Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN PERASMI

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM JOM MEMBACA


10 MINIT

Yang Berusaha,

Encik Muhammad Yusri Bin Yusof ,


Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Rincing,

Puan Latifah Binti Said, Penolong Kanan Pentadbiran

Encik Joseph Lincoln A/L J.Samuel, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid

Encik Muhammad Farid bin Abdul Ghani, Penolong Kanan Kokurikulum

Barisan guru serta murid-murid yang dikasihi,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia

Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan
limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun bersama-sama dalam Majlis Perasmian Program Jom
Membaca 10 Minit Peringkat Sekolah bagi Tahun 2021. Program pada pagi ini adalah salah satu
usaha untuk melahirkan bangsa Malaysia yang mengamalkan budaya membaca dan
mempunyai fikiran kelas pertama.

Syabas saya ucapkan kepada Unit Pusat Sumber Sekolah kerana menerajui inisiatif hebat ini.
Pada saya, ia merupakan satu inisiatif yang cukup baik kerana ia mampu membugarkan kembali
satu amalan mulia yang bukan sahaja menjadi tuntutan agama malah sejajar dengan hasrat
negara mewujudkan masyarakat berpengetahuan.

Budaya membaca wajar dijadikan sebagai satu gaya hidup dalam kalangan rakyat Malaysia.
Amalan membaca adalah langkah pertama kepada segala kemajuan dan menjadikan manusia
lebih berdaya maju dan matang dari segi pemikiran. Kemajuan negara dan sekolah serta
ketamadunan bangsa dapat dikembangkan dan dipertingkatkan jika bangsa itu berfikiran tinggi
yang lahir dari amalan membaca. Masyarakat yang suka membaca adalah masyarakat yang
cintakan ilmu.

Dengan adanya masyarakat yang berbudaya membaca, negara kita akan mempunyai rakyat
yang berminda aktif, kreatif dan berfikiran untuk berinovasi selain mengaktifkan minda mereka
untuk berfikir dengan lebih waras, fokus, berfikiran terbuka dan mampu melahirkan warganegara
yang berkebolehan melihat sesuatu daripada pelbagai perspektif berbeza.
Tuan-tuan dan puan-puan,

Dari aspek Revolusi Maklumat dan Ilmu Pengetahuan,

Kita semua sedar, penyebaran maklumat pada hari ini semakin canggih dan interaktif.
Kecanggihan ini seiring kemunculan media-media baharu (media sosial) seperti Facebook,
Twitter dan Whatsapp yang membolehkan maklumat dicapai melalui peralatan sekecil telefon
pintar. Apa yang menarik melalui telefon pintar atau tab kita boleh berkongsi apa sahaja
maklumat secara interaktif yang menggabungkan semua elemen – lisan, tulisan, visual dan data
dengan masyarakat dari seluruh dunia.

Pusat Sumber Al-Hikmah di sekolah kita giat melaksanakan pelbagai usaha menggalakkan
budaya membaca dan pada masa kini turut menggalakkan pembacaan melalui media elektronik
dan tidak lagi terhad kepada media cetak seperti buku, majalah dan surat khabar sahaja. Saya
menyokong penuh usaha Pusat Sumber Al-Hikmah dalam mewujudkan gerbang tunggal
kepada pelbagai sumber maklumat melalui platform Pusat Sumber Digital.

Para hadirin yang saya kasihi,

Pusat Sumber di sekolah sebagai gedung ilmu mempunyai peranan yang amat signifikan dalam
membangunkan sesebuah negara. Saya amat berharap agar Pusat Sumber sekolah kita dapat
diserlah dan disedari akan kepentingannya sebagai pemangkin kepada kemajuan ekonomi
termasuk juga politik, sosial, pendidikan dan kebudayaan negara ini. Saya difahamkan di
Malaysia terdapat sebanyak 1,112 buah perpustakaan desa yang memberi perkhidmatan
kepada seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Ini tidak termasuk perpustakaan-
perpustakaan awam dan khusus yang lain seperti perpustakaan universiti, perpustakaan awam
negeri, perpustakaan di agensi kerajaan termasuklah pusat sumber sekolah yang
keseluruhannya berjumlah sebanyak 13,674 buah. Jika dilihat dari segi bilangan perpustakaan
yang telah dibina di seluruh negara, boleh dikatakan ia telah mencapai satu tahap yang baik.
Tinggal lagi, adakah kita telah menggunakan sepenuhnya kemudahan yang terdapat di
perpustakaan tersebut.

Hari ini, kita membaca bersama-sama selama 10 minit. Simbolik kepada aktiviti ini adalah
tentang betapa berharganya masa jika diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Saya percaya
amalan ini jika dilakukan setiap hari bersama-sama dalam kumpulan yang besar atau
masyarakat secara konsisten maka impaknya juga pasti akan memberi kesan yang hebat
kepada kemajuan sekolah. Saya ingin menyeru warga Sekolah Kebangsaan Kg Rincing Jom
Kita Baca sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari mulai hari ini.

Saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak khususnya
Unit Pusat Sumber Al-Hikmah sekolah kerana berjaya mengadakan Program Jom Membaca 10
Minit Tahun 2021.

Dengan lafaz "Bismillahirrahmanirrahim" saya dengan sukacitanya melancarkan Program Jom


Membaca Peringkat Sekolah Kebangsaan Kampung Rincing bagi tahun 2021.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai