Anda di halaman 1dari 3

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Salam Perpaduan dan Salam Malaysia Madani

Terima kasih kepada Pengerusi Majlis.

Yang berusaha

Encik Saiful Amran bin Mohd Saad YDP PIBG SMK Sungkai

Puan Hajah Normah binti Muhammad Ali, Guru Kanan Kemanusiaan selaku
pemangku PK Pentadbiran

Puan Rashidah binti Mohd Yusoff, Guru Kanan Vokasional Teknologi selaku
pemangku PK HEM

Puan Elen Marlina binti Mohd, Guru Kanan Bahasa selaku pemangku PK
Kokurikulum

Guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang dikasihi sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita
berkumpul pada hari ini bagi menjayakan satu agenda dalam acara takwim
sekolah iaitu Majlis Aku Janji dan Penetapan Sasaran bagi pelajar-pelajar yang
bakal menduduki SPM pada tahun ini. Sesungguhnya kehadiran tuan-puan semua
dapat menyuntik semangat dan iltizam kami untuk berusaha meningkatkan lagi
pencapaian sekolah ini.

Saya mewakili warga SMK Sungkai mengalu-alukan kehadiran tuan puan iaitu
ibu bapa dan penjaga murid-murid di sekolah ini yang sudi meluangkan masa bagi
menjayakan majlis yang kita rencanakan pada hari ini. Komitmen tuan puan akan
dapat memberi keyakinan kepada kami khususnya dalam menjalankan tugas kami
terhadap anak bangsa dengan jayanya. Insya-Allah.

Saya berpendapat ibu bapa yang hadir pada hari ini ialah ibu bapa yang benar-
benar mengharapkan kecemerlangan sekolah dan juga kecemerlangan anak-anak
kerana sesungguhnya penglibatan ibu bapa merupakan salah satu faktor 
pendorong yang boleh menjadi motivasi kepada anak-anak untuk memajukan diri
dalam pelbagai bidang.
Hadirin sekalian,

Program Aku Janji dan Penetapan Sasaran merupakan salah satu aktiviti bagi
memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan
penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran dan kecemerlangan anak-anak Majlis
ini memberi peluang kepada saya mengenali ibu bapa secara lebih dekat lagi kata
orang tua-tua “ Tak Kenal Maka Tak Cinta”. Justeru, menjadi harapan kami
warga pendidik agar majlis ini menjadi tonggak bagi memulakan anjakan
paradigma dan pencetus revolusi dalam meningkatkan lagi mutu pencapaiaan
anak-anak kita dalam bidang akademik seterusnya mencapai kecemerlangan pada
SPM 2023. Insya-Allah.

Sesungguhnya, kami mengharapkan agar semua ibu bapa dapat memberikan


sepenuh sokongan dan bantuan kepada pihak sekolah. Kami juga sebenarnya
menaruh sepenuh keyakinan dan segunung harapan bahawa tidak ada perkara
yang mustahil pada era dunia tanpa sempadan ini. Syaratnya kemahuan yang
tinggi, disiplin yang terarah, kefahaman yang selaras dan kebersamaan dalam
tindakan merupakan resipi utama dalam sesebuah kejayaan. Sehubungan itu,
saya berharap semua ibu bapa bersama-sama menempuh cabaran baharu ibarat ke
bukit sama didaki ke lurah sama dituruni. Marilah sama-sama kita merintis denai
menebas semak-samun agar anak-anak murid kita menggapai kejayaan seperti
yang kita ingini.

Hadirin sekalian,

Bagi merealisasikan hasrat tersebut pihak sekolah telah merancang pelbagai


program. Antara program yang telah dirancang ialah Program Kecemerlangan
Mata Pelajaran. Program Berfokus Matematik, Sains dan Kimia, Drilling Camp,
Dialog Prestasi Murid dan Gerak Gempur SPM. Pihak sekolah memohon jasa
baik ibu bapa agar ibu bapa dapat memastikan anak-anak tuan-puan dapat
mengikuti semua program yang telah dirancang oleh pihak sekolah demi
kecemerlangan anak-anak tuan puan.

Saya dan seluruh warga sekolah sentiasa mendoakan agar calon-calon SPM 2023
dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM 2023 dan seterusnya
mengahrumkan nama sekolah.

Hadirin sekalian,
 
Akhir kata, sebagai pengetua baharu di sini saya begitu mengharapkan pihak
PIBG dan ibu bapa sekalian dapat memberikan sokongan padu kepada saya dan
pihak sekolah khususnya agar saya dapat menerajui murid-murid sekolah ini ke
arah kecemerlangan dalam semua bidang. Semoga ikatan antara pihak sekolah
dan pihak ibu bapa sentiasa bertaut erat demi kecemerlangan anak-anak kita kelak
Sekian terima kasih dan wassalamualaikum wbt

Anda mungkin juga menyukai