Anda di halaman 1dari 8

TEKS UCAPAN PERASMIAN

MAJLIS GRADUASI
KALI KE-12
2018

SMK TAMAN SERAYA, AMPANG

EN. MOHD RASHIDI HASSAN


PEGAWAI KHAS
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih pengacara majlis.

Yang Berusaha
Puan Wan Norma bt Wan Pi
Pengetua SMK Taman Seraya

Yang Dihormati,
Dr. Farrah Robert, Head Of Academic YPC

Yang Dihormati,
Encik Azizan bin Abdul Hamid
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
SMK Taman Seraya

Yang Berusaha, Barisan Penolong Kanan ,


guru-guru,
Ibu bapa,seterusnya para pelajar yang diraikan.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana
menjemput saya untuk merasmikan Majlis Graduasi SMK Taman Seraya kali
ke-12 pada tahun 2018. Saya berasa berbesar hati kerana dapat bersama-
sama hadirin dan pelajar-pelajar pada hari ini.

Sempena hari yang bersejarah ini, saya ingin mengambil kesempatan


untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar yang hadir.
Berkat kesungguhan dan kesabaran serta semangat juang yang tinggi
sepanjang berada di SMK Taman seraya anda semua layak diraikan di majlis
yang meriah dan penuh bermakna ini.
Penganjuran majlis seumpama ini sebenarnya adalah bertujuan untuk
memberi motivasi, perangsang dan ingatan agar para pelajar dapat
meningkatkan kesediaan diri dari aspek psikologi di samping kesediaan intelek
untuk mencapai keputusan yang cemerlang. Sesungguhnya memperoleh
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM adalah sangat penting
sebagai platform untuk meneruskan hasrat menuntut ilmu ke peringkat yang
lebih tinggi di universiti. Di universiti anda akan meneruskan pengajian pada
peringkat diploma dan ijazah, kemudian ke peringkat sarjana dan doktor
falsafah dalam bidang-bidang tertentu. Berkemungkinan juga anda akan
ditawarkan untuk menyambung pengajian di universiti ternama di luar negara
dengan penajaan kerajaan atau pihak swasta. Oleh itu burulah kejayaan dan
kecemerlangan yang bermula di sini untuk menggenggam cita-cita anda.
Hadirin yang dihormati,

Saya yakin bahawa para pelajar telah mempersiapkan diri untuk


menempuh peperiksaan SPM yang akan bermula pada November ini. Jadikan
majlis ini sebagai pembakar semangat untuk terus mencipta kecemerlangan.
Ingatlah yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang
melayang. Jadi berusahalah bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan.
Oleh itu, saya berharap agar pelajar mengambil peluang yang ada di sekolah
untuk memperkasakan diri dalam pelbagai bidang terutama penguasaan
Bahasa Inggeris. Sememangnya tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan.
Hanya dengan usaha tidak kenal erti putus asa seseorang itu akan mencapai
kejayaan yang diimpikan.
Saya juga berharap semua guru di sekolah ini dapat meneruskan usaha
mendidik anak bangsa tanpa jemu dan penuh dedikasi. Kita sedar bahawa
dunia pendidikan mengalami banyak perubahan dari masa ke masa. Kita
berharap dapat melahirkan generasi yang mempunyai minda kelas pertama di
sebalik kemudahan kelas pertama. Hakikatnya dengan segala kemudahan
dan pelbagai jenis bantuan yang diberikan pihak kerajaan tidak ada sebab
atau alasan mengapa anak-anak kita tidak menggunakan sepenuhnya
kemudahan pendidikan yang ada untuk mencipta masa depan yang lebih baik.
Peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu,
kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang, tanpa kelulusan dan ilmu
yang mencukupi, sukar untuk anak-anak kita mempunyai masa depan yang
cerah. Apatah lagi anak-anak kita pula hidup dalam zaman yang semakin
mencabar kerana masalah sosial dan ekonomi kian bertambah.
Hadirin yang dihormati

Dalam majlis ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan


syabas dan tahniah kepada semua guru dan ibu bapa yang berdedikasi dan
bekerja keras untuk memenuhi impian para pelajar. Saya percaya kejayaan
yang akan diperoleh para pelajar ialah simbol kejayaan sistem persekolahan
dan pendidikan itu sendiri hasil kerjasama mantap antara barisan pentadbir,
guru-guru, PIBG dan para pelajar.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, dengarlah pantun nasihat daripada saya

Anak semilang di tapak tangan


Tertusuk duri bisanya terasa
Jika kejayaan menjadi harapan
Jangan sekali berputus asa

Pantun saya tidaklah hangat


Hanya sekadar memberi semangat
Doa dan usaha perlulah sepakat
Semoga anda menjadi individu yang hebat

Dengan ini, saya merasmikan Majlis Graduasi SMK Taman Seraya kali ke-
12, tahun 2018.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai