Anda di halaman 1dari 5

TEKS UCAPAN

YDP PIBG SMK DESA CEMPAKA


SEMPENA MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-24

Terima kasih saudari Pengacara Majlis.

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.
Selamat Pagi dan Salam Ukhwah.

Yang Berhormat,

Tuan Cha Kee Chin

Ahli Parlimen Rasah

Yang Berusaha,

Tuan Johari bin Jaafar

Pengetua SMK Desa Cempaka


Yang Dihormati,

Barisan Guru Penolong Kanan,

Guru-guru Kanan Mata Pelajaran,

Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG, kaunselor-kaunselor sekolah,


guru-guru, para ibu bapa serta anak-anak yang dikasihi sekalian.

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinan-Nya, maka kita
dapat sekali lagi bertemu dalam Mesyuarat Agung PIBG kali ke-24 ini.

2. Saya amat mengalu-alukan kehadiran Tuan Cha Kee Chin yang dapat bersama-sama dengan kita pada hari
ini. Di sebalik kesibukan tugas tuan, tuan sudi hadir ke majlis yang telah dirancangkan ini. Terima kasih tuan.

3. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua ahli
jawatankuasa PIBG yang telah sama-sama bekerja dan berusaha membantu pihak sekolah dalam pelbagai
program. Saya mewakili semua ahli jawatankuasa PIBG akan terus menyokong segala program yang dianjurkan
oleh pihak sekolah bagi memacu kecemerlangan anak-anak SMK Desa Cempaka. Saya juga berharap dalam
pertemuan seumpama ini, kita akan dapat bersama-sama menyumbang idea untuk memantapkan aktiviti-aktiviti
PIBG sekolah ini lagi. Dalam segala tindakan kami, kami sentiasa memikirkan kepentingan dan kebajikan anak-
anak kita di sekolah ini khasnya. Sumbangan tuan/puan telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk
membantu program-program sekolah yang bertujuan meningkatkan pencapaian pendidikan dan sahsiah anak-
anak kita di sekolah ini. Tuan puan bolehlah melihat buku atur cara mesyuarat agung kali ini yang mana
terdapat di dalamnya butiran aktiviti PIBG dan juga maklumat sumbangan PIBG kepada sekolah. Sehubungan
dengan itu, PIBG amat mengalu-alukan ibu bapa yang dermawan atau yang berkemahiran dalam bidang-bidang
tertentu dapat terus tampil memberikan sumbangan, membantu pihak sekolah dalam meningkatkan
kecemerlangan pendidikan anak-anak kita.

4. PIBG juga sentiasa komited bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menjalankan program-program yang
telah dirancang pada sesi 2022/2023 agar pembangunan akademik, kokurikulum dan sahsiah murid-murid SMK
Desa Cempaka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pencapaian murid-murid di daerah
Seremban khususnya dan murid-murid di seluruh negara amnya. Antaranya ialah Anugerah Akademik
Terbilang, Majlis Selangkah ke Menara Gading, Kursus Kepimpinan Pemimpin Murid, Program Destini Kerjaya,
Program Solat Hajat dan bacaan Yasin SPM 2022, Program Sembahyang Hajat Pelajar Moral SPM 2022,
Program Motivasi, Program Menggapai Bintang, Program Perkampungan Ilmu, Program Restu Ilmu SPM 2022,
Program Prihatin SPM 2022, Program Ihya Ramadan, Majlis Iftar Perdana, dan aktiviti terkini pada tahun 2023
ialah Kejohanan Merentas Desa 2023.

Hadirin sekalian,

5. Pada hakikatnya, banyak faedah yang dapat diperoleh jika adanya penglibatan ibu bapa dalam segala aktiviti
yang dijalankan untuk meningkatkan prestasi sekolah iaitu melalui Sarana Ibu Bapa. Sarana Ibu Bapa yang
berjaya sebenarnya dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik, nilai kendiri,
motivasi, dan peningkatan kehadiran murid-murid ke sekolah malah kadar pelanggaran disiplin murid juga akan
berkurangan dan masalah keciciran persekolahan juga dapat dielakkan. Mudah-mudahan impian kita sebagai
ibu bapa untuk melihat anak-anak kita berjaya menjadi insan cemerlang akan tercapai selaras dengan visi dan
misi SMK Desa Cempaka.
6. Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak sangatlah penting. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan
bahawa penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam pendidikan anak membawa perubahan yang ketara kepada
kejayaannya. Berbanding dengan 52% masa yang dihabiskan di rumah dan dalam komuniti, hanya 15%
masa seseorang anak dihabiskan di sekolah. Oleh itu, amatlah penting ibu bapa menilai penglibatan
bersama-sama dengan anak dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu anak meraih
kejayaan pada masa hadapan. Jadilah ibu bapa yang menjadi rakan yang berkesan dalam pendidikan ana-
anak kerana sikap keprihatinan ibu bapa secara tidak langsung akan membawa ke arah peningkatan
pencapaian sekolah.

7. Untuk makluman para ibu bapa, surau Al-Islah yang baharu telah pun siap dibina dan telah digunakan
sejak Disember 2022 lagi untuk pelbagai program sekolah. Anak-anak juga telah menggunakannya untuk
menunaikan solat di surau yang baharu. Sekarang, kita sedang menunggu masa untuk merasmikannya
sahaja. Sehubungan dengan itu, ibu bapa amatlah dialu-alukan untuk meneruskan sumbangan dan infaq bagi
kemudahan surau yang masih belum lengkap sepenuhnya seperti tandas, tempat parking berturap dan
memasang jaring untuk mengelakkan bola memasuki kawasan surau. Khusunya para ibu bapa yang baru
mendaftarkan anak-anak ke SMK Desa Cempaka.

7. Diharapkan dalam mesyuarat pada kali ini, dapatlah kita bersama-sama menentukan komitmen PIBG untuk
lebih membantu pihak sekolah. PIBG bukan sahaja berperanan untuk membantu menyampaikan sumbangan
dana dan wang ringgit daripada tuan/puan kepada pihak sekolah, malah perkara utama yang diharapkan
ialah pandangan dan kerjasama yang membina ke arah membantu pihak sekolah dalam meningkatkan
potensi anak-anak dalam setiap aspek kehidupan yang mencabar pada masa ini.
8. Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat Tuan Cha Kee Chin,
Tuan Pengetua, Ahli Jawatankuasa PIBG dan AJK Mesyuarat Agung PIBG kali ke-24, ibu bapa SMK Desa
Cempaka dan hadirin yang dihormati sekalian. Terima kasih atas kesudian tuan/puan bersama-sama berada
dalam majlis kita hari ini.

Saya dan barisan AJK yang lain berharap tuan-tuan dan puan-puan yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa
PIBG bagi sesi 2023/2024 nanti akan dapat meneruskan usaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan
kecemerlangan SMK Desa Cempaka di samping mendapat sokongan daripada hadirin sekalian. Saya ingin
menutup tirai ucapan saya pada pagi ini dengan kata-kata pujangga:

“Anak Kita Aspirasi Kita – Pendidikan Anak Tanggungjawab Kita Bersama”

Sekian, wabillahtaufikwalhidayah wassalamualaikum w.b.t.

Anda mungkin juga menyukai