Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-12 2021 SMK

PUTRA PERDANA
OLEH:
YBHG. DATO’ HAJI HELMY BIN ARSHAD
D.S.P.N., A.I.S.
EXCO KPPIBKS SELANGOR
PENASIHAT KPPIBKS SEPANG

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera.
Terima kasih
Saudari Pengerusi Majlis,
Yang berusaha, Dr Haji Idris bin Hussain, Yang Dipertua PIBG SMK Putra Perdana,
Puan Wan Zuriah binti Wan Mat Yim, Pengetua, SMK Putra Perdana,
Yang Dihormati Barisan Penolong Kanan,
Guru-guru, AJK PIBG, dan ibu bapa,
seterusnya para pelajar yang dikasihi sekalian.

1 Pada pagi yang mulia ini marilah kita sama-sama memanjat kesyukuran kerana
dengan limpah dan kurniaNya maka saya dapat bersama-sama hadir dan
merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Putra Perdana kali yang ke-
12. Izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang
dapat meluangkan masa pada pagi ini terutamanya para ibu bapa yang telah
menunjukkan kerjasama yang erat selama ini dalam pelbagai program anjuran
pihak sekolah dan PIBG.

2 Sesungguhnya majlis pada pagi ini amat bermakna kerana pihak sekolah dan para
ibu bapa dapat bertemu dan berbincang secara atas talian dalam merealisasikan
pelbagai program dan aktiviti untuk kecemerlangan anak-anak. Pepatah ada
mengatakan, muafakat membawa berkat. Maka bertepatanlah dengan maksudnya
dimana persetujuan semua pihak dalam sesuatu perkara akan mendatangkan
kebaikan. Permuafakatan antara sekolah dan komuniti telah berlaku sebelum
penjajahan dan kesinambungannya hingga ke hari ini. Oleh itu, wajarlah sesuatu
program dan aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah dan PIBG kelak mendapat
kata sepakat serta sokongan yang jitu daripada ibu bapa dan penjaga. Kesepakatan
seumpama ini juga diharap dapat melahirkan kesefahaman tentang batasan tugas
dan tanggungjawab pihak sekolah, pihak ibu bapa mahupun komuniti setempat.
Ibu bapa juga disaran melibatkan diri di sekolah secara aktif dan boleh memberi
sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuk idea, tenaga, kepakaran, mahupun
kewangan.

Hadirin sekalian,
3 Selain menjalin kerjasama antara pihak sekolah dan komuniti setempat, PIBG
juga memainkan peranan saling melengkapi terhadap fungsi Kementerian
Pendidikan dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang
kondusif bagi guru-guru dan murid-murid. Tidak dapat dinafikan keperluan ini
sangat penting dalam melahirkan murid-murid yang cemerlang. Untuk
melahirkan murid-murid yang cemerlang, sebenarnya bermula dari rumah. Oleh
itu, kita sebagai ibu bapa tidak boleh lepas tangan sepenuhnya tanggungjawab ini
kepada guru-guru di sekolah. Sementelahan lagi, dalam situasi sekarang murid-
murid perlu mengikuti PDPR secara online akibat pandemik covid-19. Oleh itu,
saya menyeru kepada para ibu bapa mahupun penjaga, marilah kita berganding
bahu bersama-sama pihak sekolah untuk memastikan anak-anak kita mengikuti
kelas-kelas PDPR yang dijalankan oleh guru-guru . Sebagai ibu bapa, kitalah yang
akan menentukan anak-anak kita terdidik dengan nilai-nilai murni atau sebaliknya.
Sebagai ibu bapa jugalah, kita menginginkan anak-anak kita memiliki kekuatan
dalaman untuk berhadapan dengan pelbagai unsur negatif di luar sana. Dan kita
jugalah yang akan berasa bangga dan menadah tangan tanda kesyukuran tatkala
anak-anak kita berjaya kelak.

4 Percayalah wahai ibu bapa sekalian, tugas guru-guru dalam mendidik dan
menyampaikan ilmu kepada anak-anak kita tiada tolok bandingnya. Guru-guru
telah menggunakan segala kemahiran, kepakaran dan ilmu yang ada untuk
menggalas tanggungjawab ini demi kecemerlangan murid-murid pada masa akan
datang. Ditambah lagi, guru-guru terpaksa berhadapan dengan seribu satu
permasalahan anak-anak yang tidak dapat mengikuti kelas PDPR. Namun, saya
yakin usaha guru-guru ini tidak pernah terputus di tengah jalan. Mereka tetap
meneruskan amanah ini. Mereka tetap menggalas tanggungjawab ini. Mereka
tetap mengimpikan anak-anak murid sentiasa hadir ke kelas. Di mana ada
kemahuan di situ ada jalan. Kepada murid-murid sekalian, rebutlah peluang yang
ada. Jadilah seorang murid yang sentiasa dahagakan ilmu daripada guru-guru.
Berusahalah tanpa mengenal erti penat. Janganlah, sesuatu kekurangan dan
kelemahan yang ada pada diri kita dan keluarga kita dijadikan sebagai alasan
tidak mahu belajar. Sebaliknya, jadikanlah kekurangan itu sebagai semangat untuk
menjulang kejayaan. Buatlah yang terbaik. Kejayaan pasti milik anak-anak
sekalian.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,


5 Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pihak PIBG
SMK Putra Perdana dan pihak sekolah kerana dapat menyahut saranan
Kementerian Pendidikan yang telah melancarkan inisiatif bekerjasama dengan Ibu
Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta secara meluas melalui Sarana Ibu Bapa dan
Sarana sekolah. Kedua-dua sarana ini merupakan alat bagi membolehkan
pencapaian inisiatif ini dilakukan secara lebih menyeluruh ke arah pencapaian
aspirasi murid.

6 Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih
atas jemputan ke majlis pada pagi ini dan saya juga ingin mengucapkan syabas
dan tahniah kepada Jawatankuasa PIBG yang bakal dipilih dan dilantik sebentar
nanti.
Dengan harapan itu, dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya dengan suka
citanya merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah
Menengah Kebangsaan Putra Perdana Kali ke-12.
Sekian,Terima kasih dan wassalamualaikum wbh.

Anda mungkin juga menyukai