Anda di halaman 1dari 4

UCAPAN TN. PENGETUA, EN.

MUHAMAD ‘AZIZI BIN


SHAMSUDIN, PENGETUA SMK SERI PERKASA BAGI
MESYUARAT AGUNG PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU
(PIBG) SEK. MEN. KEB. SERI PERKASA
KALI KE-22 TAHUN 2023/2024

Terima kasih pengerusi majlis.


Bismillahhirrahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.

1. Yang Berhormat,
Puan Wasanthee A/P Sinnasamy
(Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Hutan Melintang)

2. Yang dihormati
Tuan Hj Hairul Anuar bin Ramlan
(Yang Dipertua PIBG SMK Seri Perkasa)

3. Barisan Penolong Kanan

4. Barisan guru kanan

5. Seterusnya, AJK PIBG, guru-guru serta ibu bapa dan penjaga yang dihormati
sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya,
dapat kita bersua pada petang ini dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) Kali ke-22 bagi tahun 2023.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Sekali lagi, saya ucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana atas limpah kurnia-Nya
segala perancangan dan usaha yang jitu maka Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali
ke-22 dapat diterjemahkan pada hari ini. Terima kasih kepada semua ibu bapa yang
dapat hadir pada hari ini. Kehadiran ibu bapa menunjukkan komitmen yang tinggi
bagi merealisasikan visi dan misi sekolah untuk mencapai kecemerlangan dalam
bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Tidak dilupakan juga sekalung
penghargaan dan terima kasih kepada semua guru yang berhempas pulas dan
menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan majlis kali ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


Sebelum saya meneruskan ucapan saya, pertama kali saya ingin mengucapkan salam
perkenalan kepada semua ibu bapa yang hadir pada hari ini kerana hari ini merupakan
pertemuan kita yang pertama. Saya, selaku pengetua SMK Seri Perkasa yang baharu
amat berharap agar tuan dan puan dapat memberikan sokongan dan kerjasama kepada
kepimpinan saya di SMK Seri Perkasa ini. Oleh hal yang sedemikian, kita pasti dapat
menjadikan SMK Seri Perkasa menjadi salah sebuah sekolah harian yang hebat di
daerah Bagan Datuk ini.

1
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Pada 8 Jun yang lalu keputusan SPM 2022 telah diumum. SMK Seri Perkasa, telah
berjaya meningkatkan peratus lulus atau peratus layak sijil dari 88.57% pada SPM
2021 kepada 96.72% bagi SPM 2022. Namun begitu, terdapat penurunan dari segi
GPS sekolah, iaitu dari 5.15 (SPM2021) kepada 5.43 (SPM2022). Tahniah dan terima
kasih saya ucapkan kepada para ibu bapa sekalian kerana kejayaan SMK Seri Perkasa
ini adalah berkat sokongan padu daripada para ibu bapa sekalian terhadap semua
program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah sepanjang sesi persekolahan
2021/2022 yang lalu.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Bagi memastikan kecemerlangan akademik sekolah dapat ditingkatkan lagi pada
tahun ini, pihak sekolah telah merancang untuk mengadakan beberapa program dari
unit kurikulum, kaunseling, dan HEM SMK Seri Perkasa untuk meningkatkan prestasi
akademik dan sahsiah murid-murid terutamanya untuk murid-murid SPM 2023 ini.
Antara program peningkatan akademik yang telah dijalankan oleh unit kurikulum
sekolah ialah
a) Bengkel Teknik Menjawab Soalan BM kertas 1 kumpulan Permata dan
Berjaya
b) Teknik Penandaan BM Kertas 2 untuk guru
c) Kelas Bimbingan Awal SPM (Jumaat dan Sabtu)
d) Kelas Intensif Cuti Sekolah
e) Program SBP (Sejenak Bersama Pentadbir)
f) Latihan Cuti Sekolah
g) Gempur SPM
h) Program Jerayawara Fasa 1 dan 2 PPD
i) Program Penetapan Target, Motivasi dan Ikrar Gemilang SPM
j) Program Permuafakatan Bersama-sama Ibu Bapa/Penjaga
k) Program Bersama GBKSM

Seterusnya, bagi melahirkan murid-murid yang memiliki sahsiah yang terpuji serta
berketrampilan dan mempunyai keyakinan diri yang mantap, pihak sekolah melalui
unit HEM dan unit Bimbingan dan Kaunseling juga telah melaksanakan pelbagai
program untuk murid-murid SMK Seri Perkasa pada tahun ini. Antara program
tersebut ialah

Program-program di bawah unit HEM :


1- PROGRAM JOM KE SEKOLAH
2- AMALAN SEKOLAH PENYAYANG
3- PROGRAM 3K - SEKOLAHKU CERIA “GOTONG-ROYONG PERDANA”
4- PELANCARAN PROGRAM IHYA’ RAMADAN DAN MAJLIS SAMBUTAN
HARI RAYA AIDIL ADHA DI BAWAH PROGRAM SAMBUTAN BULAN
KEBESARAN ANJURAN MAKDIS
5- MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN PEMIMPIN PELAJAR (PENGAWAS, PSS,
SPBT, PRS, KETUA, DAN PENOLONG KELAS)

2
Program-program di bawah unit Bimbingan dan Kaunseling :
1- Program Pengurusan Emosi
2- Hala Tuju Kerjaya
3- Mini Pameran Informasi dan Pendidikan Kerjaya
4- Kemahiran Belajar
5- Program Motivasi ‘Me In Future’
6- Teknik Mencatat Nota

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Sokongan yang mantap daripada semua ibu bapa adalah amat kami harapkan agar
setiap program yang telah dirancang oleh pihak sekolah ini berjaya mencapai
matlamatnya untuk melahirkan murid-murid SMK Seri Perkasa yang cemerlang dari
segi akademik dan sahsiah. Kita sedia maklum bahawa anak-anak ini merupakan
penyejuk hati dan pengarang jantung kita. Kelahiran seseorang anak menjanjikan
harapan yang tinggi menggunung kepada kedua-dua ibu bapa. Kejayaan anak-anak
merupakan hadiah yang paling bernilai untuk semua ibu bapa. Kemenjadian anak-
anak adalah bermula dengan ibu bapa. Pihak sekolah berharap semua ibu bapa
janganlah meletakkan 100% tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pihak
sekolah sahaja. Sokongan dan penglibatan semua ibu bapa amat diperlukan dalam
memastikan kejayaan anak-anak ini. Sebagai permulaan untuk proses pengajaran dan
pembelajaran, ibu bapa perlu memastikan anak-anak membawa peralatan sekolah
seperti alat tulis serta buku teks. Selain itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak
bangun awal dan datang awal ke sekolah agar masalah pelajar lewat boleh diatasi. Ibu
bapa juga perlu memastikan anak-anak sentiasa hadir ke sekolah pada setiap hari
kecuali jika tidak sihat dan sebagainya. Dengan ini, masalah kehadiran atau ponteng
sekolah dapat diatasi agar peratus kehadiran ke sekolah dapat ditingkatkan melebihi
95% pada setiap hari. Jika masalah kehadiran ini dapat diatasi, saya yakin dan pasti
bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik bagi murid-murd SMK Seri Perkasa
ini pasti akan meningkat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


Ibu bapa juga perlu memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pelajaran anak-
anak. Anak-anak perlu diberikan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya agar
diri mereka tidak tersisih. Anak-anak amat memerlukan inspirasi dan galakan untuk
belajar. Minat belajar perlu ditanam dan disemai dalam jiwa anak-anak kerana mereka
ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan dan mewarnainya. Anak-anak
memerlukan masa untuk bermesra dan berbincang dengan ibu bapa mereka. Ibu bapa
perlu memastikan bahawa mereka mempunyai masa untuk tujuan tersebut. Hal ini
tidak mustahil dilakukan walaupun ibu bapa sibuk bekerja. Ibu bapa boleh menelefon
untuk bertanya khabar atau makan semeja pada waktu yang berkesempatan.
Pokoknya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Penglibatan ibu bapa dengan
pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan kajian
membuktikan bahawa keadaan ini dapat membawa perubahan yang ketara dalam
kejayaan seseorang anak. Melalui penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-
anak akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak. Anak-anak akan mencapai
keputusan akademik yang lebih cemerlang serta mempunyai motivasi yang lebih
tinggi di samping rekod kehadiran ke sekolah yang lebih baik.

3
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya mewakili pihak sekolah menyeru supaya ibu bapa memberi kerjasama yang erat
kepada pihak sekolah supaya kita sama-sama dapat berganding bahu dan sekali gus
dapat menyuntik semangat belajar dalam diri anak-anak. Tanpa kesepakatan dan
kerjasama yang jitu amat sukar bagi kita bagi mencapai kejayaan yang diharapkan.
Hasrat ini lebih mudah dicapai apabila semua pihak termasuk ibu bapa dan ahli
komuniti bersatu dan menyokong satu matlamat, iaitu membantu murid berjaya secara
holistik dan seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi. Peranan ibu bapa
dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah tidak dapat dinafikan. Apabila
ibu bapa dan komuniti terlibat sama, sekolah mendapat banyak manfaat antaranya
pencapaian murid meningkat, kes disiplin dalam kalangan murid berkurangan dan
hubungan pihak sekolah dengan ibu bapa menjadi lebih baik. Oleh itu, marilah kita
bekerja sama dan berganding bahu membentuk anak-anak kita berjaya dan menjadi
orang yang berguna kepada keluarga dan negara kita.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada petang ini, saya bagi pihak sekolah ingin
merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi
kerjasama yang baik dalam melaksanakan pelbagai program sekolah. Hanya dengan
kerjasama semua pihak secara berterusan maka anak-anak didik sekolah ini dapat
terbina sebagai insan yang cemerlang dari segi sahsiah, akademik dan kokurikulum.
Setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan kepada barisan PIBG yang diterajui
oleh Tuan Hj Hairul Anuar bin Ramlan yang banyak memberi sokongan baik dalam
bentuk kewangan mahupun idea serta moral. Tidak keterlaluan jika saya katakan
barisan PIBG sekolah ini amat dedikasi dan komited dalam membantu sekolah
mencapai hala tuju dan kecemerlangan.
Akhir kata, semoga Allah memberkati kerjasama dalam menjalankan tanggungjawab
masing-masing bagi membina insan yang berilmu dan cemerlang seterusnya menjadi
rakyat yang berjaya kepada agama, bangsa, dan negara.

Sekian sahaja, saya sudahi dengan wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum


warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai