Anda di halaman 1dari 4

Teks Ucapan Pengetua SMK Sri Tapah Sempena Perasmian

Mesyuarat Agung PIBG SMK Sri Tapah Tahun 2021

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t. kerana dengan limpah


kurnia dan izinnya dapat kita sama-sama berkumpul pada petang yang
mulia ini, sempena Majlis Mesyuarat Agung PIBG kali ke-47 bagi Sekolah
Menengah Kebangsaan Sri Tapah. Saya merakamkan ucapan terima kasih
atas jemputan untuk hadir ke majlis hari ini dan seterusnya merasmikan
Mesyuarat Agung PIBG pada hari ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan
kepada Penasihat dan Jawatankuasa PIBG kerana telah dapat merancang,
mengelola dan seterusnya melaksanakan mesyuarat ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

PIBG Sekolah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara


ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan. Permuafakatan seumpama
ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan
tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu
pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain
mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu
bapa, dan komuniti setempat (school home community partnership).

Di samping itu, PIBG juga mempunyai peranan ’saling melengkapi’


terhadap fungsi Kementerian Pendidikan dalam menyediakan prasarana,
kemudahan, dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan
guru-guru di sekolah berkenaan.
Selain itu, kepimpinan PIBG di sekolah-sekolah juga diingatkan
supaya tidak sekali-kali membabitkan persatuan dan sekolah dengan apa
juga kegiatan yang boleh menggugat kestabilan sistem persekolahan dan
perpaduan masyarakat setempat. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar
kepimpinan PIBG terlibat dengan aktiviti-aktiviti anti-kerajaan atau
menjadikan persatuan sebagai platform untuk berpolitik atau bagi tujuan
memperoleh kepentingan peribadi. Jika keadaan ini berlaku, dikhuatiri
Persatuan akan menyeleweng daripada matlamat asal penubuhannya, dan
akhirnya akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran,
sekaligus akan merugikan pendidikan anak-anak murid di sekolah.
Tuan-tuan dan Puan-Puan

Sesungguhnya, majlis pada pagi ini amat bermakna, di mana pihak


sekolah dan ibu bapa dapat bertemu untuk berbincang dan mencari kata
sepakat, demi kepentingan dan masa depan anak-anak masing-masing.
Permuafakatan seumpama inilah yang menjadi kunci kejayaan PIBG dan
sekolah dengan mengambil kira batasan-batasan kuasa PIBG.Selain
daripada memilih dan melantik Jawatankuasa PIBG yang baru dan
membincangkan usul-usul daripada ibu bapa, diharapkan juga mesyuarat
PIBG pada petang ini akan berbincang dan mendapat persetujuan
bersama berkaitan pembangunan sekolah. Diharapkan perkara ini dapat
diputuskan dengan sebaik mungkin tanpa menimbulkan masalah kepada
pihak ibu bapa atau waris murid-murid.

Harus juga diingatkan kecemerlangan anak-anak kita sebenarnya


bermula di rumah. Sebagai ibu bapa, kitalah yang akan menentukan sama
ada anak-anak kita terdidik dengan nilai-nilai yang murni dan mempunyai
kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan segala gejala negatif di luar
rumah. Jelas, tanggungjawab menentukan keperibadian anak-anak
sebenarnya adalah tanggungjawab ibu bapa juga terutamanya apabila
melibatkan sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di
rumah atau Pdpr. Amat tidak adil untuk melepaskan tanggungjawab itu
sewenang-wenang ke atas bahu guru dan pihak sekolah. Dalam konteks
ini, PIBG sekolah perlulah bersikap proaktif untuk menyumbang ke arah
usaha tersebut selain daripada membantu dalam kebajikan pelajar, guru
dan juga pembangunan sekolah pada era pandemik covid-19 ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan semua


kerana menghantar anak ke sekolah ini. Insya Allah kepercayaan dan
keyakinan tuan-tuan dan puan-puan terhadap guru-guru di sekolah ini
dalam mendidik anak-anak tuan-tuan dan puan-puan tidak akan
dipersiakan dan didoakan murid-murid di sekolah ini akan dapat terus
menempa kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Oleh itu,
peranan PIBG dalam membantu sekolah menerangkan dan
menghebahkan program, aktiviti dan tindakan sekolah amat membantu
pihak sekolah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengambil


kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih atas jemputan ke
majlis pada pagi ini dan saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah
kepada JK PIBG yang bakal dipilih dan dilantik sebentar nanti. Harapan
saya ialah supaya Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-47 ini akan dapat
berjalan lancar dan teratur.

Dengan harapan itu, dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya


dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa
dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tapah kali ke-47 bagi tahun
2021.

Sekian, terima kasih dan wassalamualaikum wbh.

Anda mungkin juga menyukai