Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN PERASMIAN

SEMPENA PROGRAM IHYA RAMADHAN 2022

Terima kasih diucapkan kepada pengerusi majlis.

Yang berusaha Cik Noor Alydza bt Ramlan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
En. Ahmad Amzan bin Ishak Penolong Kanan kokurikulum,

Yang dikasihi ketua-ketua bidang, barisan guru-guru, serta para pelajar yang
dirahmati Allah sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat ilahi kerana dengan izinNya, kita masih
lagi diberi peluang meneruskan tugas sebagai hamba Allah untuk melaksanakan
amalan kebaikan dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Semoga dengan apa
yang dilaksanakan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini akan mendapat
keberkatan dan keredaanNya. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah hadiah
daripada Allah yang sangat istimewa buat kita. Sesungguhnya bulan rahmat ini
membawa satu perasaan dan jiwa baru buat hamba yang menagih rahmat dan
keampunan daripada Allah. Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W :“ Sesiapa
yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta
mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah
lepas.”

Hadirin dan hadirat sekalian

Seperti kebiasaan, apabila masuknya Ramadhan Unit Dakwah dan Kerohanian


akan mengadakan satu program khusus untuk meraikan kedatangan tetamu yang
mulia ini, yang dinamakan program Ihya Ramadan. Ihya Ramadhan membawa
maksud “menghidupkan Ramadan”. Objektif program ini adalah untuk
memberi kesedaran kepada warga SMK Taman Kosas bagi menghidupkan
setiap detik yang sangat berharga di bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Selain itu, program ini juga bertujuan menggalakkan warga sekolah supaya
merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat sepanjang bulan
Ramadan secara istiqamah. Disamping itu, diharapkan kita juga dapat
mengekalkan prestasi kerja dan pembelajaran walaupun sedang menjalani
ibadah puasa. Mudah-mudahan segala pekerjaan kita dibulan mulia ini diterima
sebagai ibadah dan diberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah.

Jadikan Ramadan pada kali ini Ramadan yang lebih berkualiti dari yang
sebelumnya agar kita mencapai tahap “Mardhatillah”. Gunakanlah peluang
yang ada ini untuk meningkatkan amalan seperti bertadarus, bersedekah,
qiyamullail dan sebagainya. Amatlah rugi sekiranya Ramadan yang mempunyai
banyak kelebihan kita sia -siakan dengan melakukan perkara yang tidak
berfaedah atau hanya berehat sahaja.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Unit
Dakwah dan Kerohanian, dibawah Panitia Pendidikan Islam SMK Taman
Kosas, yang menjadi nadi kepada setiap aktiviti yang akan dijalankan sepanjang
Ramadan dan sentiasa memberi komitmen yang terbaik bagi memastikan setiap
program berjalan dengan lancar.

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah.

Sebagai pengakhir kata marilah kita merebut peluang amal yang datang di
bulan Ramadan ini. Semoga kedatangan bulan yang mulia ini menjadi medan
untuk kita memperbaiki diri dan istiqomah melakukan amal soleh.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Program


Ihya’ Ramadan, Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas bagi
tahun 1444 Hijrah bersamaan 2023 Masihi.
Sekian Wabillahi Taufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai