Anda di halaman 1dari 5

TEKS UCAPAN YDP PIBG

Terima kasih pengacara majlis.

Bismillahirrahmanirahim.

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh.

Yang Berbahagia Datuk Haji Sulaiman bin Haji Abd Razak, Ahli Lembaga
Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Nasional.

Yang Berusaha Encik Nor Azli bin Yusop,


Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid.

Yang Berusaha Encik Lokman Bin Salam,


Yang Dipertua PIBG SMK Agama Kuala Selangor,

Yang Berusaha Tuan Haji Zohan Bin Ahmad,


Pengetua SMK Agama Kuala Selangor,

Yang Berusaha Guru-guru Penolong Kanan, guru-guru cemerlang, ahli


Jawatankuasa PIBG, para ibu bapa dan penjaga, guru-guru serta murid
murid yang dikasihi.
Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengannya kita dapat bersama-sama
berkumpul di dalam dewan yang mulia ini sempena Mesyuarat Agung
PIBG SMK Agama Kuala Selangor kali ke-28 tahun 2022. Pertama sekali,
saya merakamkan ucapan syabas dan terima kasih atas kehadiran Yang
Berbahagia Datuk Haji Sulaiman bin Haji Abd Razak, guru-guru, para ibu
bapa serta penjaga ke Mesyuarat Agung PIBG pada hari ini.

Saya secara peribadi berasa amat bangga dengan kehadiran Yang


Berbahagia Datuk, tuan-tuan dan puan-puan dalam mesyuarat pada
hari ini kerana hal ini jelas membuktikan komitmen dan iltizam yang
tinggi terhadap tanggungjawab serta peranan kita dalam organisasi ini.
Mudah-mudahan menerusi mesyuarat ini, idea-idea baharu akan
diperoleh bagi tujuan pembangunan ilmu dan sahsiah di sekolah.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebagaimana yang kita sedia maklum, Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) ialah sebuah organisasi yang cukup signifikan dan penting bagi
perkembangan sesebuah sekolah. Sememangnya tidak dapat dinafikan
bahawa peranan dan tanggungjawab PIBG memberi kesan yang cukup
mendalam kepada kemajuan dan pencapaian sesebuah sekolah. Hal ini
demikian kerana PIBG merupakan medium atau wahana untuk
mencetuskan hala tuju serta matlamat sesebuah sekolah ke arah
kecemerlangan. Pengurusan PIBG yang cemerlang pastinya akan
melahirkan sekolah yang terbilang dan sesungguhnya perkara ini
bukanlah hanya angan-angan kosong semata-mata.
Kita semua mengetahui bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi
amat bergantung kepada beberapa elemen yang perlu digerakkan
secara bersama dan seiring. Oleh itu, saya amat berharap dan menyeru
supaya kita bersama-sama berpadu tenaga dan menyumbang buah
fikiran dalam membangunkan serta menggiatkan lagi usaha PIBG demi
kecemerlangan pendidikan anak-anak yang kita sayangi. Sesungguhnya,
elemen perpaduan dalam kalangan ahli PIBG adalah sangat penting
agar kita dapat memaksimumkan sumber tenaga, usaha dan buah
fikiran ke arah kecemerlangan yang akan membanggakan kita semua.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Sebagai Yang Dipertua PIBG, saya dan barisan AJK telah berusaha untuk
menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin.
Dalam segala tindakan yang dilakukan, kami sentiasa memikirkan
kebajikan anak anak di sekolah ini dan ingin sentiasa memberikan yang
terbaik walaupun kadang kala berdepan dengan kesukaran
terutamanya masalah kewangan. Sumbangan PIBG yang telah diberikan
oleh tuan puan telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk
membantu membiayai program-program sekolah demi meningkatkan
pencapaian pendidikan dan sahsiah anak-anak kita di sekolah ini. Oleh
yang demikian, saya amat mengharapkan para pemimpin dan ibu bapa
yang sememangnya berhati mulia serta ikhlas agar terus menyumbang
kepada dana PIBG agar prestasi dan fasiliti sekolah dapat terus
ditingkatkan.
Untuk pengetahuan Yang Berbahagia Datuk, jalan di sekitar sekolah ini
sudah lama tidak dibaik pulih. Secara umumnya, jalan di sekitar sekolah
ini tidak rata dan banyak yang sudah berlubang, terutamanya jalan
menuju ke surau. Jalan di hadapan asrama pula masih belum diturap
dengan tar. Apabila hujan, jalan mulai kotor, berlecak dan air
bertakung. Dalam keadaan ini, saya percaya Yang Berbahagia Datuk
dapat membayangkan betapa sukarnya guru-guru, murid-murid dan ibu
bapa apabila melalui jalan sebegini. Maka Yang Berbahagia Datuk, saya
sebagai wakil PIBG sangat mengharapkan dan memohon agar Yang
Berbahagia Datuk dapat mengusulkan kepada Yang Berhormat Tan Sri
Noh bin Hj. Omar agar jalan di sekitar sekolah ini dapat dibaik pulih dan
diturap dengan segera. Saya benar-benar yakin bahawa apabila
masalah ini selesai, maka akan membakar lagi semangat ibu bapa,
penjaga dan murid-murid untuk terus menyumbang serta berusaha
dengan lebih gigih bagi memastikan sekolah ini mencapai
kecemerlangan dan kegemilangan dalam pelbagai aspek.

Hadirin yang saya hormati,

Kita sebagai ibu bapa dan penjaga juga haruslah sedar bahawa
kecemerlangan anak-anak SMKA Kuala Selangor ini amat bergantung
kepada kerjasama dan komitmen padu antara kita dan pihak sekolah.
Untuk ini, kita perlulah sering mendampingi dan membantu pihak
sekolah sama ada menghulurkan bantuan dari segi tenaga, buah fikiran
dan dana bagi meningkatkan prestasi anak-anak kita. Jadikan juga
mesyuarat kita pada hari ini, menjadi saksi dan petanda bahawa
sokongan dan kerjasama kita terhadap sekolah semakin bertambah
utuh ibarat isi dan kuku, demi melihat kejayaan anak anak di sekolah
yang tercinta ini.
Akhir kata, sebelum saya menutup ucapan ini, saya ingin merakamkan
ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama kepada warga
sekolah, ibu bapa dan penjaga atas kehadiran serta kerjasama yang
padu untuk menjayakan Mesyuarat Agung PIBG pada tahun ini. Jutaan
terima kasih juga kepada Yang Berbahagia Datuk kerana sudi
merasmikan Mesyuarat Agung PIBG pada hari ini. Saya berdoa agar
semua usaha dan sumbangan ini menjadi ganjaran pahala yang sentiasa
mengalir dalam buku amalan kita, asbab kesungguhan serta keikhlasan
kita dalam membantu pihak sekolah mendidik anak-anak menuju
kecemerlangan di dunia dan akhirat. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai