Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN WAKIL MURID SEMPENA MAJLIS JAMUAN PERPISAHAN

MURID TAHUN 6 2021-2022

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Sejambak kasih titipan khas buat Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha, Guru Besar,
Pn. Suhaila binti Mustapha, Yang dihormati, Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan
Guru SK Chantum, En Kamaruzaman , Barisan Guru Penolong Kanan dan guru-guru
yang dihormati lagi disayangi serta rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Ucapan jutaan terima kasih dan rakaman penghargaan ini saya tujukan khusus
kepada pihak jawatankuasa penganjuran Majlis Jamuan Perpisahan Murid Tahun 6
2021-2022, kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada saya untuk
menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis yang dianjurkan khusus buat kami yang
akan memasuki alam persekolahan peringkat menengah nanti. Kesempatan pada
tengah hari ini merupakan suatu detik bersejarah bagi diri saya kerana dapat
menyampaikan ucapan sebagai wakil murid-murid Tahun 6 SK Chantum dalam majlis
yang amat bermakna untuk kami ini.

Guru-guru yang kami sanjungi,

Kami sedar bahawa dalam usaha untuk memanusiakan manusia seperti kami,
guru-guru sering kali berhadapan dengan pelbagai karenah dan cabaran; ada yang
menyakitkan hati; ada yang menghampakan harapan; ada yang menggembirakan; ada
yang melucukan; dan ada yang menyeronokkan. Apatah lagi terpaksa pula mengajar
kami secara PdPR dalam tempoh yang agak lama kerana Pandemik Covid-19. Segala
pengalaman pahit manis ditelan dengan penuh sabar; sehingga kami dapat merasakan
bahawa guru-guru di sekolah ini bukan sekadar guru biasa, malah adakalanya
berperanan sebagai ibu dan bapa kepada kami; sakit pening kami dan kebajikan kami
sentiasa diambil berat; kemajuan akademik kami dan keterampilan sahsiah kami
sentiasa diberi perhatian. Begitu juga dengan kerja rumah kami, modul, folio, kerja
kursus, latihan pengukuhan, latihan pengayaan dan pelbagai tugasan kami diperiksa
tanpa erti jemu.

Pendek kata soal masa depan kami sering merungsingkan guru-guru sekalian.
Selain tunjuk ajar, guru-guru turut menjadi tempat rujukan kami untuk meleraikan
kekusutan dan segala macam perkara, termasuklah perkara-perkara yang bersifat
peribadi. Guru-guru adalah segala-galanya buat kami, terima kasih cikgu!
Sesungguhnya, kesediaan guru-guru untuk membantu kami amatlah kami hargai dan
sanjungi.

Tenang-tenang air di laut,


Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi guru-guru rasa nak junjung.
Terima kasih cikgu! Halalkan segala ilmu dan pengalaman yang dikongsikan.
Restuilah kami dan doakanlah kejayaan kami ketika berada di peringkat sekolah
menengah nanti.

Guru-guru yang kami hormati,

Saya selaku wakil murid Tahun 6 ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi


penghargaan dan jutaan terima kasih kepada para guru sepanjang kami dididik
daripada kelas prasekolah, Tahun 1 sehinggalah Tahun 6, yang telah sudi menabur
bakti demi kecemerlangan hidup kami di hari muka. Segala jasa dan pengorbanan
guru-guru tidak dapat kami balas. Justeru, kami serahkan kepada Allah jua untuk
membalasnya. Kami juga menyusun jari sepuluh memohon maaf dari hujung kaki
hingga ke hujung rambut jika selama ini kami banyak menyusahkan cikgu dan
menyinggung perasaan cikgu. Sesungguhnya kami tidak berniat langsung untuk
melukakan hati dan perasaan cikgu. Maafkan kami cikgu.

Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya akan mendeklamasi sebuah sajak khas
untuk semua guru SK Chantum yang amat kami sayangi dan hormati.

Cikgu,
Kini kami di penghujung waktu
Membilang detik-detik penentu
Kami dambakan restumu
Halalkanlah usaha dan ilmu

Cikgu,
Beribu halangan telah kaulalui
Melayani keletah putera dan puteri
Anak bangsa yang tak pernah kaubenci
Namun bersungguh jua kausampaikannya
Semua ilmu di dada
Kau curahkan segala

Cikgu,
Restuilah kami
Mengharungi semua detik hidup ini
Berbekalkan amanat dan ilmu
Yang kaucurahkan tanpa jemu
Terima kasih Cikgu

Sekian. Wabillahitaufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai