Anda di halaman 1dari 2

Teks Ucapan Majlis Restu Ilmu Pengetua SMA Al-Hasanah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua anda calon SPM 2021.

Di Mana Ada Kemahuan Di Situ Ada Jalan


Belakang Parang Diasah Lagikan Tajam
Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Sagunya
Yang Bulat Tidak Akan Datang Bergolek, Yang Pipis Tidak Akan Datang Melayang
Setitis Jadikan Lautan, Sekepal Jadikan Daratan
Benih Yang Baik Dicampak Ke Laut Menjadi Mutiara,
Dicampak Ke Langit Menjadi Kejora
Usaha Tangga Kejayaan

Tinggal beberapa jam lagi daripada sekarang, untuk anda semua menghadapi peperiksaan
SPM. Peperiksaan ini akan dihadapi oleh anda dengan pelbagai perasaan. Ada yang begitu yakin,
ada yang dalam ketakutan dan ada juga yang hanya berserah dengan keadaan. Bagi mereka yang
berusaha dengan gigih, inilah masanya yang ditunggu-tunggu untuk menentukan sejauhmana
usaha dan pengorbanan belajar serta mengulangkaji pelajaran, dapat dijadikan senjata atau
ramuan untuk menjawab soalan. Mereka yang tidak berusaha hanya menunggu masa berakhirnya
peperiksaan ini dengan sambil lewa kerana sudah tahu untung nasib mereka di meja peperiksaan.
Orang yang berjaya bermula dengan usaha yang gigih, tanpa mengenal penat dan lelah. Mereka
menganggap, masa depan sangat penting melalui pendidikan. Ilmu yang ada pada mereka akan
digunakan bagi memenuhi citi-cita yang mahu dicapai.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mendoakan semoga anda semua diberikan
kesihatan yang baik, ketenangan fikiran dan ketajaman ingatan sehingga dapat menjawab
kesemua soalan dengan baik, seterusnya beroleh keputusan yang cemerlang. Jagalah kesihatan
diri dan emosi, jangan wujudkan konflik, stress dan sebagainya kerana ia akan mengundang
masalah dan menjejaskan persediaan anda menghadapi peperiksaan. Rakan adalah aset yang
sangat berharga ketika ini kerana daripada mereka anda boleh mohon pandangan dan bantuan

Di samping itu, jagalah hubungan anda dengan insan yang paling banyak memberi ilmu,
dorongan, ransangan kepada anda iaitu, guru-guru. Jika masih belum memohon maaf dan restu
daripada guru anda, sila lakukan dengan segera kepada mereka, mohon ampun dan mohon
halalkan segala ilmu yang dicurahkan. Pandang mereka dengan pandangan hormat dan penuh
taat. Sebenarnya para guru yang mencurahkan bakti dan tenaga sangat mengambil berat tentang
pencapaian anda dalam peperiksaan ini. Anda dan guru sememangnya berusaha bersama-sama
dalam menentukan sejauhmana pencapaian anda dapat dipertingkat sama ada dalam bentuk
penambahan markah atau penambahbaikan gred mata pelajaran. Semua guru mahu anda lulus
dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM ini. Saya sentiasa menganggap anda semua bagaikan
anak sendiri dan saya percaya guru-guru juga begitu.

Seterusnya, jagalah hubungan anda dengan ibu bapa. Dapatkan keredhaan ibu dan ayah,
supaya doa mereka mudah dimakbulkan oleh Tuhan. Mohonlah ampun maaf daripada mereka.
Sesungguhnya doa ibu bapa kita yang ikhlas itu amat mujarab, dan pastinya doa yang ikhlas itu
datangnya daripada kalbu ibu bapa yang telah melahir dan membesarkan kita dengan penuh
kasih sayang.

Jangan lupa menjaga hubungan kita dengan Allah .Yang bukan Islam berdoalah kepada
Tuhan mereka. Berdoalah kepada Nya semoga segala usaha kita mendapat berkat dan hidayah
daripadaNYA. Berdoalah untuk diri sendiri dan berdoalah juga untuk rakan-rakan yang lain.
Kejayaan mereka juga merupakan kejayaan kita bersama. Ingatlah, apa pun yang kita usahakan,
yang akan membuahkan hasilnya daripada Allah SWT.

Akhir kata, yakinlah pada diri dan mulailah mencipta sejarah hidup yang cemerlang,
gemilang dan terbilang. IsyaAllah, cikgu yakin anda sekalian akan beroleh kejayaan sesuai
dengan usaha yang dilakukan. Perahu di tangan anda. pendayung juga di tangan anda. Mudiklah
perahu itu ke muara dengan selamat agar dapat mencapai matlamat anda.

Wabillah hitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai