Anda di halaman 1dari 4

Bismillahhirrahmanirahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


salam sejahtera, salam Negaraku Malaysia.

Terima kasih pengerusi majlis.

Yang Berusaha Encik Yusof Bin Sipan,


Guru Besar SK Sri Jamil, Muar
Yang Berbahagia Encik Mohd Sali Bin Mohd Ali, Yang Dipertua PIBG SK Sri Jamil
Yang Dihormati Puan Hajah Nurulhuda Binti A. Rahman,
Penolong Kanan Kurikulum dan Pentadbiran,
Puan Rabu’ah Binti Hassan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Encik Shah Rizal Bin Mohd Akip, Penolong Kanan Kokurikulum,
Barisan guru dan ibu bapa yang budiman
serta murid-murid yang dikasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Sekolah
Kebangsaan Sri Jamil kerana sudi mengundang saya ke Majlis Anugerah
Kecemerlangan dan Graduasi Prasekolah pada tahun ini. Terima kasih juga saya
ucapkan kepada ibu bapa yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan hadir ke
majlis ini. Terima kasih dan tahniah kepada guru-guru yang berjaya memartabatkan
profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti ini. Semoga
majlis ini dapat dijadikan asas permulaan anjakan paradigma menjana modal insan yang
terbilang.

Beras kunyit saya taburi,


Air mawar direnjis wangi.
Berkembang kasih menabur budi,
Undangan tuan amat disanjungi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak pada
usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar, bahawa
guru-guru di peringkat sekolah rendah perlu harus ‘memberi’, agar para pelajar bersedia
untuk ‘menerima’. Selain insan yang sering memberi cahaya itu, ibu bapa juga perlu
sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak
mereka. Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang paling utama kejayaan
adalah terletak pada diri para murid itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan
motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan. Pepatah Melayu
selalu mengingatkan kita, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, “Hendak seribu
daya, tak hendak seribu dalih”, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.”
Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk
mencipta kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-anak
tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran
buat tuan-tuan sebagai waris.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada
fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke sini untuk belajar tetapi untuk
dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak
mulia.  Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),
iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks
ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam
merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara. Kita perlu bersedia
untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi
dasar dan strategi yang berterusan.

Hadirin sekalian,
Cendekiawan  ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit
hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para pelajar sebagai
peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi
muda dengan keperluan abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa
dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun,
dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan
bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat
supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak. Seyogianya, ibu bapa
menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga
di rumah. Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah,
apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan
pihak sekolah semata-mata. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah
akan diteruskan apabila murid-murid balik ke rumah. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


Saya percaya sambutan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan dan Graduasi
Prasekolah pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan
memotivasikan para pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam
semua bidang. Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-
masa akan datang bukan sahaja untuk pelajar yang cemerlang tetapi juga yang kurang
cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.

Hadirin sekalian,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada
para pelajar yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka dan diharapkan
pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah
kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita.
Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh
selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan
berulang dengan sendirinya pada masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi
pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu
terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan
kecemerlangan.

Kepada para pelajar yang tidak menerima hadiah, janganlah kecewa tetapi ingatlah


pesanan saya ini. Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, kita harus mempunyai
sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa. Berpeganglah pada prinsip alang-
alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Saya percaya para pelajar
yang mendapat anugerah pada hari ini merupakan mereka yang rajin berusaha dan
konsisten dalam usaha. Mereka yang cemerlang ini biasanya rajin pada tiap-tiap hari dan
bukannya rajin menjelang peperiksaan semata-mata atau rajin mengikut musim.. Saya
percaya jika para pelajar dapat mencontohi mereka yang menerima anugerah pada hari
ini, anda juga pasti akan berada di kerusi tersebut pada tahun akan datang.
Sebelum saya berundur diri, saya juga ingin menarik perhatian hadirin sekalian
pada gurindam ini;

          Jika murid mendengar kata


          Tidak guru berkata cela
          Jika ibu bapa bekerjasama
          Tidaklah anak berdukacita

          Jika kita seia sekata


          Tiada timbul sengketa
  Jika seiring kita berusaha
          Pasti semua akan berjaya

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengucapkan tahniah  dan
syabas kepada semua murid atas kejayaan anda. Akhir kata, dengan lafaz
“Bismillahirahmanirrahim” saya merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan
Graduasi Prasekolah SK Sri Jamil, Muar. Sekian, wabillahi taufik walhidayah
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai