Anda di halaman 1dari 4

Ucapan TYDP PIBG SMK Putra

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.


 Terima kasih pengacara majlis. Bismilla hirrahma nirahim.
Yang Berhormat Tn Hj Nawi Bin Mohamad Exco Pertanian dan Industri Asas Tani
Perladangan dan Komoditi Negeri Terengganu, ADUN Hulu Besut merangkap YDP
PIBG,
Yang Berbahagia, ___________________ Pegawai PPD Besut
Yang Berbahagia Pn Hjh Ruhani bt Salleh Pengetua Cemerlang SMK Putra.
Ahli – ahli Jawatankuasa PIBG Guru-guru, para ibu bapa dan para pelajar yang saya
hormati sekalian. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya
dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang mulia ini sempena Mesyuarat
Agung PIBG SMK PUTRA kali ke-15 tahun 2015.
Pertama sekali, saya merakam ribuan terima kasih kepada YB kerana sudi hadir dalam
majlis kita pada hari ini walaupun kita tahu YB amat sibuk dengan tugasan . Saya juga
mengucapkan syabas dan terima kasih atas kehadiran tuan/puan, para ibu bapa yang
menggambarkan kesungguhan dan komitmen kita dalam meningkatkan kecemerlangan
anak-anak kita pada masa hadapan. 

YB / hadirin dan hadirat sekalian. 

Bunga selasih di tapak tangan, 


Dipetik orang harum mewangi, 
Segunung kasih kami taburkan.
Keprihatinan tuan dijunjungi tinggi. 

Alhamdulillah. Masa terus berlalu, tanpa kita sedar tahun ini, sekolah ini telah mencecah
usia 18 tahun. Walaupun begitu, banyak kecemerlangan dan kejayaan yang telah pihak
sekolah cipta sama ada dalam bidang akademik mahupun dalam bidang kokurikulum.
Kejayaan dan kecemerlangan ini menggambarkan kejayaan usaha guru-guru di sekolah
kita yang tidak pernah berasa putus asa dalam mendidik anak-anak kita.
Tahniah atas kejayaan STPM 2014, kerana mendapat Anugerah Lonjakan Saujana
Peringkat Kebangsaan. sebagaimana yang ditayangkan di kaca televisyen,
Kejayaan ini juga menggambarkan usaha dan doa kita serta kerjasama yang terjalin
kukuh antara guru dan ibu bapa selama ini diberkati oleh Allah swt. Dalam usaha
kita untuk menjana kecemerlangan ini, pihak PIBG menyokong segala usaha pihak
sekolah mengadakan pelbagai aktiviti. Umpamanya, Program Temu Murni Pelajar PT3 /
SPM dan STPM serta Program Motivasi dan Kemahiran Belajar. Pihak PIBG juga
banyak memberi sumbangan dalam bentuk kewangan untuk pelbagai aktiviti kurikulum
dan kokurikulum sekolah seperti Kem PT3, SPM dan STPM serta hadiah
kecemerlangan untuk pelajar-pelajar yang berjaya.
Pada hari ini juga kita berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang
telah mencapai kejayaan cemerlang dalam Peperiksaan Awam(PT3, SPM & STPM) dan
Peperiksaan Dalaman yang lalu, di samping sumbangan yang diberikan oleh pihak
sekolah sendiri. Penghargaan seumpama ini diharapkan akan menjadi titik tolak,
membakar semangat para pelajar untuk berusaha lebih gigih mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan awam seperti PT3, SPM dan STPM.
Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang bertaraf global,
kerajaan telah membuat perubahan dalam sistem pendidikan masa kini. Seperti
yang kita semua tahu, sistem KBAT(Sistem Kemahiran Aras Tinggi) telah
diperkenalkan untuk meningkatkan sistem Pengajaran dan Pembelajaran. Walau
bagaimanapun, anak-anak sekalian janganlah kita berusaha belajar untuk berjaya
dengan cemerlang kerana mengharapkan penghargaan dan hadiah semata-mata.
Belajarlah untuk mencapai kecemerlangan bagi mengubah hidup anak-anak pelajar dan
juga keluarga pada masa hadapan kelak. 

YB / hadirin hadirat yang dimuliakan, 

Sumbangan yang PIBG berikan dalam menjayakan semua aktiviti ini adalah sebahagian
besarnya daripada hasil sumbangan yang kita sumbangkan dalam tabung PIBG SMK
Putra. Untuk itu, maka saya menyeru kepada para ibu bapa agar tidak mengambil
mudah atau sambil lewa dalam membuat bayaran tambahan (yang tuan-puan kenali
sebagai yuran) supaya tabungan PIBG semakin bertambah untuk kita sama-sama terus
menjana dan merancang pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada kecemerlangan
anak-anak kita juga. Tabungan PIBG tiada mempunyai sumber lain kecuali melalui
sumbangan daripada pihak tuan-puan juga.
Saya menyeru tuan/puan menyokong segala aktiviti sekolah terutamanya aktiviti
kerohanian yang melibatkan warga sekolah, dan komuniti luar atau masyarakat
setempat, terlibat dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ini
menggambarkan bahawa keikhlasan, kerjasama kita semua untuk melihat anak-anak
kita dan sekolah ini akan menempa kejayaan bukan sahaja di dunia malahan di akhirat
kelak. Ibu bapa sekalian patut sedar dewasa ini pelbagai masalah gejala sosial semakin
menular dalam kalangan anak-anak muda kita. Tanpa benteng kerohanian yang utuh,
tidak mustahil anak-anak kita juga turut tergelincir dalam menongkah arus negatif ini.
Pelbagai gaya dan pelbagai aksi sudah kita tontoni di kaca-kaca Televisyen. Mampukah
kita berdepan dengan masalah ini jika anak-anak kita sebahagian daripadanya?
Saya juga menyeru kepada para ibu bapa agar mengambil kesempatan dan juga ruang,
malahan jangan sesekali melepaskan peluang sekiranya dihubungi oleh pihak sekolah
untuk hadir ke sekolah bagi berbincang permasalahan anak-anak tuan-puan. Tutur kata
dan tingkah laku anak-anak tuan-puan mungkin tidak sama semasa di rumah dan juga
di sekolah, jadi amatlah wajar sekali seandainya kita memberi kerjasama yang
sepenuhnya kepada pihak sekolah yang ternyata berusaha keras malah tulus ikhlas
mahu membentuk anak-anak tuan-puan menjadi insan yang terbilang dari segi
akademik jua sahsiah. Kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja bergantung
kepada kepada hebatnya guru-guru mengajar, pakarnya pihak pentadbir mengurus
sekolah, malahan perlu seiringan dengan kecemerlangan murid dari aspek akademik,
sahsiah dan kokurikulum serta komitmen padu para ibu bapa dan komuniti setempat.
Kita tidak boleh lepas tangan menyerahkan bulat-bulat urusan mendidik anak-anak kita
kepada pihak sekolah semata-mata. Amat molek kiranya kita boleh duduk berbincang
tanpa ada rasa sangsi antara kita. Jika pihak sekolah mengambil tahu segala tindak-
tanduk anak-anak tuan-puan dari sekecil-kecil laku umpama tidak menyiapkan
kerja sekolah, membawa kepada masalah ponteng kelas atau ponteng sekolah
kepada sebesar-besar masalah, umpama gejala vandalisme atau merosakkan
harta benda sekolah, pergaduhan sesama mereka malahan juga kes buli, serta
cabul, itu menggambarkan kecaknaan guru-guru dan pihak sekolah terhadap
anak-anak kita. Sewajarnya lah kita memberi kerjasama kepada guru-guru ini dan
juga pihak sekolah. Kita juga harus mengelakkan sikap menunding jari sesama kita,
tetapi patut mengambil jalan tengah penyelesaian secara bersama untuk kebaikan kita
bersama juga.

YB / hadirin dan hadirat sekalian,

 Sempena dengan mesyuarat PIBG kali ini, marilah kita sama-sama menjayakan
Inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memperkenalkan
Sarana Ibu Bapa. Kita jadikan diri kita, guru-guru dan masyarakat setempat sebagai satu
komuniti yang saling lengkap-melengkapi. Masalah disiplin dan tingkah laku anak-anak
perlu kita tanganinya bersama. Masalah ponteng sekolah yakni tidak hadir ke sekolah
mesti diambil tindakan segera. Jangan kita biarkan anak-anak kita tidak hadir tanpa
sebab yang munasabah. Saya merasakan para guru akan merasakan bangga jika kita
sebagai ibu bapa sentiasa mengambil berat dengan disiplin anak-anak kita di sekolah.
Dengan usaha ini diharapkan agar kita semua dapat merealisasikan hasrat sekolah
untuk mencapai KPI 98% dalam kehadiran pelajar ke sekolah. Kita harus sedar,
kecemerlangan seseorang pelajar ini amat bergantung kepada pendisiplinan mereka
dalam menuntut ilmu. Mereka mesti disiplin dengan peraturan agama Islam. Mereka
juga mesti berdisiplin dengan peraturan sekolah. Untuk ini, kita perlu mendampingi dan
selalu bertanya khabar dengan guru tentang anak-anak kita. Jangan ambil tindakan
melulu berdasarkan maklumat daripada anak-anak kita semata.-mata. Mungkin sikap
mereka di rumah tidak sama dengan sikap mereka ketika di sekolah. Akhir kata,
sebelum saya menutup ucapan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada
semua pihak terutama kepada guru-guru dan ibu bapa atas kerjasama padu demi
melihat kejayaan anak-anak pelajar semua. Terima kasih yang tidak terhingga saya
kepada Yang Berhormat Tuan Hj Nawi bin Mohammad kerana merasmikan Mesyuarat
Agung PIBG SMK PUTRA kali ke-15 tahun 2015. Saya tinggalkan tuan-puan dengan
serangkap pantun buat renungan semua, semoga menjadi panduan dalam kita
berusaha mendidik anak-anak kita menuju kecemerlangan akademik dan sahsiah.

Sampan kotak hilir mudik,


Dayung patah galah sebatang;
Ikhtiar tidak datang menggolek,
Akal tidak datang melayang .

 Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai