Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN PENGETUA SEMPENA HARI KUALITI

SMK PERNU TAHUN 2015


Terima kasih diucapkan kepada Saudari Pengacara Majlis,
Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasa
Guru- guru Penolong Kanan, Guru Kanan Mata Pelajaran, Kaunselor, guru-guru
Dan seterusnya ibu bapa yang hadir serta para pelajar yang saya kasihi
sekalian.
Pertama-tamanya izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke
hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, maka kita dapat
berkumpul pada pagi yang indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda
pendidikan yang telah diatur oleh pihak pengurusan sekolah dan juga
jawatankuasa PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Pernu ini.Ucapan syabas
dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola majlis ini yang tentunya telah
berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih
tidak terhingga kepada Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasanya kerana
memberi komitmen yang tinggi sehingga majlis ini berjaya dilaksanakan. Ucapan
penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja
atas inisiatif dan kesungguhan yang ditunjukkan bagi menjayakan majlis
anugerah cemerlang ini. Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan
untuk memberi makna dan semangat dalam proses pembelajaran anak-anak
yang bakal mewarisi masa depan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan seorang pelajar tidak hanya
terletak pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata.
Kita sedar, bahawa guru-guru di peringkat sekolah menengah perlu harus
memberi, agar para pelajar bersedia untuk menerima. Selain insan yang sering
memberi cahaya itu, ibu bapa juga perlu sentiasa memainkan peranan penting
untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka. Malahan tuan-tuan dan
puan-puan, pada saya yang paling utama kejayaan adalah terletak pada diri para
pelajar itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang
tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan. Sesungguhnya kita harus
sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang perlu
ditempuhi. Dato Azhar Mansor, Datuk Sharifah Mazlina dan Dato Syeikh
Muzzaffar sendiri melalui pelbagai kesukaran dalam usaha menjelajah dunia dan
meneroka angkasa! Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, Di mana ada

kemahuan, di situ ada jalan, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,
Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu tuan-tuan
dan puan-puan, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mencipta
kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-anak
tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan
ganjaran buat tuan-tuan sebagai ibu bapa.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah
kepada murid-murid yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka
dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja.
Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak
seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi
ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan
setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya
pada masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran
baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan
inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.
Kepada murid-murid yang tidak menerima hadiah, janganlah kecewa tetapi
ingatlah pesanan saya ini. Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, kita
harus mempunyai sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa. Saya
percaya murid-murid yang mendapat anugerah pada hari ini merupakan mereka
yang rajin berusaha dan konsisten dalam usaha. Mereka yang cemerlang ini
biasanya rajin pada tiap-tiap hari dan bukannya rajin menjelang peperiksaan
semata-mata atau rajin mengikut musim. Semua murid mestilah mencontohi
mereka ini. Saya percaya jika murid-murid dapat mencontohi mereka yang
menerima anugerah pada hari ini, anda juga pasti akan berada di barisan
tersebut pada tahun akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,


Pada kesempatan ini juga, saya bagi pihak sekolah ingin merakamkan ucapan
tahniah dan syabas bukan sahaja kepada para pelajar yang bakal menerima
anugerah malahan ibu bapa juga para guru yang menjadi nadi atau tulang
belakang sehingga membuahkan kejayaan untuk mereka. Saya pasti bahawa
seluruh warga sekolah pada hari ini sedar, bahawa pelajar-pelajar yang kita
raikan hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan

negara. Untuk itu, saya menyeru kepada saudara dan saudari sekalian agar
dapat sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam
kalangan anak-anak. Sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada
kesihatan tubuh badan malahan kesihatan minda supaya harapan dan impian
tuan-tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama seperti harapan dan impian
seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Maka
saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan/puan sekalian, marilah kita saling
bergandingan bagi memastikan para penerima anugerah ini bakal menjadi
sebahagian warna-warna kegembiraan negara pada masa hadapan dan bukan
merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita.
InsyaAllah.
Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada
semua penerima anugerah dan juga syabas kepada semua warga kerja yang
bertungkus-lumus menjayakan Hari Kualiti Sekolah Menengah Kebangsaan
Pernu pada hari ini.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai