Anda di halaman 1dari 1

PERUTUSAN GURU BESAR SK TAMAN CENDANA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh 

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnia dan izin-Nya kita dapat
mengadakan Majlis Mesyuarat Agung PIBG kali ke 18 Sekolah Kebangsaan Taman Cendana. Saya
mengucapkan ribuan terima kasih pada semua ibu bapa yang hadir ke Mesyuarat Agung PIBG kali ke
18 ini. Kehadiran ibu bapa menunjukkan komitmen yang tinggi bagi merealisasikan visi dan misi
Sekolah Kebangsaan Taman Cendana untuk mencapai kecemerlangan di bidang akademik,
kokurikulum dan sahsiah pelajar.

PIBG memainkan peranan yang sangat penting di mana dengan pemuafakatan ini SK Taman
Cendana akan menjadi lebih cemerlang dan seterusnya dapat mencapai visinya. Majlis seumpama ini
amat penting untuk diadakan bagi merapatkan lagi hubungan kemesraan antara kami sebagai warga
sekolah dengan komuniti luar khususnya dengan ibu bapa. Hubungan yang kukuh antara kita pula
dapat membantu dalam melonjakkan lagi prestasi anak-anak seterusnya melahirkan individu yang
cemerlang, gemilang dan terbilang.

Saya mengucapkan terima kasih kepada YDP PIBG yang telah banyak menabur jasa, buah
fikiran dan juga sumbangan bagi menjayakan aktiviti serta pelbagai program sekolah. Saya juga
mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang telah memberi pelbagai sumbangan
terhadap sekolah sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ibu bapa dan bapa-bapa sekalian,
kejayaan seseorang murid tidak hanya terletak pada bahu guru semata-mata. Kami sebagai guru
hanya memberi ilmu pengetahuan dan murid – murid bersedia menerima apa yang disampaikan. Apa
yang diterima oleh murid akan hilang jika tidak diulangkaji dan diasah. Di sini letaknya peranan anda
sebagai ibu bapa. Anda perlu bertindak sebagai pendorong, menggalakkan anak–anak belajar,
mengulangkaji pelajaran atau menyiapkan kerja rumah.

Selain itu, kehadiran anak-anak ke sekolah perlu diberikan perhatian yang serius. Harapan
saya agar ibu bapa sentiasa peka dan memantau kehadiran anak-anak ke sekolah serta mengikuti
perkembangan aktiviti-aktiviti dan program sekolah. Keselamatan dan keberadaan anak-anak
semestinya berada dalam pengetahuan ibu bapa. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya
mengucapkan terima kasih kepada tetamu VIP, YDP dan ibu bapa sekalian. Kesudian anda semua
menghadirkan diri ke majlis ini memberi satu semangat kepada saya untuk terus berkhidmat dalam
dunia pendidikan ini. Sekian, terima kasih.

Maznah binti Main


Guru Besar SK Taman Cendana

Anda mungkin juga menyukai