Anda di halaman 1dari 3

SMK LA SALLE PJ

46000 PETALING JAYA


SELANGOR

TEKS UCAPAN
PENGETUA

SEMPENA
MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE- 51
2023
Terima kasih kepada pengerusi majlis,
Yang Berbahagia, Encik Dempsey Fernandez, YDP PIBG
Yang Dihormati, Encik Khairulnizam bin Mohamed Amin, Penolong Kanan Pentadbiran
Pn Noor Hayati Che Omar , Penolong Kanan HEM
Pn Zaharah Hamzah, Penolong Kanan Kokurikulum
Barisan guru-guru kanan, guru-guru,
Ahli jawatankuasa PIBG dan tuan puan hadirin sekalian.

Sirih berlipat sirih pinang,


Sirih dari Pulau Mutiara;
Pemanis kata selamat datang,
Salam sejahtera pembuka bicara.

Bersyukur kita kerana pada pagi yang mulia ini dapat kita bersama-sama berkumpul secara
bersemuka dalam Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK La Salle Petaling Jaya kali ke-51.
Terima kasih kepada semua ibu bapa yang dapat hadir pada hari ini sejak saya
mengemudi SMK La Salle PJ ini, saya belum berkesempatan bersua muka dengan para
waris di sekolah ini.. Kehadiran ibu bapa secara bersemuka ini menunjukkan komitmen
yang tinggi bagi merealisasikan visi dan misi sekolah untuk mencapai kecemerlangan
dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Tidak dilupakan juga sekalung
penghargaan dan terima kasih kepada semua guru dan ajk yang berhempas pulas dan
menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan majlis kali ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Banyak kecemerlangan dan kejayaan yang telah pihak sekolah cipta sama ada
dalam bidang akademik mahupun dalam bidang kokurikulum. Kejayaan dan
kecemerlangan ini menggambarkan usaha guru-guru yang tidak pernah putus asa dalam
mendidik anak-anak. Kejayaan ini juga menggambarkan usaha dan kerjasama yang terjalin
kukuh antara guru dengan ibu bapa selama ini diberkati oleh Tuhan.

Dalam usaha kita untuk menjana kecemerlangan ini, pihak PIBG sentiasa
menyokong pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti. Pihak PIBG juga banyak memberi
sumbangan dalam bentuk kewangan untuk pelbagai aktiviti sekolah serta hadiah
kecemerlangan untuk anak-anak yang berjaya. Sumbangan yang PIBG berikan dalam
menjayakan semua aktiviti ini adalah hasil sumbangan ibu bapa kepada tabung PIBG.
Untuk itu, saya menyeru kepada ibu bapa agar terus menyumbang kepada tabung PIBG
untuk kita sama-sama terus menjana dan merancang pelbagai aktiviti yang menyumbang
kepada kecemerlangan anak-anak kita.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

     Cendekiawan  ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha


sepahit hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para pelajar
sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan
generasi muda dengan keperluan abad ke-21. Saya mewakili pihak sekolah menyeru
supaya ibu bapa memberi kerjasama yang erat kepada pihak sekolah supaya kita sama-
sama dapat berganding bahu dan sekali gus dapat menyuntik semangat belajar dalam diri
anak-anak. Tanpa kesepakatan dan kerjasama yang jitu amat sukar bagi kita bagi
mencapai kejayaan yang diharapkan. Hasrat ini lebih mudah dicapai apabila semua pihak
termasuk ibu bapa dan ahli komuniti bersatu dan menyokong satu matlamat, iaitu
membantu murid berjaya secara holistik dan seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani
dan emosi. Peranan ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah tidak
dapat dinafikan. Apabila ibu bapa dan komuniti terlibat sama, sekolah mendapat banyak
manfaat antaranya pencapaian murid meningkat, kes disiplin dalam kalangan murid
berkurangan dan hubungan pihak sekolah dengan ibu bapa menjadi lebih baik. Oleh itu,
marilah kita bekerja sama dan berganding bahu membentuk anak-anak kita berjaya dan
menjadi orang yang berguna kepada keluarga dan negara kita.

Sekali lagi, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan kepada


barisan PIBG yang diterajui oleh Encik Dempsey Fernandez yang banyak memberi
sokongan baik dalam bentuk kewangan mahupun idea serta moral. Tidak keterlaluan jika
saya katakan barisan PIBG sekolah tahun 2022/2023 ini yang amat dedikasi dan komited
dalam membantu sekolah mencapai hala tuju dan kecemerlangan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Akhir kata, semoga Tuhan memberkati kerjasama kita dalam menjalankan


tanggungjawab masing-masing bagi membina insan yang berilmu dan cemerlang
seterusnya menjadi rakyat yang berjaya kepada agama, bangsa, dan negara.

Bunga dedap di atas para,


Anak dusun pasang pelita;
Andai tersilap tutur bicara,
Jari disusun maa dipinta.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai