Anda di halaman 1dari 5

TEKS UCAPAN PERASMIAN

MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG 2019


SK TAMAN SKUDAI BARU 2

Bismillahir rahmanir rahim.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berusaha, Cikgu Hajah Nor’ain binti Ali,


Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Skudai Baru 2,

Yang Dihormati,

En Mohamad Rosli bin Pardi


Yang Di Pertua PIBG SK Taman Skudai Baru 2 (KIV)

Barisan Guru Penolong Kanan,

Guru-guru, ibu bapa


dan murid-murid yang dikasihi sekalian.

Tanam selasih tepi permatang,


Awan berarak di senja hari,
Terima kasih sudi mengundang,
Moga berseri majlis dirai.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi
menjemput saya untuk merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang SK Taman Skudai
Baru 2 tahun 2019. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak
sekolah kerana berjaya mengadakan program ini sebagai suatu program tahunan
demi kepentingan semua murid. Walau apa-apa sahaja nama yang diberikan untuk
majlis seperti ini, yang pasti Majlis Anugerah Cemerlang merupakan suatu majlis
khas untuk meraikan murid-murid yang telah membuktikan kecemerlangan mereka
dalam bidang akademik. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada murid-murid
cemerlang disekolah ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Mutakhir ini, kita mendapati bahawa dunia pendidikan semakin mencabar. Murid-
murid bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai
pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Hal ini
selari dengan saranan pihak kerajaan, iaitu untuk meluaskan akses pendidikan
berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee
Malik berkata, "Modal insan negara kita seharusnya menerima pendidikan holistik
yang seimbang antara bidang akademik dan kemahiran teknikal. Para pendidik pula
seharusnya berupaya menyampaikan pembelajaran dan pemudahcaraan yang
efisien menerusi teknologi.

Selain itu, kita juga diingatkan sentiasa bersiap siaga agar ekonomi negara kita
lebih berdaya saing dan terkedepan, dipacu oleh tenaga kerja yang berkembang
maju supaya ekonomi kita terus produktif, inovatif dan kompetitif.

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) merupakan tunjang inovasi bagi


melahirkan dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk
memantapkan kualiti pendidikan negara. Pihak kerajaan umumnya dan pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya sentiasa berusaha dan
bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan
melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan.

Cendekiawan ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha


sepahit hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan murid-murid
sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar sebagai penerima ilmu semata-mata
demi menyediakan mereka untuk menempuh arus kehidupan pada abad ke-21 yang
amat mencabar ini.

Lazimnya, kita beranggapan bahawa penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran


anak-anak mereka di sekolah berlaku tanpa memerlukan sebarang rencana. Namun,
dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan
bersungguh-sungguh melalui kaedah tertentu perlu dilakukan oleh semua lapisan
masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak.
Seharusnya, ibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran anak-anak secara
berterusan, bukan sahaja di sekolah bahkan di rumah.

Murid-murid sekalian,

Sebagai anak-anak yang cemerlang, kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT ke
atas apa jua pencapaian kita. Anda tidak akan berada di pentas tanpa bantuan
daripadaNya. Sentiasalah berdoa dan berusaha untuk terus cemerlang duniawi dan
uhkrawi. Berterima kasihlah kepada ibubapa kerana memberi anda pendidikan
sempurna bersulam kasih sayang, wang ringgit, perlindungan rohani dan jasmani.
Keringat mereka hanya perlu di bayar dengan “sebuah kejayaan”. Kejayaan tidak
bermakna jika anak-anak berjaya dari segi akademik tetapi tidak berjaya dalam
urusan membina sahsiah dan budi pekerti yang mulia. Mengimbangi antara duniawi
dan uhkrawi perlu anda pelajari dan praktiskan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebagai ibu bapa pula, kita juga perlu melakukan muhasabah diri.
Benarkah kita telah menjalankan kewajipan dalam mendidik anak-anak dengan
sebaik-baiknya atau hanya sekadar menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru
dan pihak sekolah semata-mata? Lantaran itu, ibu bapa perlu memastikan usaha
yang digarapkan oleh guru-guru di sekolah dalam mendidik anak-anak kita perlu
diteruskan juga sewaktu mereka berada di rumah. Pendidikan agama anak-anak
muda adalah penting bagi meningkatkan iman, berani dan mempertahankan prinsip-
prinsip kebenaran dan amanah. Selain daripada menekankan amalan solat dan
puasa, pendidikan adab dan budi pekerti mulia juga wajib ditekankan. Seperti
menghormati kedua-dua ibu bapa, tidak membazir, tidak memberi atau menerima
rasuah, bekerja kuat, amanah dan ikhlas dalam apa juga yang kita lakukan.

Tuan-tuan dan puan-puan,


Seorang pendidik mesti sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan agar
perkhidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain. Kita
semua sedia maklum bahawa murid-murid merupakan tiang negara dan bakal
menjadi pemimpin negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Jadi, cara asuhan, gaya didikan dan bimbingan dalam semua aspek kehidupan perlu
diambil cakna sejak peringkat awal lagi. Pencapaian yang cemerlang dari segi
akademik sahaja tidak memadai, malahan perkembangan dan kecemerlangan
dalam aspek rohani dan sahsiah juga perlu bergerak seiring demi mencapai
keseimbangan dalam kejayaan yang dilakarkan.

Saya percaya, sambutan Majlis Anugerah Cemerlang pada hari ini selari dengan
matlamat untuk memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar agar terus
berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Besar harapan saya agar
program seumpama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi syabas


dan tahniah kepada murid-murid yang akan menerima hadiah atas pencapaian
mereka dan diharapkan pencapaian yang cemerlang tersebut tidak hanya berakhir di
sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila dan sedarlah bahawa
usahlah kita leka dengan kejayaan ini sehingga menjadi alpa untuk terus berusaha
mendaki tangga bagi mengecap kejayaan yang seterusnya pada masa depan.
Seharusnya, kita perlu sentiasa bersedia mendepani apa-apa jua cabaran demi
meraih kecemerlangan dalam kehidupan.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah
dan syabas kepada pihak SK Taman Skudai Baru 2 kerana berjaya menganjurkan
Majlis Anugerah Cemerlang yang sungguh bermakna pada tahun ini.

Merdu bertingkah alunan suara,


Kadang tak sedar tersilap kata,
Andai terlanjur patah bicara,
Serendah hati kemaafan dipinta.
Berbekalkan tekad mencapai kecemerlangan, saya dengan lafaz
Bismillahirrahmannirrahim (dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang) merasmikan, Majlis Anugerah Cemerlang SK Taman Skudai Baru 2
bagi tahun 2019 ini.

Sekian, wabillahitaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahhi


wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai