PPKI.
Pertama ialah program Bowl A Strike iaitu pertandingan Boling Terbuka
antara murid-murid PPKI yang diadakan pada 8 Oktober 2015 bertujuan
bagi mendedahkan murid kepada persekitaran luar dalam aktiviti
sosialisasi mereka.
Kedua ialah program Bina Insan iaitu melibatkan aktiviti seperti
memanah, akademi golf dan sebagainya bertempat di The Carnival,
Sungai Petani. Hal ini bertujuan meningkatkan keyakinan diri murid-murid
PPKI itu sendiri dalam kehidupan seharian mereka. Manakala aktiviti
ketiga ialah Sukaneka Riang Ria yang bertempat di The Carnival, Sungai
Petani serta melibatkan pertandingan seperti Treasure Hunt, Mencari
Harta Karun dan sebagainya bertujuan memupuk nilai murni dalam diri
murid-murid PPKI. Kedua-dua program ini akan dilaksanakan pada 13
Oktober 2015.
Tidak dilupakan, sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan
juga ucapan terima kasih kepada rakan-rakan guru pelatih dan Panitia
Pendidikan Islam serta PPKI yang terlibat dalam program ini kerana telah
banyak membantu dan bertungkus-lumus bagi memastikan Program
Mesra Pokok Sena ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Semoga
penganjuran program seumpama ini akan merapatkan lagi ukhuwah dan
hubungan silaturrahim dalam kalangan warga SK Pokok Sena yang
dikasihi sekalian.
Sekian,
WabillahiTaufiq
Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Walhidayah

Wassalamualaikum

Anda mungkin juga menyukai