Anda di halaman 1dari 7

Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia, Salam Kedah Aman

Makmur.....

Terima kasih Pengacara Majlis.

Yang Berusaha Tuan Haji Jaafar B. Ahmad, Guru Besar SK Taman Hi-
Tech, Sekolah Kluster Kecemerlangan.
Yang Dihormati Encik Zulkifli Bin Yaacob, Yang Dipertua PIBG SK
Taman Hi-Tech, Datuk Azizan Bin Mat, Naib YDP PIBG SK Taman Hi-
Tech.
En. Khasimee Bin Mohamad , Pegawai Fasilinus PPD Kulim Bandar
Baharu ,
dan Guru Besar-Guru Besar, Pengetua-pengetua dan wakil, AJK PIBG SK
Taman Hi-Tech, Ibu bapa / Waris Pelajar , guru-guru, para pelajar dan
hadirin yang dikasihi sekalian.

Beras kunyit saya taburi,


Air mawar direnjis wangi.
Berkembang kasih menabur budi,
Undangan tuan amat disanjungi.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana


sudi menjemput saya untuk merasmikan Majlis Julang Bestari, bagi tahun
2017. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak
sekolah yang berjaya mengadakan program ini sebagai satu program
tahunan demi kepentingan para pelajar. Walau apa pun nama yang diberi
untuk majlis seperti ini, yang pasti Majlis Julang Bestari merupakan satu
majlis khas untuk meraikan pelajar-pelajar yang telah membuktikan
kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Syabas dan tahniah saya
ucapkan kepada pelajar-pelajar cemerlang sekolah ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan
jelas daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke
sini untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi
modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Hal ini selari dengan salah
satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses
kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks ini,
NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh
dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan
negara. Kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan
pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi
yang berterusan.

Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta


bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring
dengan peredaran zaman. Lantaran Kementerian Pendidikan telah
memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sejak tujuh tahun
yang lalu sebagai kayu ukur kompetensi para pelajar. Dengan kata lain,
kita perlu melahirkan para pelajar yang cemerlang dan kompeten iaitu
mencapai standard kualiti untuk merealisasikan aspirasi dan agenda
negara.

Hadirin sekalian,
Cendekiawan ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa
usaha sepahit hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk
menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar
pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan
keperluan abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa
dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula
jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha
secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu
dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang
kepada kejayaan anak-anak. Seyogianya, ibu bapa menitikberatkan soal
pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di
rumah.

Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau
bermuhasabah, apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan
tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak sekolah semata-mata. Ibu
bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan
apabila murid-murid balik ke rumah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Mahatma Gandhi ada menyatakan bahawa kepuasan terletak pada


usaha, bukannya kejayaan. Maka kepimpinan institusi pendidikan seperti
Sekolah Kebangsaan Taman Hi-Tech perlu memacu penghasilan daya
kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara
berterusan. Bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu, para pengajar
perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan
pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan para pelajar untuk
berfikir secara kreatif dan inovatif terutama para pelajar di SK Taman Hi-
Tech ini. Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang
penghasilan pendidikan (factory model of producing education) kepada
model penciptaan pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan
minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil
keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman
penaakulan (reasoning) para pelajar. Ertinya, orientasi pengajaran dan
pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan
(rote learning) kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal
(mind stimulating learning).

Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa Beriman dan beramal


sumbernya ialah ilmu. Ilmu diperoleh dengan belajar. Tiada ertinya
iman kalau tiada amal dan tiada erti amal kalau tiada keikhlasan
Oleh itu, para pendidik perlu sedar orang ramai terutama ibu bapa sentiasa
mengukur pencapaian berdasarkan standard kualiti yang telah dijanjikan.
Para pendidik jangan cepat berasa puas dengan pencapaian pada hari ini.
Seorang pendidik mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti
perkhidmatan agar perkhidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada
perkhidmatan yang lain. Seperti yang kita semua sedia maklum, para
pelajar merupakan tiang negara dan bakal pemimpin negara
kerana Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jadi
pengasuhan, bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari
peringkat awal lagi adalah amat penting. Pencapaian mereka dari segi
akademik sahaja tidak memadai. Malahan pembangunan dan
perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga adalah perlu
diberi perhatian yang sama berat.
Saya percaya sambutan Majlis Julang Bestari pada hari ini adalah selari
dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar agar
terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.
Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-
masa akan datang bukan sahaja untuk pelajar yang cemerlang tetapi juga
yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan


tahniah kepada para pelajar yang akan menerima hadiah nanti atas
pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut
tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-
bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar kita telah
mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh
selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada
masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan.
Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang
menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi
dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, kita harus mempunyai


sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa.Berpeganglah pada
prinsip alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal
lengan. Saya percaya para pelajar yang mendapat anugerah pada hari ini
merupakan mereka yang rajin berusaha dan konsisten dalam usaha.
Mereka yang cemerlang ini biasanya rajin pada tiap-tiap hari dan bukannya
rajin menjelang peperiksaan semata-mata atau rajin mengikut musim..
Tuan-tuan dan puan-puan yang hormati sekalian,

Ibnu Rusyd, seorang tokoh ilmuwan Islam pernah menukilkan antara


lainnya bermaksud, "Kepuasan yang sejati lahir daripada keabadian
bersama". Dalam hal ini, semua pihak semestinya berganding bahu dan
mengatur langkah sederap berusaha untuk merealisasikannya. Hasil
gabungan kerjasama mantap yang terjalin, satu jaringan kecemerlangan
akademik yang tinggi mampu digapai. Kita perlu menjadikan hubungan
antara warga sekolah dan ibu bapa sebagai hubungan yang berasaskan
rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa
menyokong antara satu sama lain,bak kata peribahasa seperti aur
dengan tebing.
Pemimpin dan barisan tenaga pengajar sekolah ini boleh bertukar ganti;
boleh datang dan pergi, namun organisasi mesti dipertahankan walau
sesiapa pun yang menerajui dan memacunya. Ingatlah, kecemerlangan
yang ingin kita capai tidak boleh ditolak-ansurkan. Semua pihak
termasuk ibu bapa dan pelajar patut memberi sokongan padu kepada
pihak pentadbir sekolah jika semua mimpi indah tentang kecemerlangan
ingin direalisasikan.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan


tahniah dan syabas kepada pihak SK Taman Hi-Tech kerana berjaya
menganjurkan Majlis Julang Bestari kali ke-15 tahun 2017.
Sebelum saya berundur diri, saya juga ingin menarik perhatian hadirin
sekalian pada gurindam ini;

Jika murid mendengar kata


Tidak guru berkata cela
Jika ibu bapa bekerjasama
Tidaklah anak berdukacita

Jika kita seia sekata


Tiada timbul sengketa

Jika seiring kita berusaha


Pasti semua akan berjaya

Digerak oleh iltizam mencapai kecemerlangan, saya dengan


lafaz Bismillahhirrahmannirahim (Dengan nama Allah yang Maha
pemurah lagi Penyayang) MERASMIKAN, Majlis Julang Bestari, tahun
2017.

Anda mungkin juga menyukai