Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN GURU BESAR SEMPENA MAJLIS APRESIASI PELAJAR DAN

GRADUASI PRASEKOLAH SK BINTASAN 2023

Terima kasih tuan pengerusi majlis.

Yang dihormati, En. Japerin , YDP PIBG SK Bintasan. Yang dihormati,


En. Masbon Ranggangon, Penolong Kanan Pentadbiran, En. Selikin
Amidsor, Penolong Kanan KoKurikulum, Pn. Rosmanih Saibin, Penolong
Kanan HEM, barisan guru-guru SK Bintasan, pelajar-pelajar yang diraikan
dan seterusnya ibu bapa yang saya muliakan.

Pada hari yang cukup bermakna ini, saya amat berbesar hati untuk
mengucapkan selamat datang ke Majlis Apresiasi Pelajar dan Graduasi
Prasekolah SK Bintasan 2023. Bersyukur kita kepada Tuhan, kerana
dengan kasih sayang dan keizinan-Nya dapatlah kita berkumpul dalam satu
majlis yang penuh ceria dan bermatlamat tinggi seperti ini pada hari ini.

Hadirin sekalian, tujuan majlis kita ini adalah tidak lain dan tidak bukan
untuk menghargai kejayaan serta pencapaian para pelajar dalam pelbagai
aspek termasuklah bidang akademik, kokurikulum, disiplin, kepimpinan dan
sebagainya, selain majlis graduasi para pelajar prasekolah yang comel-
comel belaka. Diharapkan agar majlis seumpama ini dapat menaikkan
semangat setiap pelajar untuk lebih giat berusaha dalam menambah ilmu
dan mengembangkan bakat dalam pelbagai bidang selain memupuk nilai-
nilai murni dalam diri setiap pelajar.

Tidak dilupakan ucapan tahniah atas kerjasama erat antara semua guru
dan para ibu bapa yang tidak mengenal erti penat lelah dalam memberikan
yang terbaik kepada semua murid dari sekecil-kecil usaha sehinggalah
yang sebesar-sebesarnya. Ini adalah berlandaskan satu matlamat utama
iaitu membuka seluas peluang kepada anak-anak pelajar ini untuk
menambah nilai Ilmu dalam diri masing-masing. Sesungguhnya setiap hasil
yang dituai pada hari ini tidak akan diperoleh tanpa usaha dan
pengorbanan daripada semua pihak

Kepada pelajar-pelajar yang berjaya, tahniah kerana anda membuktikan


usaha yang berterusan adalah tidak sia-sia. Kepada para pelajar Tahun 6
yang akan naik ke Tingkatan 1 pada bulan Mac ini, selamat jalan saya
ucapkan. Anggaplah perpisahan di SK Bintasan ini menjadi satu titik tolak
untuk langkah yang lebih besar dalam menggapai cita-cita kamu di
kemudian hari. Nasihat saya, jangan dilupakan usaha dan pengorbanan ibu
bapa dan guru-guru yang telah berusaha siang dan malam memberikan
yang terbaik dalam pelajaran kamu. Semoga kamu terus sukses dalam
pelajaran yang lebih tinggi sehinggalah ke menara gading. Akhir sekali,
janganlah dilupakan kami di sini setelah masuk ke alam menengah
persekolahan kelak.

Hadirin sekalian,
Saya tidak bercadang untuk memanjangkan ucapan saya pada hari ini.
Saya doakan agar majlis ini dapat berjalan lancar sehingga ke akhirnya.
Saya juga mendoakan agar semua murid terus cemerlang pada masa akan
datang. Oleh itu, saya akhiri ucapan saya dengan ribuan terima kasih yang
tidak terhingga.
Sekian.

Anda mungkin juga menyukai